Anda memiliki dua pilihan sepanjang hayat. Sakit kerana ingin berubah atau sakit kerana tidak berubah… Natasya Zulkhurnain, 34 tahun bangkit demi mewarnai kehidupannya agar lebih baik. Baginya, kita mungkin tidak mampu mengawal apa yang berlaku sekarang. Namun kita boleh mengawal sikap dan semangat untuk ujian mendatang.
“Saya merupakan leader agen untuk dua product shampoo dan skincare. Saya mempunyai team sendiri. Biasanya aktiviti harian saya adalah membuat promosi dan jualan melalui sosial media.
Saya pernah bekerja sebagai seorang pramugari, kemudian berhenti disebabkan masalah kesihatan. Jadi saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai penyanyi di hotel, lounge dan majlis-majlis tertentu selama 12 tahun. Ketika itu jua saya sudah mula menjalankan perniagaan sedikit demi sedikit secara part time.
Bila saya dan suami (pemain muzik) sama-sama hilang pekerjaan disebabkan hotel tutup dan persembahan tidak dibenarkan, keadaan ini amat menjejaskan pendapatan kami sekeluarga. Saya bangkit untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, usaha ini dipermudahkan sehingga saya kini mempunyai syarikat sendiri serta simpanan yang mencukupi.
Saya sangat sayang dengan perniagaan yang dilaksanakan sekarang. Sepenuh jiwa dan masa saya fokus kepada perniagaan. Tahun lepas saya mengandung tetapi tidak sedikit pun menjejaskan usaha saya untuk berniaga. Saya keluar untuk membuat penghantaran dan berjumpa pelanggan, meskipun dalam keadaan kita dilanda COVID-19 (ketika adanya kelonggaran),” jelas Natasya.
Namun pandemik terus-terusan memberi impak besar dalam aktiviti perniagaan. “Keadaan ini memberi kesan dari segi nak follow-up dengan pelanggan. Biasanya saya berdepan sendiri dengan pelanggan untuk melihat keberkesanan produk tersebut, mengetahui lifestyle mereka dan memberi cara terbaik yang perlu. Tapi dlam keadaan sekarang, kita hanya boleh menggunakan WhatsApp dan sebagainya untuk berinteraksi.
Dalam keadaan sekarang juga pelanggan semakin kurang disebabkan mereka juga terkesan dengan pandemik, dibuang kerja atau dipotong gaji. Tindakan saya untuk mengatasi masalah ini dengan memperkasakan lagi promosi produk agar lebih dikenali dan mendapat perhatian pelanggan. Saya fokus berniaga secara online bermula sejak pandemik, sebelum ini hanya part time. Sekarang saya makin aktif dan rancak untuk jualan produk dan berharap lebih ramai akan mengenali saya, insyaAllah,” jelas Natasya.
Berniaga bukan sekadar mengejar keuntungan, Natasya turut mengambil peluang untuk membantu wanita lain. “Saya tahu ramai yang ingin berniaga dan cuba mengubah cara hidup tetapi tidak tahu mahu nak bermula di mana dan tidak cukup modal. Ditambah pula jika tiada sokongan daripada suami.
Saya simpati dengan keadaan mereka ini, bagi membantu semangat mereka ini saya akan memberi bantuan dan peluang kepada agen saya dengan mendahulukan produk. Ambil barang dulu dan jalankan perniagaan dengan khidmat bimbingan dari saya. Alhamdulillah, saya gembira melihat perkembangan mereka yang saya bantu apabila membuahkan hasil,” ujarnya yang mendapat sokongan penuh dari suami dan keluarga.
Kata-kata motivasi buat mereka yang ingin berniaga, “Perniagaan ada proses dan peringkatnya, keuntungan berpuluh ribu atau ratus ribu mungkin tidak nampak di awal berniaga. Tapi jika anda anda konsisten dan terus buat, anda akan nampak hasilnya.
Saya amat bersyukur dalam masa dua tahun berniaga ini, saya berjaya menikmati hasil bisnes seperti masuk rumah baru, selesaikan komitmen dan sebagainya, alhamdulillah. Jika kita jujur dan tidak berputus asa, pelanggan akan nampak usaha anda itu dan akan membuahkan hasil lumayan dalam jangka masa panjang.
Selalu ingat jangan dengar kata orang dan jangan mudah berputus asa. Kita hidup untuk diri kita sendiri, bukan kerana orang. Sentiasa buka diri untuk belajar dan belajar. Zaman sekarang kita tak perlu sangat berbicara tentang kemungkinan, apa jadi kalau suami curang dan sebagainya, tetapi fokus bagaimana kita ingin menempuhi hidup andai kata kita perlu berdikari sendiri suatu hari nanti,” bicara Natasya yang sentiasa bekerja dengan jadual yang teratur agar ada keseimbangan dalam kehidupan.