Mengenali sisi Alia Bastamam sebagai seorang pereka fesyen, memang cukup menyuntik inspirasi dan semangat keusahawanan. Pereka hebat berusia 36 tahun ini bukan saja kerap meniti bibir peminat fesyen tempatan, malah disegani kerana personalitinya yang humble dan aktif dalam kerja amal kebajikan.
Terkini, beliau diangkat sebagai penyandang Nona Fashion Designer Award dalam acara Nona Superwoman Award 2020 yang sedang rancak berlangsung. Kredibiliti beliau yang juga pernah menempa nama sebagai Designer of the Year di acara Kuala Lumpur Fashion Week 2017 itu selayaknya mendapat perhatian tertinggi oleh masyarakat.
Bagi pereka yang terkenal dengan sentuhan resort-centric itu, beliau amat menyenangi potongan draping, flowy serta gemar menyerlahkan siluet feminin yang indah dalam setiap line-up himpunan yang dilancarkan.
Menjadikan beberapa pereka fesyen wanita antarabangsa seperti Diane Von Furstenberg, Stella McCartney, Phoebe Philo serta Miuccia Prada sebagai rujukan, Alia sentiasa belajar selok-belok perniagaan fesyen daripada mereka dan berhasrat agar mampu menjejak langkah itu suatu hari nanti.
“Sembilan tahun dalam industri ini, banyak pengalaman pahit manis yang telah dilalui. Tapi alhamdulilah setiap tahun ada saja pencapaian yang diraih, yang mengajar saya agar menjadi seorang yang lebih humble and it drives me to do more.
Susah untuk memilih one certain moment because even each time I finish a show – it is the best moment for me and my team for which I’m forever thankful for,” katanya merendah diri.
Dengan perwatakan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan Alia Bastamam sering menjadi pilihan wanita elit dan fashionista ternama, antaranya selebriti Scha Alyahya. Sejak dulu Scha sering memilih koleksi Alia dan turut membeli sebagai client.
Maka tidak mustahil Alia berjaya meletakkan namanya sebaris dengan para pereka fesyen gergasi negara. Bercakap tentang kejayaan itu, bekas penuntut Raffles Design Institute ini dengan rendah hati menyatakan bahawa beliau belum layak diangkat setinggi para seniors kerana masih banyak perkara lagi yang perlu dipelajari.
Pandemik COVID-19 bukan saja memberi tekanan kepada ekonomi negara, malah seluruh rakyat dan penggiat seni seperti Alia Bastamam. Demi kelangsungan bisnes, banyak inisiatif dan kreativiti baru diperlukan sebagai strategi pemasaran, umpamanya secara online
. Pendapat Alia antara yang relevan untuk diguna pakai dalam tempoh mencabar sekarang.“Sekarang ni, hampir setiap perkara ditukar ke digital. Dalam fesyen, sudah tentulah ia penting, dari seluruh aspek contohnya dari segi perhubungan dengan pelanggan, cara memasarkan produk, cara mengekalkan imej jenama kita sampailah ke penjualan, kesemuanya menggunakan platform e-commerce dan media sosial.”
Perubahan ini kata Alia lagi, mampu dilakukan di hujung jari dan jauh lebih cepat secara digital.
Berdasarkan angka semasa, akaun Instagram @aliabastamamkl kini mengumpul seramai 130,341 followers manakala @aliabrtw sebanyak 56,712 followers.
Sementara laman web rasmi www.aliabastamam.com serta www.alia-b.com masing-masing memasarkan semua koleksi Alia pada skala terbaik, dengan susunan reka letak web yang kemas dan minimal untuk kemudahan pelayar membeli-belah.
Lebih menarik, terdapat potongan harga untuk koleksi musim lalu, bagi memberi kesempatan lebih ramai wanita mengenakan koleksi terbaik Alia Bastamam dan ALIA B.
Satu cerita menarik yang membentuk peribadi Alia hari ini dikongsikan dengan peminat Nona. “Saya pegang satu quote yang diberikan oleh designer hebat Matthew Williamson ketika berjumpanya di ibu kota, sembilan tahun lepas. Matthew tulis sesuatu di atas sehelai tisu dan berikan kepada saya. Tulisnya:
‘You first have to have a vision which you believe in and if you do the rest will follow’.
Sampai sekarang saya simpan quote tersebut dengan baik,” imbau Alia yang pernah menimba pengalaman sebagai pembantu untuk pereka fesyen Dato’ Jovian Mandagie.
Mengakhiri pertemuan kami, Alia sempat menyatakan kesyukuran kerana terpilih menerima anugerah Nona Designer Award di acara Nona Superwoman 2020. “Alia Bastamam is made up of a whole team.
Daripada rakan niaga hinggalah ke bahagian pentadbiran dan semua penjahit Alia, setiap satunya memainkan peranan penting untuk jenama ini. Saya harap agar kami akan lebih dikenali dan boleh dipakai oleh wanita di seluruh dunia,” akhirinya.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Tiar Zainal
This website uses cookies.