
Berlangsung sudah perkahwinan diraja yang dinanti-nantikan. Tanggal 22 Ogos 2024 menjadi detik terindah buat Puteri Diraja Pahang, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila sah bergelar isteri kepada FD Idzham FD Iskandar yang merupakan pewaris syarikat pembinaan terkemuka, Glomac Berhad.
Dalam majlis pernikahan, Tengku Puteri Afzan menyarung persalinan kurung putih indah rekaan pereka fesyen tersohor tanah air iaitu Datuk Rizalman Ibrahim. Pengantin perempuan turut disolek makeup artis, Rozlan Nassir dan penata hijab, Nazrul Anas Zunaidi.
Pasangan sama cantik sama padan ini selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah sekitar jam 9 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat Pahang turut menerima keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, KDPB Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Kelihatan ayahanda dan ibunda serta Tengku Hassanal mengenakan persalinan rona kuning diraja. Begitu juga adik-beradik lelaki kepada pengantin perempuan.
Turut berangkat adalah paduka kakanda dan adinda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.
Lebih istimewa, perarakan masuk Pengantin Puteri Diraja ke Balai Mahkota telah diiringi oleh paduka adinda, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.
Majlis berlangsung dengan penuh seri dan meriah dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sekali gus menandakan bermulanya perayaan perkahwinan diraja yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, 22 Ogos 2024.
Masuk Tentera, Triathlon & Ratu Cantik, Wanita Ini Ditauliah Leftenan Muda TLDM Usia 23 Tahun!

Wow, serba boleh Puteri Shazwani! Patutlah wanita ini pernah jadi viral di media sosial. Mana tidaknya, bukan saja cantik dan berpelajaran tetapi Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman juga mampu melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti kaum lelaki. Lain macam semangat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Berjiwa besar dan berani mencuba perkara baharu, Puteri Shazwani atau selesa disapa Puteri merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mesra menyambut panggilan Nona, Puteri terbuka berkongsi kisah kejayaan dengan harapan agar perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi untuk wanita terus berdaya saing.
Anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Megat Ahmad Shariman Ahmad Damanuri dan Hasimah Abu Kassim ini dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Ipoh, Perak. Puteri seorang wanita yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak triathlon iaitu berenang, berlari dan berbasikal serta tenpin boling.




Mengulas kerjaya mencabarnya, Puteri mendedahkan dia tidak menyangka menjadi salah seorang pasukan keselamatan negara. “Saya tak pernah terdetik menyertai bidang ketenteraan sehinggalah saya dengar career talk tentang tugas Pegawai Tentera dan UPNM waktu belajar di MRSM Parit.
Bila saya dengar career talk tersebut, saya rasa bidang tentera ini beri peluang untuk saya capai macam-macam impian sebab saya seorang yang multi-passionate, sukakan cabaran dan suka cuba sesuatu yang baru untuk uji kemampuan diri.
Alhamdulillah ibu sokong saya untuk kejar impian dalam bidang tentera dan tak putus doakan agar saya cekal sepanjang berada dalam dunia ketenteraan ini. Malah, pesanannya, ‘Until you spread your wings, you will never know how much you can fly,’ akan saya pegang sampai bila-bila.”
Komited memartabatkan golongan wanita, Puteri mengakui mental dan fizikalnya teruji ketika menjalani latihan ketenteraan, Puteri bagaimana pun nekad mengharungi cabaran.



“Sebagai seorang yang baru saja berkhidmat dalam TLDM selama tiga tahun, masih banyak ilmu dan pengalaman yang perlu saya timba untuk jadi pegawai TLDM yang berkualiti. Saya percaya wanita memiliki kekuatan mental, ilmu pengetahuan dan kebijaksaan serta berupaya buktikan kami mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.
Kami juga dilatih bekerja bawah tekanan dan perlu mengawal emosi serta sikap profesionalisme. Malah, kami juga diajar bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan.”
Ujarnya lagi, “Saya ditauliah dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada 2019 dan jawatan pertama di bahagian Materiel, Markas Tentera Laut pada 2020. Kemudian, saya masuk bidang peluru dan bahan letupan.
Tahun lepas, saya dipilih menyertai Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama lapan bulan dan berjaya dikurniakan dua lencana kepakaran iaitu Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD) pada 20 Ogos 2021.
Tugas ini berdepan risiko dan isu keselamatan yang tinggi kerana saya perlu melakukan pemeriksaan fizikal peluru dan bahan letupan, ujibukti untuk tentukan kefungsiannya dan pemusnahan terhadap peluru dan bahan letupan yang sudah capai jangka hayat. Kini saya ialah Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1 (DPBLWL 1).”






Mencabar sungguh kerjaya wanita berusia 26 tahun ini. Bukan calang-calang wanita dapat sesuaikan diri dengan dunia ketenteraan.
“Zaman sekolah saya aktif masuk sukan, berpidato, forum, menyanyi, menari, teater dan banyak lagi. Ibu tak pernah halang saya aktif dalam pelbagai bidang dan hantar saya ke kelas renang untuk bantu saya atasi masalah takut air.
Sejujurnya saya juga ada perasaan takut macam orang lain tapi perasaan ingin tahu lebih tinggi daripada perasaan takut. Jadi saya elak rasa takut menguasai diri sebab saya akan rugi dan terlepas peluang untuk cuba benda baru,” dedah Puteri yang turut minat bermain gitar, keyboard, mencipta lagu, scuba diving, menyanyi dan membaca buku.
Meskipun berjiwa lasak dan suka menceburi bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki, Puteri juga sebenarnya pernah dinobatkan sebagai ratu cantik. Pada tahun 2018, dia bergelar Naib Juara World Miss University Malaysia!
“Sejak di bangku sekolah, saya simpan niat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Jika diberi peluang, saya ingin menyambung pengajian Master di luar negara dalam bidang Management and Leadership dan kembali berkhidmat dalam TLDM,” akhiri Puteri sambil berharap impiannya ini dimakbulkan satu hari nanti.
Beri Masa Yang Cukup pada Jurusolek, Barulah Wajah Di Majlis Bahagia Tampil Berseri!

Perkara utama yang paling menjadi keutamaan bakal ratu sehari ialah busana dan solekan yang akan dikenakan di hari bahagia. Ini merupakan dua aspek penting bagi bakal pengantin. Solekan yang keterlaluan dan tidak sesuai dengan majlis membuatkan raja sehari kurang yakin di atas pelamin sekaligus mengurangkan seri mereka di hari bahagia.
Solekan pengantin pada masa kini lebih kepada gaya solekan yang nampak natural. Warna-warna pastel dan bronze sangat diminati dan mendapat permintaan tinggi pada masa kini. Mainan warna-warna lembut mampu menaikkan aura seri pengantin. Akan tetapi mekap pengantin tidak terhad kepada warna-warna lembut sahaja. Jom kita lihat 5 tip mudah ini agar anda mendapat solekan yang cantik dan berseri!
1. RUANG YANG SELESA
Sediakan ruang yang selesa dari segi pengudaraan dan pencahayaan ketika proses solekan dilakukan. Pencahayaan amat penting untuk memastikan struktur wajah dan warna kulit dapat dilihat dengan jelas bagi menentukan bentuk kening, shading, warna foundation, eyeshadow, lipstik serta keseluruhan mekap bertepatan dengan kesesuaian wajah dan kulit masing-masing. Manakala proses solekan pengantin kadangkala memakan masa sejam setengah sehingga dua jam menuntut ruang yang selesa dari segi pengudaraan bilik. Sekurang-kurangnya sediakan kipas angin ketika proses solekan dijalankan. Itu pun sudah memadai bagi keselesaan pengantin dan jurusolek
2. BERBINCANG DENGAN JURUSOLEK
Tidak menjadi kesalahan sekiranya pengantin berbincang atau nyatakan kehendak solekan yang disukai. Namun, anda juga harus tahu bahawa tidak semestinya setiap kehendak pengantin itu dapat diterima oleh jurusolek kerana jurusolek mungkin mempunyai pandangan yang lebih arif dalam menentukan solekan yang lebih sesuai dengan struktur wajah, warna kulit, warna persalinan serta tema majlis yang diadakan. Jadi, seeloknya cubalah berbincang untuk mendapatkan hasil yang disenangi oleh kedua-dua pihak. Sekiranya anda yang telah memilih jurusolek tersebut, maka apa kata anda serahkan kepercayaan jurusolek yang dipilih untuk lakukan yang terbaik.
3. BERPENDIRIAN
Isu ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Ada di antara pengantin tidak mahu keningnya di usik langsung atas sebab-sebab tertentu. Sebagai jurusolek profesional, biasanya sudah tentu mereka sentiasa menghormati dan menuruti kehendak anda dan tidak akan sesekali memaksa pelanggan.Sebaik-baiknya minta pendapat daripada jurusolek anda tentang perkara ini kerana ada juga di antara anda yang telah memiliki kening yang cantik atau mudah dibentuk tanpa dicukur atau dibersihkan.
4. BERI MASA YANG CUKUP
Bagi masa yang secukupnya untuk jurusolek anda menyiapkan solekan anda sehingga ke sentuhan terakhir. Kadangkala ada di antara tetamu yang suka menakut-nakutkan pengantin dengan menggambarkan solekan yang dilakukan hodoh dan sebagainya, sedangkan proses solekan belum pun selesai sepenuhnya. Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan jurusolek malah boleh mengganggu emosi pengantin yang risau akan hasil solekannya nanti. Jadi, seeloknya sila pastikan hanya tetamu tertentu sahaja yang dibenarkan berada bersama pengantin ketika proses solekan di lakukan.
5. BERSEDIA
Pastikan juga anda telah bersedia untuk disolekkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Mandi, cuci muka, makan dan selesaikan perkara yang perlu sebelum mak andam atau jurusolek tiba kerana kebanyakannya lebih suka memulakan kerja mereka sebaik sahaja sampai atas sebab-sebab tuntutan kerja, komitmen atau urusan lain.
PTPTN, tabung pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia

Umum sedia maklum menuntut ilmu merupakan satu fardu (wajib) terhadap seseorang individu. Dalam erti kata lain dengan adanya pendidikan, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan.
Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, pendidikan adalah jalan terbaik yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh. Tidak dinafikan, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan.
Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman. Dalam usaha mendapatkan pendidikan yang sempurna, tabungan dana pendidikan juga perlu diberi perhatian khusus untuk membolehkan proses melanjutkan pelajaran tidak dibebani
dek hutang yang boleh menjejaskan kehidupan di masa akan datang.
Atas insiatif ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid yang ditemui ketika sesi penggambaran NONA Superhero Award baru-baru ini menerangkan tentang fungsi PTPTN secara menyeluruh.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, penubuhan PTPTN merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan tidak ada pelajar yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi terus terjamin melalui fungsi dan peranan PTPTN termasuklah menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman, menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi,” ujar beliau yang telah berkhidmat selama 25 tahun di PTPTN dan merupakan salah seorang pegawai terawal yang menyertai PTPTN pada tahun 1998.
Tambah beliau lagi, peranan PTPTN merangkumi memberi akses pendidikan yang lebih tinggi dalam memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat amatlah besar kerana melalui pendidikan mereka dapat membangunkan taraf hidup keluarga, bangsa dan negara.
“Pelbagai usaha dan bantuan dilaksanakan bagi mereliasasikan hasrat masyarakat Malaysia antaranya memberi bantuan kepada para pelajar di peringkat awal dengan memperkenalkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada para pelajar yang akan memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa perlu ibu bapa mengorbankan tanah, barang kemas atau binatang peliharaan mereka.
Tidak hairanlah mengapa jenama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini cukup sinonim dalam melestarikan impian pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Malah pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memastikan ibu bapa cakna
soal menabung untuk dana pendidikan anak-anak supaya peluang dan ruang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas tanpa kekangan dari aspek kewangan.
“PTPTN merupakan tabung pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia. Ia merupakan satu tabung yang disediakan ibu bapa untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dengan adanya tabung ini, ia membolehkan anak-anak belajar sehingga ke
peringkat yang tertinggi tanpa masalah kewangan.
Ia membuka peluang masa depan yang lebih cemerlang menerusi manfaat dan nilai tambah yang diperoleh daripada pendidikan tinggi sekali gus menjadi orang yang berguna untuk masyarakat dan dapat memberi sumbangan kembali kepada masyarakat,” ujarnya mewakili badan tersebut untuk pengiktirafan sebagai NONA BEST FUTURE EDUCATION FUND AWARD sempena NONA Superhero Award 2023.
Ketika ditanya mengenai pelbagai medium simpanan yang wujud sebagai langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung, Ahmad Dasuki mempunyai pandangannya tersendiri.
“Sejak kebelakangan ini banyak cara simpanan yang diperkenalkan antaranya termasuklah simpanan emas dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan hartanah sebagai tabungan untuk dana pendidikan. Tetapi di PTPTN kami memperkenalkan tabungan yang dikenali sebagai Simpan SSPN untuk penabungan awal anak-anak.
“Antara produk simpanan yang diperkenalkan oleh PTPTN termasuklah Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau dikenali Simpan SSPN. Ia merupakan satu skim simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN untuk penabungan pendidikan tinggi dari seawal usia 1 hari. Ia diperkenalkan sejak tahun 2004 lagi untuk menyemai tabiat menabung di kalangan
ibu bapa.
Dengan adanya simpanan ini, ia dapat menjadi tabungan pendidikan untuk anak-anak tanpa perlu meminjam dari mana-mana institusi. Inilah yang dikatakan pendidikan secara percuma oleh PTPTN di mana ibu bapa menyediakan satu dana dan tak perlu bergadai dengan adanya simpanan,” ujarnya lagi.
Ramai beranggapan usai menamatkan pengajian di peringkat universiti, para graduan merasa terbeban untuk membayar kembali pinjaman pendidikan atas pelbagai faktor dan desakan kewangan. Stigma tersebut dapat dielakkan sekiranya tabiat menabung dapat disemai sebaik mungkin.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dari perspektif pelajar, minat dan tabiat menabung boleh dibuat secara berterusan dan berbelanja secara berhemah untuk masa depan.
Jika sebelum ini pelanggan perlu log masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan
perkhidmatan PTPTN. Kini, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN
berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single
Sign On (SSO). PTPTN juga terus komited untuk memastikan para peminjam membuat
bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan
datang.
Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05% yang sepatutnya
membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Terima
kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan.
Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain. Sesungguhnya bayaran
balik yang diterima adalah penting untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada
pelajar baharu.
“Ia sekali gus memberikan peluang dan ruang untuk para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian ke peringkat yang tinggi dan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan. Ia adalah antara motivasi terbaik diterapkan oleh PTPTN untuk melahirkan graduan yang berkualiti serta mampu mencapai tahap pendidikan terbaik untuk pembangunan bangsa dan negara,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.■