Perjuangan Ibu Tunggal Ini Demi Anak-Anak Raih Perhatian, Tanda Pagar JUSTICE FOR EMILIA ‘Trending’!

Kebelakangan ini, kisah wanita bernama Emilia Hanafi dan bekas suami yang merupakan ahli perniagaan ternama Datuk SM Faisal SM Nasimuddin menjadi bualan hangat masyarakat. Tidak hanya di alam realiti bahkan turut menarik perhatian warga maya.

Prihatin dan sebagai tanda sokongan terhadap nasib yang menimpa ibu tiga anak ini, tanda pagar Justice For Emilia dicipta. Hingga trending sampai sekarang!

Menerusi perkongsian Emilia, ibu berusia 43 tahun ini sudah enam tahun berjuang menuntut keadilan demi tiga anak tersayang selepas penceraiannya bersama bekas suami, Datuk SM Faisal.

Namun kisah mereka masih tidak menemui jalan penyelesaian hingga baru-baru ini Emilia dilaporkan menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Credit Instagram @emiliahanafi
Credit Instagram @emiliahanafi
Credit Instagram @emiliahanafi

Hukuman penjara itu berkuat kuasa pada 27 Jun 2022 selepas Emilia hadir di Mahkamah Syariah dan menyerah diri. Menurut peguam syarie iaitu Nazri Yahya yang mewakili Emilia, anak guamnya itu akan menjalani hukuman berkenaan di Penjara Wanita Kajang.

Selepas selesai menjalani hukuman, Emilia akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital atau menghina mahkamah yang difailkan Datuk SM Faisal apabila Emilia mengubah tarikh lawatan anak-anak.

Credit Instagram @emiliahanafi
Credit Instagram @emiliahanafi
Credit Instagram @emiliahanafi
Credit Instagram @emiliahanafi

Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Sementara itu adik Emilia, Ezhan Shahril yang ditemui di mahkamah berharap akan ada keadilan untuk kakaknya apabila dibebaskan nanti.

Difahamkan Ezhan juga sudah menghantar sendiri surat rayuan kepada Istana Negara tiga bulan lalu supaya hukuman kakaknya dapat dikurangkan namun hingga kini tiada jawapan.

Semoga kedua-dua pihak dapat mencari kata sepakat dan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.

Share
Published by
Suzi