Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba seluruh isi rumah dijangkiti cirit-birit. Bila difikirkan, semua makanan dimasak sempurna dan tiada pula yang sudah tamat tempoh. Hendak tak hendak, terpaksalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat.
Tahukah anda sebenarnya span basuh pinggan yang digunakan setiap hari itu boleh menyumbang kepada sakit perut atau food poisoning? Ya, kadang-kadang kita selalu ambil ringan tentang penjagaan span basuh pinggan. Mungkin tak ada masa nak tukar atau keadaannya masih elok lagi.
Tetapi, anda mungkin perlu berfikir beribu kali kerana terdapat 54 juta bakteria dalam setiap sentimeter kebanyakan span basuh pinggan yang lama!
Dalam laporan Journal Scientific Report, pengkaji dari Jerman telah menemui rumah berjuta-juta mikroorganisma bakteria yang menjadi punca keracunan makanan. Dalam laporan tersebut menemui span yang sering dibersihkan terdapat bakteria berbahaya seperti RG2, Chryseobacterium Hominis dan Moraxella Osloensis.
Lebih-lebih lagi apabila span basuh pinggan tersebut mempunyai tugas multifungsi. Bukan sekadar membasuh pinggan semata-mata malah sering digunakan sebagai alat untuk membersihkan singki, membersihkan permukaan dapur dan sebagainya.
Apakah yang perlu dibuat untuk mengelakkan pengumpulan bakteria di span basuh pinggan?
- Para pengkaji menyarankan untuk menukar span basuh pinggan seminggu sekali. Kurangkan penggunaan span basuh pinggan sekadar hanya untuk mencuci pinggan mangkuk sahaja.
- Jangan rendam span basuh pinggan dalam bekas pencuci pinggan. Jika telah selesai membasuh pinggan, jangan tinggalkan span di dalam bekas cecair pembersih. Sebaliknya letakkan di tempat yang kering dan bersih. Kalau dibiarkan dalam bekas, kuman dan bakteria akan makin membiak.
- Rendam span dengan sabun dan air panas. Selepas membasuh pinggan, sebaik-baiknya span tersebut direndam dahulu dalam air panas dan sabun atau anti kuma selama lebih kurang 1 minit. Kemudian bilas sehingga bersih dan jangan dibiarkan begitu sahaja. Span tersebut perlu dikeringkan dan ditinggalkan di tempat yang bersih.
- Alternatif rendam dengan cuba. Satu lagi cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan pembiakan kuman dan bakteria dengan merendam span basuh pinggan dalam larutan cuka. Cuci, kemudian bilas sehingga bersih. Keringkan terlebih dahulu dan simpan di tempat yang kering. Hamizatul Maizan Mohamed