Pernah Alami Kerugian Mencecah RM 2 Juta Ketika Buka Kilang, EIYMA JALIL Bingkas Bangkit Atur Strategi Bisnes!

Kegagalan sekali hingga mengakibatkan kerugian RM2 Juta saat kilang kosmetik dibuka bersama suami pada tahun 2016 tidak pernah membantutkan perjuangan usahawan kosmetik  Eiyma Jalil.

Eiyma Jalil

Episod kegagalan akibat isu kesilapan teknikal bancuhan bahan digunakan dalam produk kosmetik tidak memenuhi piawaian pelanggan itu dilihat sebagai isyarat berharga buat dirinya. Bagi bekas pekerja bank dan bekas jurusolek artis dengan nama penuh Norazimah Jalil ini, kegagalan itu menjadi titik tolak kepada kejayaannya kini.

“Hasil duit simpanan, saya berjaya dan nekad membuka kilang kosmetik sendiri sekitar 2016. Masa itu cita-cita besar dan melangit kerana kilang berkenaan menjanjikan formula halal  bertaraf antarabangsa.

“Tapi malang tak berbau, kilang itu kerugian mencecah RM2 Juta pada tahun kedua ia beroperasi pada tahun 2017. Saya termenung dan jatuh terduduk mengenangkan nasib diri. Jumlah kerugian itu bukannya sedikit.

Namun gagal sekali, bukan bererti gagal selamanya. Tapi kita perlu bangkit, konsisten dan fokus dengan impian yang mahu digapai. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun setiap yang terjadi terselit hikmah bermakna,” kata Eiyma.

Tambah pemilik syarikat GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd ini lagi, istilah putus asa tiada dalam kamus hidupnya.

“Saya berusaha bangkit semula memikirkan idea baharu. Allah bagi jalan keluarkan jenama kosmetik Haus pada 2017. Saya, suami, staf dan ejen bertungkus lumus menaikkan jenama ini siang dan malam.

“2020 saya juga mula memberanikan diri membuat lintas langsung di media sosial, walaupun muka saya tak lawa. Saya optimis mengajar masyarakat dan pengguna mengenai bahan, teknologi dan cara cari produk selamat.

“Siang malam lintas langsung, walaupun tak ada orang ‘view’. Selepas beberapa tahun konsisten, ia membuahkan hasil,” katanya.

Eiyma menjelaskan rezeki Tuhan tidak pernah salah alamat.

“Tahun 2021, Tuhan beri nikmat terindah di era pandemik COVID-19 apabila bedak Magicpink Compact terjual 100,000 unit. Taruhan produk baharu, suplemen Beaubright juga berjaya dicetuskan dengan kolaborasi saintis dari Switzerland yang juga pengasas Mibelle Biochemistrry, Dr Fred Zullie.

“Lebih manis kembara perjalanan ini turut diiktiraf anugerah Superbrand dan NONA Best Halal Beauty Award di  Nona Superwoman Award 2020. Harapnya akan ada banyak lagi kejayaan manis, kecemerlangan dan terus kaya menyusul selepas ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Share
Published by
Rosmah Idayu