Makin rancak Marian Rivera melebarkan empayar perniagaan miliknya. Meniti usia 39 tahun dah ibu dua anak ini. Dalam usia lewat 30an dan statusnya sebagai ibu, penampilan Marian Rivera Gracia Dantes kekal mempersona. Pendek kata, persis anak dara. Pandai isteri Dingdong Dantes ini jaga badan!
Tak dinafikan Marian memiliki raut wajah sempurna! Macam tak puas setiap kali tengok kejelitaannya. Bahkan sejak zaman kanak-kanak lagi, terserlah kecantikan asli aktres popular Filipina ini.
Bertuah empunya badan dikurniakan pakej lengkap. Patutlah sering menjadi buruan syarikat mewah antarabangsa!
Marian pernah jadi juri Miss Universe https://www.nona.my/bijak-cantik-terkenal-jelitawan-marian-rivera-jadi-salah-seorang-juri-miss-universe-2021/
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol, anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini bukan calang-calang wanita. Dia memiliki pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas.
Bapa Marian merupakan warganegara Sepanyol manakala ibunya pula rakyat Filipina. Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog.
Bakat Marian juga mula bersinar selepas kejayaan drama Marimar, Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Bahkan Marian juga ada bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014.
Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan. Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015.
Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.
Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.
“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.
Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”
Selain perniagaan bunga segar, Marian juga mengeluarkan koleksi fabrik dan dekorasi kediaman rumah serta melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri pada Disember lepas.
Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.
This website uses cookies.