Perkarangan Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan lebih meriah daripada biasa dengan kelibat tetamu berpusu-pusu hadir bagi menyaksikan penyatuan dua jiwa pasangan yang hangat memadu kasih ini.
Dewan Merbuk yang menjadi saksi janji sehidup semati ini hampir berubah wajah, dihias indah dengan bunga-bunga segar mencipta aroma romantis. Diiringi dengan alunan muzik lembut mencipta damai bagai merestui hubungan yang bakal dibina.
Debaran pengantin lelaki semakin terasa saat melihat kekasih hati cantik berdandan melangkah masuk ke dalam dewan.
Manis bersantun dalam busana pengantin rekaan AllenSue by Najeebsue, kejelitaan Nur Efani Ahmad Jazlan semakin terserlah dengan sentuhan solekan dari Rozlan Nasir.
Muhammad Aliff Che Adnan pula kelihatan kacak dalam persalinan baju Melayu duduk di atas pentas kecil bagi menyempurnakan acara akad nikah.
Ternyata anak perempuan kepada pasangan Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub dan Datin Hajah Wan Norizan Wan Ismail tidak mampu menyeka air mata gugur usai acara akad nikah yang diwalikan sendiri oleh ayahanda tercinta.
Dalam suasana penuh indah pengantin lelaki turut bersyukur dan umpama mengerti tugas yang bakal digalasnya selepas bergelar suami.
Anak gadis kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah ini menerima wang hantaran sebanyak RM35,000 dan memilih majlis yang berkonsepkan Sweet Elegant bagi acara akad nikah. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut hadir memeriahkan majlis.
Melihat dekorasi pilihan Raja Sehari ini nyata memilih bunga segar untuk menyeri ruang. Trend terkini ramai mempelai yang menjadikan bunga segar sebagai hiasan.
Jom kita tengok tip untuk memilih bunga segar sesuai dengan majlis perkahwinan.
(a) Sesuai dengan busana pengantin
Ketika mengunjungi kedai bunga atau berunding dengan wedding planner, jangan lupa membawa gambar baju pengantin yang bakal digayakan.
Pemilihan fabrik dan potongan baju pengantin boleh mempengaruhi bunga yang akan menjadi pilihan dekorasi dan juga bunga tangan. Begitu juga pemilihan warna baju pengantin boleh mencetus idea untuk mencipta rekaan dekorasi nanti.
(b) Bentuk dan jenis bunga
Pemilihan bentuk dan jenis bunga juga mempengaruhi suasana dewan yang bakal menyaksikan upacara bersejarah pengantin.
Pilih bunga yang indah dan berbau harum namun tidak menyembunyikan dekorasi lain yang telah dihias indah. Pilihan bunga di pelamin juga penting agar tidak menenggelamkan kehadiran pengantin yang bersanding di atasnya.
(c) Ketahui musim bunga
Beberapa kuntum bunga keluar mekar dalam musim-musim tertentu. Pastikan anda memilih bunga yang tepat agar tidak kecewa kerana tidak dapat memiliki bunga-bunga tersebut menjelang hari perkahwinan.
Sudah pasti untuk menjadikan bunga sebagai dekorasi perlu dalam kuantiti yang banyak. Jika hanya dapat beberapa kuntum sahaja, pasti kecewa kan?
(d) Rancang ikut keinginan
Sebelum memilih dekorasi atau bunga sudah tentu anda mempunyai tema yang mahu diterapkan dalam perkahwinan. Susun atur dewan juga perlu diambil kira selain daripada pilihan bunga-bunga segar.
Pilihan bunga perlu seiring dan mempunyai sentuhan personal sesuai dengan keinginan mempelai. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.