Pernah Bertanding Dalam BINTANG RTM, Tak Sangka Sharifah Khasif Pun Ada Bakat LUAR BIASA Dalam Dunia Nyanyian

Sebut sahaja nama Sharifah Khasif pasti ramai yang terkenang kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Mula mewarnai pertandingan tilawah Al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan dinobatkan sebagai Johan Tilawah Peringkat Kebangsaan 2008/2009, Sharifah Khasif atau nama sebenarnya Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman sebenarnya pernah menjadi peserta Bintang RTM 1997! Tak sangka bukan?

Berulang kali Nona bertanyakan kebenaran cerita tersebut saat pertama kali mendengar pengakuan Sharifah Khasif. Dan setiap kali itu juga dia mengangguk-angguk kepala sambil tertawa. “Masa tu saya baru 17 tahun dan suka sangat nyanyi. Kalau tak silap masa uji bakat Bintang RTM 1997 di Ipoh.

Disebabkan masa tu saya baru memenangi tilawah yang pertama saya sertai di Perak dan menang, jadi ramai juga yang kenal saya. Lucunya masa itu, saya terpaksa masuk ikut pintu belakang.

Saya siap bawa lagu Dato’ Siti Nurhaliza, Badarsila sebab saya memang minat dengan lagu-lagu beliau. Akhirnya selepas melalui beberapa peringkat, saya dapat Top 10. Macam tak percaya pun ada, sebab daripada beratus-ratus yang datang ujibakat, saya antara yang terpilih.

Kemudian, penerbit program itu panggil untuk pergi ke peringkat seterusnya di RTM Angkasapuri, KL. Mereka sendiri pun ragu-ragu untuk ambil saya sebab tahu latar belakang saya sebelum ini. Tapi akhirnya, niat untuk bertanding bintang RTM terpaksa saya lupakan kerana beberapa sebab.”

Tambahnya lagi, arwah bapa iaitu Syed Mohd Badiuzzaman tidak melarang sebaliknya menyokong impian anak perempuan tunggalnya itu. “Walid support saya sebab dia pun peminat setia Tan Sri P. Ramlee. Malah masa saya kecil dulu, walid selalu ajar orang-orang muda main gitar, piano dan alat muzik lain.

Boleh dikatakan kami berasal dari keluarga berdarah seni dan walid memang seorang yang suka belajar banyak bahasa selain Arab.”

Biarpun tidak ‘diperkenankan’ untuk bertanding dalam nyanyian, Sharifah Khasif sekali lagi memenangi pertandingan tilawah Al-Quran peringkat Perak pada usia 18 tahun. Hasil kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah menunaikan haji selain mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Itu adalah kali pertama dia memegang wang sebegitu banyak pada usia yang masih muda. Seluruh wang kemenangan diberikan kepada bapa hingga mampu membeli sebuah kereta secara tunai.

“Orang yang jaga dan buat baik kepada mak bapa ini Allah bagi rezeki luar biasa. Walid memang sangat tegas dan garang dalam bab agama terutamanya Al-Quran. Tapi dia bukanlah guru agama cuma dia pernah menuntut belajar dengan 14 orang guru masa muda. Dia bekas kakitangan TNB dan begitu minat terhadap Al-Quran. Ibu saya pula suri rumah.

Bila menang tilawah peringkat kebangsaan, ramai yang datang ke rumah kami tapi mereka tak ingat nama saya. Orang akan cakap mana rumah yang anak dia menang pertandingan Al-Quran itu dan orang kampung nanti akan bawa tunjukkan rumah kami.

Saya ingat lagi waktu hendak balik daripada pertandingan. Ramai yang sudah tunggu kat airport untuk sambut saya. Paling tak sangka, kerajaan Perak bagi cuti sebab kemenangan itu. Saya diarak satu kampung sebab menang pertandingan,” ceritanya yang pernah memasang cita-cita bekerja di Bursa Malaysia dan menjadi Gabenor Bank Negara.

Ketika diminta mengulas tentang hijab, Sharifah Khasif menyifatkan ia satu kewajipan bagi Muslimah dan akan terus mendoakan golongan Muslimah hari ini terus diberikan hidayah untuk berbuat kebaikan.

“Benda kecil tapi sedikit dan kita istiqamah, Nabi suka. Jangan sampai tak buat langsung. Kalau hendak berhijab ini saya akui benda baik memang susah hendak ikut. Kebaikan itu bersifat memaksa. Kita kena telan semua ini sebab kalau tak paksa sampai ke sudah kita tak akan buat.

Saya tahu ada di kalangan wanita yang sudah bertudung tapi akhirnya tanggal. Itu maknanya Allah belum bagi hidayah kepada mereka. Hidayah milik Allah dan Dia boleh bagi kepada sesiapa saja yang diingini.

Begitu juga soal hafaz Al-Quran. Bukan semua orang boleh mudah menghafal, ada yang terpaksa ambil masa lama dan sebaliknya. Itu semua Allah hendak bagi kepada insan terpilih dan beri kepada mereka yang mencari.

Pilihlah jalan mana yang disuka. Saya sendiri diuji dengan kelebihan suara dan ada pilihan sama ada untuk menyanyi atau mengaji. Akhirnya, saya pilih untuk mengaji berbanding menyanyi.

Hendak masuk syurga ini tak senang dan ketahuilah syurga itu mahal. Kena bersusah-susah dulu di dunia, ikut semua suruhan Dia seperti bertudung, mengaji dan bersolat. Semoga Allah akan tetapkan hati kita semua, insyaAllah.”

Bercakap tentang Al-Quran ini, Nona juga berbesar hati ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menyertai kempen World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang bakal diadakan pada tarikh 31 Ogos 2017 ini. Tujuannya hanya satu. Kita berhimpun demi membaca, memahami dan mengamalkan kitab suci ini dengan seluruh Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia. Jom semua!

Bagi menyemarakkan kempen #QuranHour, mari dengarkan alunan bacaan suci Al-Quran daripada Sharifah Khasif ini buat anda semua. Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina