Fitnah media sosial kini menjadi-jadi dan berleluasa. Satu kesalahan diperbesar-besarkan, malah ada yang ditokok tambah hingga mencalarkan maruah diri seseorang. Pernahkah anda terjebak dalam situasi ini?
Apa hukumnya mengaibkan kesalahan orang? Meskipun orang yang diaibkan itu terang-terangan membuat kesalahan besar atau dosa besar? Bolehkah kita mengaibkan, mencaci dan menghina dia? Bagaimana pula jika ada yang terdorong membuat video parodi atau gambar-gambar untuk diketawakan?
Tahukah anda, mengaibkan seorang muslim hukumnya haram dan berdosa. Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya.
Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan jangan diceritakan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya di hari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah seorang hamba menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya (aibnya) di akhirat” (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang maksudnya, “Muslim (orang Islam) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya (tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat” (Hadis Riwayat Muslim).
Jika orang yang mengaibkan tidak minta maaf pada orang yang diaibkan maka orang yang diaibkan akan menuntut di akhirat dan bayaran ketika itu adalah pahala orang yang mula-mula mendedahkan aib seseorang hingga di buat video dan dimuat turun di Facebook.
Rakan-rakan yang berkongsi berita yang mengaibkan ini juga akan memberikan sebahagian pahalanya kepada orang yang diaibkan, semakin banyak yang share maka semakin banyak pahala yang akan dituntut oleh orang yang diaibkan. Nah, walaupun anda malu di dunia tetapi di akhirat anda akan mendapat bekalan yang banyak. Wallahu a’lam
This website uses cookies.