Kisah penderaan tragis ke atas kanak-kanak OKU bernama Bella yang pernah menggemparkan negara beberapa tahun lalu akhirnya mendapat keadilan yang sewajarnya.
Kemenangan ini bukan hanya untuk Bella, bahkan untuk kanak-kanak OKU (Orang Kelainan Upaya) yang lain.
Perjuangan atas tanda pagar #justiceforbella yang dilancarkan pada Julai 2021 telah berjaya menyatukan jiwa seluruh rakyat Malaysia. Ia sebagai tanda sokongan moral terhadap anak syurga kesayangan ramai itu.
Aktivis yang juga ikon usahawan terkenal, Mona Din antara individu yang lantang memperjuangkan hak dan keadilan buat Bella. Selain itu, memiliki dua anak
syurga juga menjadi asbab kepada perjuangan Mona Din.Tidak berseorangan, Mona Din turut dibantu rakan-rakan seperjuangan yang bukan calang-calang.
Segala kecaman, ugutan dan cabaran terpaksa ditempuh namun tetap tidak menggoyahkan perjuangan hebat Mona Din dan rakan-rakan seperjuangan demi Bella.
Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu menjadi penanda aras baharu bagi kes melibatkan penderaan kanak-kanak di Malaysia.
Mona Din memuat naik hantaran di akaun Facebooknya bagi menyuarakan kesyukuran dan kegembiraan bersama followers. Bagi Mona, ia adalah hari penuh bersejarah dalam sejarah perundangan negara.
“Rabu 3 Mei 2023. Kenangan hari kemenangan dalam perjuangan #justiceforbella. Simpan foto-foto di sini, untuk hari yang penuh sejarah.
“Yang pastinya akan kekal dalam lipatan sejarah perundangan negara.
“Hari yang menyaksikan betapa keadilan untuk seorang anak OKU sebatang kara bernama Bella, yang telah didera dengan sebegitu zalim akhirnya tercapai melalui perjuangan bersama yang penuh berliku.”
Mona Din juga bersyukur kerana perjuangannya selama hampir 2 tahun itu berjaya menyatukan sokongan seluruh rakyat Malaysia.
“Hampir selama 2 tahun. Perjuangan di atas tanda pagar #justiceforbella yang menemukan dan menyatukan kami, dengan sokongan hampir 99.9% seluruh rakyat Mealaysia.”
Tiada apa lagi yang diharapkan oleh wanita berusia 50-an ini selain mengharapkan agar kehidupan Bella selepas ini lebih bahagia.
“Semoga kisah epik ini akan berjaya memberikan anak syurga Bella sebuah cahaya bahagia.
“Semoga keputusan Tuan Hakim yang bijaksana dalam kes ini juga akan membuka lembaran baru selepas ini dengan hukuman yang lebih berat buat pendera-pendera yang berhati iblis di luar sana, InshaAllah.
“Alhamdulillah.”
Memetik laporan Sinar Harian, Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta, pada 3 Mei 2023.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati wanita berusia 31 tahun itu gagal menunjukkan keadaan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadapnya.
Siti Bainun dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya seorang remaja Syndrome Down dikenali sebagai Bella, dua tahun lalu.
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.