Manohara Odelia Pinot namanya pernah terpalit dengan kontroversi di negara ini. Dia yang bakal berusia 31 tahun pernah mendirikan rumah tangga ketika usia muda 16 tahun pada tahun 2008 di Malaysia. Namun kembali ke negara kelahiran selepas berpisah dengan bekas suami.
Kian hidup bahagia di Indonesia dan tampil makin langsing, Manohara merupakan antara selebriti wanita popular negara jiran.
Dilahirkan pada 28 Februari 1992 di Jakarta, Manohara ialah anak kepada pasangan Daisy Fajarina dan George Manz.
Bersandarkan wajah cantik dan susuk tubuh tinggi lampai yang dimilikinya, Manohara bukan hanya bergelar peragawati malah menerima tawaran sebagai pelakon.
Wajah jelitanya pernah muncul di kaca TV membintangi beberapa sinetron antaranya Manohara, Loe Gue End, Perempuan Pembawa Berkah, EL dan banyak lagi.
Pada tahun 2019, nama Manohara kembali menjadi bualan apabila media Indonesia melaporkan jelitawan ini bertanding di salah satu kerusi di Jawa Timur.
Selain Manohara, vokalis Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani dan pelakon filem Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck, Arzeti Bilbina juga terjun ke arena politik.
Bagaimana pun, Manohara gagal dalam pilihanraya umum Indonesia atau Pemilu 2019.
Menyingkap penyertaannya dalam politik, Manohara dikhabarkan menyertai parti Nasional Demokrat (Nasdem).
Walau sudah melewati usia 30 tahun namun Manohara masih bersendiri dan belum menamatkan zaman janda.
Bahkan dia dilihat semakin aktif bergelar aktivis. Tidak sekadar membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik, Manohara juga turun padang menjayakan kempen memelihara alam sekitar dan hidupan liar.