Pernah Berniaga Macam-Macam Termasuk Menjadi Pemandu Bas Kilang, ERNAYANEE Kini Sukses Bersama De’Xandra

Pengasas De’Xandra, Ernayanee Nur Julaimi atau Erna seorang wanita hebat. Sebelum berjaya seperti sekarang, banyak kisah jatuh bangun dilalui antaranya pernah dibebani hutang yang banyak.

Waktu itu Erna telah tertarik untuk melakukan perniagaan atas talian. Kesemua wang simpanannya digunakan untuk membeli stok produk. Namun, disebabkan kurangnya ilmu dalam teknik pemasaran telah mengakibatkan perniagaannya itu berdepan masalah. Inilah yang menyebabkan Erna dibebani jumlah hutang yang banyak.

Untuk melangsaikan kesemua hutang itu, Ernayanee melakukan pelbagai jenis kerja termasuklah menjadi pemandu bas kilang. Selain itu, Erna juga pernah melakukan persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Walaupun pernah gagal dalam perniagaan, minatnya untuk berniaga tidak pernah pudar. Beliau mula menghadiri bengkel-bengkel keusahawan untuk meningkatkan lagi ilmu perniagaan.

Erna merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Bapanya merupakan seorang anggota bomba manakala ibunya seorang jururawat. Setelah tamat pendidikan menengah, Erna melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walau bagaimanapun, Erna meninggalkan pengajiannya itu demi mengejar impian untuk bergelar seorang usahawan.

PERMULAAN
“Saya mula berniaga sejak usia 21 tahun. Sebelum dengan De’Xandra saya berniaga macam-macam produk dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Tahun 2013 barulah saya hanya fokus kepada industri minyak wangi. Waktu itu jadi reseller dan pengedar kepada industri-industri minyak wangi. Apabila network makin bertambah, permintaan pun melebihi bekalan. Dengan kata lain, stok tidak mencukupi. Sedih jugalah, maka saya mula terfikir untuk ada jenama minyak wangi sendiri.

Tahun 2014 kami dapatkan semua network dan tidak lagi menjual produk lain kerana mahu memberi fokus kepada jenama sendiri. Kemudian, tahun 2015 bermulalah perjalanan saya bersama De’Xandra. Kalau ikutkan yang betul-betul berniaga daripada mula ialah adik perempuan saya iaitu Ezureen Nur.

Dialah insan yang banyak memberi sokongan kepada saya sejak dahulu sehingga kini. Masih ingat lagi, ketika saya hendak memulakan kembali perniagaan, saya sanggup pergi ke UiTM untuk berjumpa dengannya semata-mata untuk meminjam duit. Dia kata boleh pinjam, cuma jumlahnya tidaklah terlalu banyak. Dia berikan saya RM300. Tanpa berlengah, dengan duit tersebut saya mulakan perniagaan semula. Agak struggle jugalah, adakalanya naik dan adakala jatuh. Bila jatuh tu sampai banyak hutang. Macam-macamlah kejadian yang berlaku sepanjang fasa kejatuhan itu.

Antaranya saya pernah menjadi pemandu bas, penyanyi dangdut, cuci rumah orang dan macam-macam kerja lagi. Kalau cuci rumah orang tu dapatlah dalam RM150. Sambil tu saya fikir-fikirkan juga apa lagi cara untuk survive sebab perniagaan tengah drop. Orang sekeliling pun tiada yang support. Dengan keluarga pun saya malu sebab belum berjaya lagi waktu itu. Satu-satunya yang tinggal ialah adik perempuan saya tadi, Ezureen.

Paling terharu, dia sentiasa ada bersama saya saat susah mahupun senang sampailah perniagaan saya semakin berkembang dan masing-masing berkahwin. Kami bertuah kerana suami masing-masing juga usahawan dan dari perniagaan yang sama. Kesimpulannya, perniagaan ini adalah family business yang terdiri daripada suami isteri serta adik beradik.”

FOKUS
“Saya ada empat orang adik beradik. Semua bekerja dalam De’Xandra. Selepas berkahwin kami asingkan entiti. Suami-suami berada dalam syarikat yang lain sebagai production company kepada De’Xandra. Sementara saya dan Ezureen masih lagi memegang syer di syarikat asal selaku marketing company kepada De’Xandra. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sampai sekarang walaupun ada yang kata kalau perniagaan keluarga ini banyak cabarannya.

Hubungan kami adik beradik memang rapat sejak kecil lagi. Kami jarang bergaduh sebenarnya dan kalau ada berselisih faham pun tidaklah seteruk mana. Kalau ada apa-apa isu kami akan duduk berbincang bersama-sama dan selalunya dapat diselesaikan dengan baik. Kami wujudkan De’Xandra pun lebih kepada kekeluargaan.”

INSPIRASI
“Saya menginspirasikan cara berniaga Rasulullah SAW dan Siti Khadijah. Ketika awal-awal berniaga, saya banyak membaca tentang cara kedua-duanya berniaga. Setiap kali saya berhadapan dengan masalah dalam perniagaan, saya sering terfikir bagaimana Rasulullah SAW react kalau Baginda berada di tempat saya.

“Sedangkan kita sebagai insan biasa pun ada banyak masalah dalam berniaga. Lagi berkembangnya perniagaan, lagi banyaklah cabaran yang perlu dihadapi. Namun apa yang paling penting adalah hadapinya dengan rasional tanpa menjejaskan emosi. Barulah perniagaan dapat berkembang maju dan berdaya saing.”

Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad