Sejak menerima pengiktirafan Nona Superwoman Award 2022, perniagaan Datin Rauzawani Abdul Hadi atau mesra disapa Cik Zaa makin mendapat permintaan tinggi.
Hampir sembilan tahun mengemudi empayar niaga dan berdepan pelbagai cabaran di samping lambakan produk di pasaran namun usahawan wanita cantik ini tetap optimis dengan perusahaan miliknya.
Bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Sdn Bhd, Datin Rauzawani yang memiliki keperibadian merendah diri dan berjiwa kental kian rancak mempromosi Glow Glowing dan O’Betty kepada golongan sasaran.
Ditemu bual Nona baru-baru, Datin Rauzawani dalam nada teruja berkongsi perkembangan terkini bisnes. “Alhamdulillah, produk Glow Glowing Beauty Skin semakin mendapat permintaan di luar jangkaan di mana stok sentiasa sahaja habis dan tidak mencukupi.
Jadi saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan yang tidak putus-putus grab produk Glow Glowing Beauty Skin.
Ads
Keistimewaan produk kami salah satunya ialah kami memberikan sesuatu yang terbaik kepada customer dengan menitikberatkan kualiti.
Selain itu, kami juga dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan kerana produk Glow Glowing ini diperbuat daripada ekstrak tumbuhan dan buah-buahan jadi semestinya sangat selamat diguna pakai oleh semua peringkat umur.”
Sedar akan kewujudan pelbagai jenama dan produk terkini di pasaran, Datin Rauzawani bagaimana pun positif menghadapi persaingan dan yakin keistimewaan produk yang dikeluarkan mampu terus menambat hati pelanggan.
“Buat masa sekarang kami sedang meningkatkan lagi kualiti produk supaya semakin berkembang dan dikenali diseluruh pelusuk dunia. Kami juga sedang memasarkan produk Glow Glowing yang lebih menarik supaya dapat menarik perhatian ramai pelanggan mengenai kewujudan produk Glow Glowing.
Ads
Sekaligus memberikan kepuasan kepada mereka. Kami juga menggunakan kesemua platform seperti media sosial, radio, Telegram, Instagram dan TikTok supaya produk Glow Glowing ini terus dikenali ramai.”
Mengulas promosi sempena ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, isteri Dato’ Mohd Rowi Dollah berkata, “Setiap tahun, tiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri, pihak kami akan sentiasa mengadakan promosi buat pelanggan kami.
Buat masa sekarang ini masih belum ada lagi produk khas yang baru. InshaAllah mungkin pada tahun hadapan kami akan keluarkan.”
Kian dikenali dengan tagline ‘Glow Glowing, Cantik Weyy!’, produk jenama tempatan ini terus melakar pencapaian membanggakan dan semoga Datin Rauzawani berjaya mengembangkan lagi perniagaan miliknya ke pasaran dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Watak antagonis, perampas, penggoda, perempuan simpanan dan mata duitan cukup stereotaip dengan nama aktres Zila Bakarin. Bermodalkan imej seksi, dia mula dikenali sebagai pelakon berbakat besar hingga membuatkan penonton ‘membenci’ watak yang dimainkan.
Namun besarnya kuasa Allah. Hanya beberapa hari sebelum PKP berkuat kuasa atau setepatnya pada Februari 2020 lepas, Zila membuat transformasi besar dengan memakai hijab sepenuhnya.
Buat seorang anak seni, keputusan berhijab tentulah sesuatu yang sangat besar kerana melibatkan masa depan kerjaya mereka. Tawaran berlakon biasanya didasari karakter dan kesesuaian imej artis, jadi kebanyakan yang telah berhijab, kini bagai kehilangan sumber rezeki.
Wawancara dengan Zila atau nama penuhnya Rosmawati Bakarin di stesen radio Zayan bagai mendedahkan realiti tersebut. Zila, 45 tahun, juga turut berkongsi beberapa perubahan yang dilalui selepas berhijab dengan para peminat.
“Alhamdulilah saya tetap saya, imej saja yang berubah. Sebenarnya saya dah mula sikit-sikit sejak tahun lepas, di Instagram pun ramai perasan perubahan ni sejak saya melakonkan watak bertudung. Tapi yang setepatnya pada Februari before PKP.
Saya jenis nak pakai apa pun, saya pakai. Tak peduli apa orang nak cakap, cakaplah. Tapi itulah orang kata, hidayah milik Allah… Saya dapat hidayah tu pada waktu saya takde plan langsung pun nak berubah.
Ceritanya hari tu, saya macam biasa dengan rutin hantar dan ambil anak di sekolah. Saya dah bersiap dengan baju sweater panjang dan seluar jeans. Tiba-tiba bila keluar, sampai di bawah saya rasa sejuk teramat sangat. Macam tak pakai baju dan keluar bilik air sejuknya!
Jadi saya pun naik atas balik, pusing-pusing dalam rumah dan keluar balik. Tapi masih rasa sejuk juga.
Tak semena-mena, ada sesuatu yang menggerakkan saya ambil selendang di laci dan pakai. Saya keluar semula, naik kereta dan tiba-tiba rasa safe sangat. Selama ni tak rasa pun perasaan tu.
LEBIH SELAMAT
Lepas ambil anak di sekolah, dia tegur… “Mama, seriously? Serious la you pakai tudung!”
Saya pun soal balik, “Cantik tak Mama pakai tudung?” dan dia jawab, “Yes Mama, tapi kalau nak pakai tudung pakailah anak tudung sekali kat dalam tu, nak tutup rambut…” Dan alhamdulilah, itulah permulaan saya berhijab.
Suami saya mulanya tak percaya sebab dia jenis tak kisah saya pakai apa. Tapi saya yakin dia dan anak-anak gembira dengan perubahan ni.
Selain niat, kekuatan nak berhijab ni pun sebenarnya datang daripada mereka. Saya selalu cakap dalam hati, “Aku buat ni kerana Allah Taala,” jadi dari situ saya mula yakin bahawa saya tak perlu kisah pandangan orang. Cukuplah yang penting antara kami sekeluarga.
Zila Bakarin dan suami tersayang, Azri Izhar.Keluarga kecil Zila Bakarin. Bahagia dengan dua puteri mereka, Kasih, 11 tahun, dan Chinta, 8 tahun.
PERUBAHAN
Selepas berhijab, perbezaan paling besar sekarang adalah respek. Orang lebih respek saya dari segi kata-kata dan perbuatan. Bukanlah dulu takde respek, ada, cuma sekarang nampak bezanya. Contoh bila di set, dulu kami semua cakap ‘lepas’ je tapi sekarang lebih sopan dan ‘berlapik’.
Satu lagi perubahan, dah tentulah dari segi job. Tawaran sekarang tak semeriah dulu. Jujurnya memang sekarang saya takde job lepas berhijab. Mungkin zaman dulu orang panggil saya sebab watak yang diberi daring, sesuailah dengan imej Zila Bakarin tapi sekarang banyak watak yang ditawarkan tak sesuai dengan saya.
Tak apalah, bagi saya selagi kami anak-beranak masih boleh makan, saya anggap itulah rezeki kami. Insyaallah mungkin Tuhan aturkan yang lebih baik akan datang,” akhiri Zila dengan senyuman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sungguh cantik Allah SWT menyusun perjalanan hidup Uyaina Arshad. Seorang anak yang baik, bijak dan berbakat besar, Uyaina bukan saja menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita. Bahkan kerjayanya juga kian bersinar.
Memulakan karier sebagai pengacara, percaturan untuk masuk ke dunia seni dan penyiaran membuahkan hasil meskipun wanita cantik ini memiliki kelulusan undang-undang.
Dari seorang pengacara, Uyaina kemudian berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan kini menjadi tumpuan banyak jenama dan syarikat untuk menjadikan dirinya sebagai duta.
Biarpun sudah bergelar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 namun populariti Uyaina tetap utuh dan menerima banyak tawaran.
Malah, kredibiliti dan kemampuan anak bongsu daripada empat beradik ini juga masih bersinar walau dia kini berstatus ibu sejak melahirkan anak sulung lelaki yang diberi nama Raja Urhan pada 8 September tahun lalu.
Orang kata kalau memang berbakat, walau dah berkahwin dan pergi ke mana-mana pun tetap bersinar!
Berkongsi pencapaian yang diraih hari ini, Uyaina menerusi media sosial miliknya bersyukur kerana satu persatu impian yang diidamkan menjadi kenyataan. Salah satunya ialah menjadi duta kepada jenama muslimah terkenal, Ariani.
“Saya ada satu rahsia. 4 tahun lalu, saya dijemput datang ke Fashion Show Ariani. Duduknya saya di belakang dewan sebelah kanan. Dalam hati terdetik, ‘Suatu hari nanti, aku juga akan berada di atas pentas itu.”
4 tahun kemudian, impian itu menjadi kenyataan. Walaupun ini adalah tahun ketiga saya bersama Galeri Ariani, tetapi ini adalah tahun pertama saya berjalan di atas pentas megah Fashion Show Ariani yang cukup iconic.
Bangga, terharu, teruja, bersyukur, nervous. Dan bermacam-macam perasaan lagi bercampur-baur. Risau pun ada juga takut terpelot atas stage tu. Sempat saya berseloroh dengan Bella & Kak Lisa, “I’d rather talk than walk on stage!”
Rasa macam hosting lagi tak nervous daripada catwalk. Bunyi macam aneh, tapi itulah Uyaina. Alhamdullilah.
Impian saya pada umur 26 tahun, akhirnya menjadi kenyataan. Berjalan pula seiringan dengan wanita2 hebat yang cukup saya kagumi, sayangi dan hormati.”
Tambahnya lagi, “Angan-angan itu free. Bermimpi itu free. Berdoa juga free.
Yang bukan free adalah usaha dan kerja keras. Sebut yang baik-baik. Dan yang baik-baik jugalah yang akan datang kepada kita.”
Mengenali Uyaina, dia sememangnya seorang wanita yang rajin dan sentiasa menyebarkan aura positif kepada semua. Semoga usaha dan kejayaan Uyaina terus berkembang sekaligus menjadi inspirasi ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perlantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris malah melakar sejarah buat Malaysia.
Prof Dr Iskandar Idris.
Ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan tersebut pada Januari 2022, Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian itu berkat usaha dan penat lelahnya selama ini sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada tahun 1798, kemudian menjadi kolej Universiti pada tahun 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif. Bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Menurut anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
GIAT JALAN PENYELIDIKAN Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, beliau menyatakan isterinya, Hayley Hobbs Iskandar serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi tulang belakang utama.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
Dr Iskandar bersama isteri dan anak-anak.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam dunia perubatan,” katanya.
Isteri Dr Iskandar merupakan tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan. Pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menganggotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Kini, beliau giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Dr Iskandar turut berperanan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Dr Iskandar menambah, faktor genetik termasuk trend tertentu melibatkan etnik berbeza seperti Melayu, Cina serta India, diet harian, gaya hidup dan kurang bersenam adalah antara penyebab kepada diabetes.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan menjalani gaya hidup sihat selain mengawal pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan karbohidrat mengikut keperluan tubuh.
“Paling penting, pesakit melakukan rutin pemeriksaan seperti mata, buah pinggang dan jantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan risiko komplikasi penyakit yang berkait rapat dengan diabetes,” katanya.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.