Selain Ayu Raudhah dan Ruby, seorang lagi adik Rozita Che Wan yang tak kurang cantiknya adalah Datin Rohaiza, 37 tahun, atau mesra disapa sebagai Datin Jaja.
Pertama kali bersua wajah dengan wanita VIP ini, Nona sudah tertarik dengan auranya. Wow, persis Che Ta! Wanita tinggi lampai ini tiba dengan berkaca mata besar sambil menjinjit beg Chloe Nile Minaudiere rona hitam mewah.
Sebagai ibu kepada lima orang cahaya mata, transformasi tubuh badan Datin Jaja yang langsing selepas melahirkan puteri bongsunya, memang menginspirasikan. Agaknya apa petua yang diamalkan ya?
Mulanya Datin Jaja sekadar tersenyum malu. Takde rahsia pun, balasnya lembut. Namun selepas dipujuk-pujuk, akhirnya beliau pun membuka mulut.
“Bersenam tu kadang-kadang ada juga, just untuk keluarkan peluh. Tapi sebenarnya saya sangat menjaga pemakanan. Saya kurang minum air manis, apa lagi pencuci mulut atau desserts yang memang jadi kegemaran saya.
Sebenarnya bila kita dah meningkat usia ni, makanan dan minuman manis wajib dikawal. Bukan sebab kecantikan sangat, tapi kesihatan.
Tentang penampilan pula, saya seorang yang cerewet dan mungkin juga ia runs in the blood. Kami adik-beradik suka berfesyen tapi bukanlah untuk nak nampak cantik semata-mata. Yang pentingnya presentable,” jawabnya ramah.
Satu lagi rahsia Datin Jaja, aha… yang ini memang Nona setuju, iaitu menyusukan anak! Kalau nak tahu, beliau mempunyai lima anak yang berusia lingkungan 1 – 9 tahun.
Sambil tertawa kecil, Datin Jaja mencelah, “Walaupun anak ramai tapi itu bukan alasan untuk abaikan penampilan! Kita kena rajin dan beri usaha lebih untuk sentiasa cantik di mata suami.
Saya juga bersyukur sebab anak-anak senang diuruskan. Mereka tak banyak kerenah. Alhamdulilah, saya selesa membesarkan semua anak kami dengan bantuan helper di rumah,” akui wanita yang mendirikan rumah tangga sejak Februari 2009 itu.
“Lain daripada itu, saya memang ikut cara Mama. Tak biasa dengan ubat-ubat atau jamu. Saya cuma amalkan pemakanan seimbang dan lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan. Lagipun saya menyusukan anak. Mungkin itu juga salah satu faktor saya dapat maintain figure macam ni,” akhiri Datin Jaja terus-terang.
Sedar Atau Tak, Kejayaan Isteri Bergantung Pada Reda Suami! Kongsi Dr Liyana
Jodoh adalah rahsia Allah SWT namun sebagai wanita kita mempunyai hak untuk memilih suami yang akan bersama saat susah dan senang. Dr Liyana Dhamirah yang juga pengacara bagi rancangan “My Doctors” bersiaran di Astro, baru-baru ini berkongsi di laman Instagramnya agar wanita meletakkan ciri lelaki yang sentiasa berkompromi kerjaya wanita sebagai calon suami.
Dr Liyana juga mengucapkan rasa syukur kerana dianugerahkan suami yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan kerjayanya dan sentiasa memberi galakan untuk dirinya melangkah lebih jauh. Sepanjang 8 tahun bergelar isteri kepada Muhammed Zuhdi Fong Khairil Anuar, Dr Liyana bangga kerana suami adalah penyebabnya maju ke hadapan.
“Seorang suami merupakan faktor utama kejayaan isterinya. Kalau sokongan dan dorongannya menjadi pemangkin semangat isteri, sudah pasti isteri itu pasti berjaya. Kehidupan wanita zaman moden ini sebenarnya adalah multi fungsi dan boleh membawa banyak peranan dalam hidup.
Tetapi wanita juga senang terganggu dengan situasi dan keadaan. Jika dia tidak gembira atau tidak rasa dihargai maka emosinya senang terganggu. Apabila emosi terganggu sudah semestinya akan menyebabkan kualiti kerja senang terjejas apatah lagi untuk mengapai cita-citanya,” tutur Dr Liyana ketika dihubungi.
Tidak salah meletakkan standard tertentu dalam mencari calon suami. Menurut Dr Liyana ciri-ciri suami sejati adalah suami yang pandai menghargai isterinya dan sentiasa bertolak ansur dalam semua keadaan. Sikap hormat menghormati antara satu sama lain adalah amat penting, jadi mementingkan diri sendiri tu harus dijauhi.
Pasangan yang sudah lama berkahwin perlu mengambil inisiatif untuk mengeratkan hubungan agar rumah tangga kekal harmoni. “Bagi saya pasangan yang sudah lama berkahwin perlu sentiasa ingatkan satu sama lain agar sentiasa disayangi dan dihargai. Don’t forget your hugs and kisses and I love you, everyday!
Melalui dengan tutur kata dan perbuatan. Jangan mengharapkan pasangan faham isi hati anda. Masa lapang saya bersama suami gemar menghabiskan masa bersama dengan menonton wayang, bersiar-siar dan mesti pergi holiday 4 bulan sekali.
Apabila diajukan pertanyaan tentang pandangan sesetengah wanita yang tidak mahu bersuami kerana mengejar kerjaya, bicaranya, “Itu adalah hak individu, kerana ada orang tidak boleh membahagikan perhatiannya kepada banyak benda pada satu masa. Sekiranya kerjaya boleh memberi kepuasan dan kebahagiaan hidup pada mereka saya rasa memang tak salah,” katanya.
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, “Saya sudah 12 tahun bekerja sebagai seorang doktor dan sekarang sedang melanjutkan sub-kepakaran dalam bidang Dermatologi (kulit) sambil bekerja sebagai Pakar Perubatan dan Pensyarah.
Apabila Berniaga, Sikap Profesional Sangat Penting – Norazura Md Posdzi
Wanita berusia 34 tahun ini berpegang kepada prinsip sentiasa menolong orang lain kerana ini secara tidak langsung membantu diri sendiri sebenarnya. Berbual panjang dengannya banyak menyuntik input positif yang boleh dijadikan azimat pengukuhan peribadi yang positif. Memulakan kerjaya sebagai eksekutif pengiklanan di Utusan Media Sales dan kemudian di News Straits Times Press sebelum memutuskan untuk membina sebuah agensi pengiklanan sendiri pada awal tahun 2014. Pengalaman bekerja di syarikat gergasi menjadi guru terbaik baginya kerana ia seperti sebuah universiti yang mengajar bagaimana untuk mengendalikan sesuatu projek, cara berkomunikasi dan juga merancang strategi sesebuah perniagaan.
KEMAJUAN
“Pada penghujung tahun 2014 saya menjadi pengasas bersama kepada syarikat VS Beauty Expert yang popular dengan produk OLIcandy dan juga Jus VSireh. Alhamdulillah hasil kerja keras daripada segi kajian dan merancang pemasaran, jenama ini mendapat sambutan yang cukup baik dan ia menjadi titik permulaan kepada saya untuk menceburi dalam perniagaan yang lain. Sehingga setelah hampir tiga tahun beroperasi, kini produk OLIcandy dan Jus VSireh mendapat permintaan yang banyak daripada pengguna setia,” ujarnya yang cantik berhijab. Selain bergelar pengasas bersama VS Beauty Expert, dia juga merupkaan pengasas bersama butik multi-jenama Gondola 31, Rumah Manik Malaysia dan juga Serigroup Global.
Boleh ceritakan tentang ketiga-tiga perniagaan anda ini? Jawabnya, “Butik Gondola 31 dibuka pada tahun 2015 dan di sini pelanggan yang hadir boleh memilih seleksi rangkaian busana yang terdiri dari pelbagai jenama lokal terkenal. Bermula dengan pembukaannya di Ipoh ia telah berkembang sebagai francais terletak di Kajang. Kemudian pada tahun pertengahan tahun 2017 saya memulakan dua lagi perniagaan iaitu Rumah Manik Malaysia yang memfokuskan jualan manik-manik menarik dan istimewa dengan harga yang sangat berpatutan. Serigroup Global pula merupakan syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan berasaskan buah-buahan. Dari produk penjagaan wajah dan kulit ke produk detoksifikasi badan. Alhamdulillah produk-produk ini semakin mendapat tempat di hati pengguna tempatan menjangkaui jangkaan saya.”
Masa merupakan harta yang sangat bernilai, tambahan pula bagi orang yang bergiat dalam dunia perniagaan. Sebagai seorang isteri dan juga ibu bagaimana anda membahagi-bahagikan masa di antara keluarga dan juga kerja memandangkan anda perlu menjaga banyak perniagaan.
“Bagi saya tiada masalah langsung untuk menjalankan banyak perniagaan serentak asalkan kita tahu apa fokus yang hendak dicapai. Selain itu pengurusan jadual yang baik dan sistematik juga amat penting, oleh itu pembantu peribadi saya akan menyediakan jadual yang perlu saya ikuti kira-kira dua minggu lebih awal agar saya boleh merancang masa dengan baik. Jangan biarkan masa menghantui kita sebaiknya kitalah yang harus mengawal dan kuasai masa tersebut agar setiap langkah dan tindakan kita mencerna hasil yang produktif. Selain itu saya amat berterima kasih kepada suami, Shah Indra Shaari yang banyak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap segala apa yang saya lakukan,” kongsinya perihal pembahagian masa yang efektif.
NILAI POSITIF
Dengan kemelut ekonomi masa kini yang tidak menentu serta semakin banyak syarikat-syarikat yang terpaksa gulung tikar, bagi anda apakah peranan yang harus wanita mainkan? “Saya berbicara dari sudut pandang sebagai seorang wanita. Bagi saya wanita masa kini tidak boleh terlalu senang mengharapkan suami sahaja sebaliknya harus memiliki kerjaya yang sekurang-kurangnya mampu turut sama dalam menjana ekonomi keluarga. Bagi saya wanita yang berkerjaya mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi wanita yang lebih kuat dalam menghadapi segala kemungkinan. Bayangkan kalau tidak bekerja tiba-tiba suami pula meninggalkan kita? Apakah nasib anak-anak dan diri sendiri?
Jadi bina kerjaya anda, kalau bukan secara tetap mungkin boleh lakukan secara sambilan. Situasi ini menjadikan saya turut mahu menyumbang membangunkan ekonomi sesama kita. Menerusi produk-produk di bawah Serigroup Global sesiapa sahaja boleh menjadi ejen jualan kami dengan hanya bermodalkan wang sebanyak RM180. Setakat ini banyak suri rumah dan para pelajar yang ingin menambah wang sampingan mengambil peluang yang kami wujudkan, Alhamdulillah daripada maklum balas yang diberikan mereka berpuas hati bukan sahaja dengan hasil sumber pendapatan yang diperoleh bahkan mereka kagum dengan kualiti produk yang ditawarkan.”
https://www.instagram.com/p/Bc07ugTHnJ0/?taken-by=zuraposdzi
Bagaimanakah anda menangani masalah atau anasir negatif yang cuba menjatuhkan kerjaya anda dan apakah prinsip anda di dalam kehidupan? “Perkara pertama yang kita harus lakukan apabila berdepan perkara yang negatif adalah dengan mencari apa punca dan masalah kemudian selesaikannya secara profesional tanpa mengambil keputusan bersifat peribadi. Apabila terlibat dalam perniagaan masalah mesti akan berlaku sama ada besar atau kecil, namun kita perlu menghadapinya dengan tenang dan ketepikan perasaan kita sendiri, sebaliknya buat keputusan berdasarkan kebaikan bersama.
Jangan sesekali bersikap mementingkan diri sendiri kerana ia akan memakan diri. Tidak guna kita bersikap berlagak dan menyombong kerana aura negatif ini tidak akan ditafsirkan kepada persekitaran yang baik. Prinsip yang saya pegang di dalam kehidupan pula adalah sentiasa berbuat baik kepada orang lain biarpun mereka bersikap sebaliknya kepada kita. Tidak rugi berbuat baik kerana ia adalah refleksi diri kita dan memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga,” ujarnya mengakhiri perbualan kami.
Idea Ditolak Pelabur Mentah-Mentah Lebih 100 Kali, CEO Canva MELANIE PERKINS Kini Wanita Ke-3 Terkaya Di Australia
Pandemik COVID-19 nyata menjejaskan ekonomi, apabila banyak perniagaan dan bisnes gulung tikar dek impaknya sekitar dua tahun lalu. Namun lain pula kesannya pada syarikat pemula atau start-up dari Australia, Canva. Canva merupakan platform aplikasi reka bentuk percuma yang kini semakin popular dan hampir digunakan oleh seluruh masyarakat dunia khususnya. Hasilnya, pengasas dan CEO Canva, iaitu Melanie Perkins kini menjadi wanita ketiga terkaya di Australia.
Sejak pandemik, penggunaan aplikasi Canva meningkat sebanyak 50%, dan pada akhir Jun, nilainya sudah mencecah hampir AS$ 6 bilion meningkat daripada AS$ 3.2 bilion. Peningkatan ini disebabkan pengguna dah mula menyedari kepentingan platform reka bentuk yang lebih kolaboratif, mesra-pengguna dan mampu milik sewaktu pandemik.
Dilaporkan dari Daily Mail, kekayaan Melanie mencecah AS$2.5 bilion. Bukan itu sahaja, Melanie juga merupakan jutawan termuda Australia dan salah seorang CEO wanita termuda yang menerajui syarikat permulaan teknologi bernilai lebih AS$1 bilion. Tidak hairanlah, kisah kejayaan Melanie Perkins memberi inspirasi kepada ramai orang.
Bermulanya Satu Fenomena
Melanie mendapat ilham tuk mencipta aplikasi reka bentuk selepas mendapati kesukaran untuk menggunakan perisian reka bentuk yang ada di mana kurang mesra pengguna dengan ciri-ciri tertentu untuk pengguna baru sepertinya. Melanie akhirnya melihat ini sebagai peluang besar untuk mencipta platform yang menyediakan perkhidmatan reka bentuk percuma dan mesra untuk penggunanya, terutamanya pengguna baru.
Sewaktu itu, dia dan teman lelaki (kini suaminya), Cliff Obrecht turut membina platform reka bentuk buku tahunan, Fusion Yearbooks yang menawarkan banyak templat reka bentuk dengan ciri drag-and-drop. Bayangkan, inovasi pertama mereka ini dibangunkan pada tahun 2007 di ruang tamu rumahnya. Tanpa sedar, Fusion Yearbooks semakin diminati oleh pelajar dan berkembang menjadi salah satu syarikat penerbitan paling popular di Australia.
Pada pertengahan tahun 2012, Melanie dan Cliff menghasilkan Canva. Namun sebelum Canva dikenali dan dimuat turun oleh ratusan juta pengguna, Melanie telah dikecewakan oleh ratusan pelabur yang tidak menyakini dan ragu-ragu dengan hasil ciptaannya.
Masalah geografi menjadi salah satu isu terbesar buat Melanie memandangkan dia tinggal di Australia dan pelabur teknologi besar kebanyakannya berpengkalan di California Utara. Demi ‘memperjuangkan’ rekaannya, Melanie membuat keputusan untuk tinggal bersama kakaknya di San Francisco selama tiga bulan dalam usaha mencari pelabur untuk aplikasinya, namun ditolak mentah-mentah.
Mendapatkan pembiayaan atau ‘funding’ untuk Canva adalah satu cabaran besar. “Saya sering kali mendapat maklum balas seperti ‘tidak’, ‘belum masanya lagi’ dan lain-lain namun ia tidak melunturkan semangat saya untuk mendengar setiap komen dan menambah baik dalam menjadikan konsep perniagaan Canva lebih kukuh,” ujar Melanie dalam temubual bersama Entrepreneur.
Melanie terus bekerja keras sehingga usahanya membuahkan hasil. Pada tahun 2012, Perkins berjaya mendapatkan ‘funding’ pertama daripada pelabur dengan mengumpul sejumlah $3.6 juta dari Matrix Partners, Interwest Partners dan syarikat pemula teknologi lain. Modal inilah yang digunakan Melanie dalam Canva dan Fusion Yearbooks. Malah Canva juga berjaya menarik perhatian pelakon Woody Harrelson dan Owen Wilson di mana kedua-dua bintang Hollywood itu juga sudi melabur.
Start-up Unicorn Paling Berjaya
Dalam masa 2 tahun sahaja, pengguna Canva telah mencapai 1 juta pengguna. Jumlah ini terus meningkat dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, dalam era serba digital di mana penggunaan media sosial semakin meluas, seperti Pinterest, Instagram dan lain-lain.
Berdasarkan data Financial Reviews, setakat ini, Canva telah digunakan oleh lebih 60 juta pengguna aktif di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, kira-kira 5 juta pelanggan menggunakan Canva Pro. Canva kini mempunyai 2,500 pekerja di 17 negara dan menjelang akhir tahun ini jumlah itu akan mencecah hampir 4,000 pekerja.
Yang pasti, kisah Kejayaan Melanie Perkins, CEO muda serta pengasas Canva berjaya membina empayarnya sendiri selepas ditolak mentah-mentah oleh oleh ratusan pelabur wajar dicontohi. Kini, wanita cantik ini menjadi antara orang terkaya di Australia dengan kekayaan bernilai 6.5 bilion USD.
Sumber: hipwee.com