Dia adalah seorang remaja berpengaruh, cantik, pintar dan popular di sekolah. Tapi semuanya berubah sekelip mata apabila dia hilang fokus memandu gara-gara mahu membalas mesej di telefon.
Kereta Liz Marks menghentam sebuah trak tunda yang rosak di laluannya. Peristiwa tersebut hampir meragut nyawa Liz tapi dia masih hidup hari ini walaupun buta sebelah mata, tidak boleh menghidu atau mendengar dengan baik seperti dulu.
Please, don’t text and drive. Itu saja pesanan Liz, 23, yang cukup trauma melihat pemandu sekarang yang suka ‘bermain telefon’ hingga membahayakan nyawa orang lain.
Pernah tak anda perasan ketika memandu, ada sebuah kenderaan yang bergerak perlahan di lane pecut, terhuyung-hayang ke kiri kanan? Kalau dapat peluang cubalah intai pemandunya, 90% kemungkinan sedang bermain telefon!
Ya, dorongan untuk membalas mesej Whatsapp, melihat timeline Facebook atau Instagram serta berfoto semasa memandu memang menjadi tabiat ‘maut’ para pemandu di negara ini.
Kadangkala jika tak berada di lane paling kanan, mereka akan memandu di lane kiri dengan sangat perlahan hingga menyusahkan para pemandu lain. Kalau kena hon atau orang bagi high beam, tahu pulak marah.
Jika tiada sesiapa yang melanggar peraturan, jalan raya pasti akan menjadi lebih selamat untuk semua orang.
Bagi pengguna iPhone, salah satu ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam iOS 11 adalah fungsi Do Not Disturb While Driving. Fungsi ini dilihat dapat membantu para pemandu agar kekal fokus semasa memandu dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Apabila fungsi ini diaktifkan, iPhone dapat mengesan jika anda sedang memandu dan menghantar notifikasi senyap. Skrin telefon juga bertukar gelap dan membuat anda lebih susah untuk menekan unlock.
Laporan menunjukkan peningkatan kadar kemalangan dari bulan Januari hingga September 2017 yang membimbangkan iaitu 5,310 kematian. Penguatkuasaan yang ketat oleh pihak berwajib bukan bermaksud untuk menghukum pengguna jalan raya tapi untuk menyelamatkan banyak nyawa.
Menyedari betapa seriusnya masalah lalu lintas melibatkan penyalahgunaan telefon bimbit sewaktu memandu ini, kenyataan Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk mendenda golongan tersebut dilihat wajar.
Kata beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerahkan untuk merakam pemandu yang melakukan kesalahan dengan menggunakan dua jenis kamera iaitu statik dan mudah alih, selain bakal didenda sebanyak RM300.
“Kami melarang pemandu menggunakan telefon bimbit mereka ketika memandu di jalan raya. Sudah banyak nasihat yang kami telah berikan, tetapi masih ramai yang berbuat demikian,” katanya.
Liow menjelaskan tindakan tegas itu perlu diambil bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang disebabkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Bagaimanapun, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze adalah dibenarkan. Namun telefon bimbit perlu diletakkan pada pemegang telefon.
Penggunaan telefon bimbit oleh pemandu adalah salah satu daripada 20 kesalahan yang akan dimasukkan ke dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem mata demerit. Norzalina Mohd Alias