Perkahwinan Hampir 6 Tahun Berakhir, FIZO OMAR Serah Hak Penjagaan Anak Kepada MAWAR!

Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Kalau itulah takdirnya, tiada siapa yang mampu melawan. Berita pengakhiran rumah tangga selebriti popular Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim hari ini nyata perkhabaran mengejutkan bagi peminat pasangan tersebut. Sering terlihat bahagia selama ini… ramai tidak menyangka perkahwinan yang dibina hampir enam tahun berkenaan akhirnya putus di tengah jalan.

Mawar dan Fizo yang hadir secara berasingan di Mahkamah Syariah Daerah Hulu Langat dilihat tenang dan ramah menyapa rakan media yang sudah menanti di perkarangan mahkamah. Baik Mawar mahupun Fizo… kedua-duanya cukup profesional.

Tiada wajah sengketa dan amarah yang terpancar di wajah masing-masing. Yang jelas, keputusan untuk berpisah dibuat atas persetujuan bersama.

Menurut kenyataan Fizo, “Saya menghormati pihak media. Buat masa sekarang saya tak boleh beri statement. Jodoh saya dan Mawar ini adalah takdir Allah. Pada saya ia bukan pengakhiran tapi permulaan bagi saya dan Mawar sebagai parent bagi membesarkan Maryam.

Jangan risau, saya nak Mawar baik-baik sahaja. Saya percaya lepas ni hubungan kami akan lebih rapat. Sehingga hari ini kami masih lagi baik. Betul penceraian bukan sesuatu yang baik. Tindakan saya dan Mawar, saya harap berterusan positif.

Saya percaya hikmah di sebalik kejadian ini, saya ambil positif. Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan. Saya tak nafikan dengan izin Allah jodoh kami panjang. Saya masih sayang, masih kasih sebagai ibu kepada anak saya.

Saya banyak terhutang budi kepada Mawar. Tidak perlu ada pergaduhan. Siapalah saya untuk menidakkan takdir Allah. Saya tak akan pisahkan Maryam dari ibunya.”

Sebelum ini, Mawar yang juga usahawan hijab Fareeda pernah mengeluarkan kenyataan di media sosial miliknya berhubung keretakan rumah tangga bersama Fizo. Namun, meminta agar semua pihak mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua termasuk cahaya mata perempuan, Wan Maryam.

“Bagi saya sebaiknya setiap masalah dihadapi oleh pasangan biarlah ‘hanya suami isteri’ dan jika tidak seeloknya hanya libatkan kedua orang tua kita sahaja. Jika ada pihak lain campur tangan perhubungan akan menjadi lain. Komunikasi antara suami isteri sangat penting kerana setiap apa yang berlaku sebelum atau ke hadapan ‘tiada tanggapan negatif terhadap pasangan kita.

Bila kurangnya komunikasi ‘benda kecil’ pun akan menjadi besar. Hanya saya dan Fizo saja tahu, rasa apa yang kami lalui sekarang ni. Diharapkan semua pihak jangan buat apa-apa spekulasi mengenai rumah tangga kami.

Benar, semua mengimpikan kebahagiaan, mempunyai keluarga kehidupan sendiri dalam perkahwinan, impikan kebahagiaan dunia akhirat serta mendapat barokah. Semua pasanagn sebaiknya nak pertahankan perkahwinan masing-masing. Mungkini ini ujian berat untuk saya dan Fizo hadapi. Setiap kesulitan pasti ada jalan dari Allah,” jelas Mawar.

Fizo dan Mawar sah bergelar suami isteri pada tanggal 10 November 2013. Pada Januari 2016, pasangan ini menjalani rawatan kesuburan selepas hampir tiga tahun belum menimang cahaya mata. Berkat rezeki dan usaha, mereka akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan comel diberi nama Wan Maryam yang dilahirkan pada 29 Disember 2017.

 

 

Kredit foto: Instagram Mawar Karim

 

 

IKLAN
Share