“Perjalanan Ke Masjid Al-Aqsa Sangat Mendebarkan, Meremang Bulu Roma” DATUK SERI SITI NURHALIZA

Sesiapa pun yang berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Palestin buat pertama kalinya pasti akan merasa takjub dan sujud syukur, sukar diungkapkan kenikmatannya. Dapat melihat keindahan Dome of the Rock (Kubah Shakhrah) yang berkubah emas. Burung-burung yang berterbangan turut sama bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.

Kredit: Instagram @masjid_al_aqsa

Pada 17 Mei yang lalu, adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Sairah Tarudin telah berkongsi satu video di Instagram yang memaparkan detik terindah kakaknya itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa. Menurut Siti Sairah, video yang berdurasi 0.58 saat itu dirakam pada tahun 2017. (Lihat video di akhir artikel)

Kenangan terindah DS Siti Nurhaliza yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa.

Nona berpeluang menemu bual Datuk Seri Siti Nurhaliza secara ekslusif bagaimana pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi anbiya itu. Sangat tersentuh dengan apa yang dikongsi oleh artis jelita ini. Rupa-rupanya Masjid Al-Aqsa ada kisah tersendiri buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sambil menulis, penulis membayangkan keindahan Masjid Al-Aqsa yang menjadi ‘harta paling berharga’ buat seluruh umat Islam. Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat jejakkan kaki ke sana, rezeki!

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana pernah menjejakkan kaki sekali ke Masjid Al-Aqsa bersama suami dan juga rombongan ahli keluarga yang lain. Memang impian nak ke tanah haram (kiblat pertama umat Islam). Perjalanannya memang mendebarkan tetapi bila sampai di Masjid Al-Aqsa kita akan rasa sangat tenang.

Melihat kepada environment di sana sangat menarik dan ia membuatkan kita teruja. Perasaan berdebar-debar tu bukan apa, sebab kawasan tersebut dijaga oleh pihak Israel. So setiap border, setiap pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh polis dan pihak Israel.

Pun begitu, mereka tidak mengganggu pelancong luar, sebab itu kita rasa selamat. Selama ni kita sering mendengar dan rasa ‘takut-takut’ tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun perkara-perkara yang mencurigakan.

Pengalaman pertama kali ini cukup bermakna, saya sukakan persekitarannya yang sangat tenang dan indah. Sukar diungkapkan bila berada di Masjid Al-Aqsa. Perasaannya tu sama seperti saya pergi ke Mekah kerana dapat melihat 3 agama yang sangat kuat iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

KEISTIMEWAAN

Bagi sesiapa yang membaca kisah dan sejarahnya, Palestin ini adalah tanah anbiya di mana Nabi-Nabi dilahirkan termasuklah kisah-kisah sejarah berlaku di sana. Di situlah juga tanahnya sangat subur dan berkah. Ketika di sana saya dibawa ke tempat yang sangat bersejarah dalam Islam. Ustaz yang bawa kami tu bercerita tentang di mana Nabi Isa a.s diangkat, akan ada Imam Mahadi, dan banyak lagi. Jadi, depan mata saya dapat lihat peninggalan sejarah-sejarah Islam termasuk para Nabi syuhada membuatkan kita lebih bersemangat untuk lebih menyayangi Masjid Al-Aqsa.

Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat banyak mimbar. Salah satunya ialah tempat Nabi Zakaria a.s berdoa agar dikurniakan zuriat. Dekat situlah juga saya berdoa untuk ambil keberkatan, berdoa sebelum saya ambil proses IVF sebelum dapatkan Aafiya. Saya betul-betul berada di tempat Nabi Zakaria a.s berdoa. Seronok sampai meremang bulu roma.

Kredit: Instagram @masjid_al_aqsa

Bila tengok dalam Masjid Al-Aqsa tu, kebanyakan orang-orang Palestin sama ada yang lelaki mahupun perempuan mereka duduk sambil membaca dan menghafaz Al-Quran. Ada bapa-bapa yang menjaga anak-anak mereka yang menghafaz Al-Quran membuatkan saya rasa sangat kagum. Sebab itulah Masjid Al-Aqsa ni sangat hebat.

Suasananya berbeza dengan masjid-masjid lain yang pernah saya jejaki contohnya Masjid Nabawi tempat kita mengerjakan umrah dan haji. Cuma sejarah awal Masjid Al-Aqsa ada keistimewaannya tersendiri. Dari segi dekorasinya pula, tidak banyak pembaharuan kerana masih mengekalkan sejarah seni bina lamanya. Cuma apa yang saya lihat, dalam Dome of the Rock tu kubahnya sangat cantik dari segi architecture serta tulisan khatnya. Ini termasuklah tempat ‘ajaib’ di mana batu tergantung itu sangat mengkagumkan.

Kenangan semasa di Mekah.

KAGUM DENGAN WANITA & ANAK-ANAK PALESTIN

Kita dilahirkan di tempat yang berbeza dengan semangat yang berbeza, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui. Dia memilih mereka yang tertentu untuk berada di tempat yang tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana kita ditempatkan di negara yang tidak berperang dan tidak perlu berjuang dari segi mempertahankan tempat kita seperti mana di Palestin. Wanita-wanita Palestin ditakdirkan Allah SWT berada di tempat yang memerlukan mereka untuk berjihad, berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Selain wanita, saya juga kagum dengan anak-anak kecil Palestin. Semangat mereka tercetus apabila melihat perjuangan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Manakala kita di Malaysia harus mendidik anak-anak agar lebih bersyukur dan menghargai keamanan. Didik mereka agar lebih banyak bersedekah serta membantu mereka yang dalam kesusahan.

Memang berbeza situasi kita dengan mereka. Maka, untuk mendidik anak-anak paling penting ialah ajar mereka tentang adab dan tahu menghargai sesuatu. Dari situ mereka akan tahu bagaimana untuk saling mengasihi sesama insan. Kalau mereka tahu orang-orang di negara luar sedang dalam kesusahan, kita didik anak-anak menjadi seorang yang bermurah hati untuk membantu.

Keluarga bahagia DS Siti Nurhaliza dan DS Khalid.

Saya percaya, rakyat Palestin sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangka. Mereka redha dengan apa yang berlaku, kita sendiri pun tak sanggup. Kekuatan mereka sangat luar biasa! Saya kagum terutama wanita dan kanak-kanak di sana, mereka insan berani.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang mampu kita berikan, contohnya dari segi wang ringgit untuk membantu mereka mendapatkan bantuan ubat-ubatan dan keperluan asas. Doa adalah senjata terbaik umat Islam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menurunkan keajaiban seterusnya peperangan ini dapat dihentikan. Yang penting Masjid Al-Aqsa terus dilindungi.

Semua ini sudah pun tertulis dalam Al-Quran. Sekarang ini masa untuk kita bersatu serta banyakkan berdoa agar rakyat Palestin dilindungi dan Allah SWT turunkan malapetaka ke atas Israel.

SALUR SUMBANGAN

Menerusi syarikat saya, memang ada perancangan untuk membuat kutipan bagi membantu rakyat Palestin. Bantuan secara peribadi pun ada termasuk bersama suami. Kami juga ada contact di Gaza iaitu sahabat kami sendiri untuk membantu saudara mara kita yang memerlukan di sana. Alhamdulillah kami cuba lakukan yang terbaik untuk membantu.”

Kredit: Instagram @ctdk @sitinursairahtarudin

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad