Siapalah kita untuk mempersoalkan atau mencela ciptaan Tuhan. Walaupun tiada manusia yang sempurna namun hakikatnya setiap ciptaanNya sangat unik dan istimewa.
Penulis buku Born to Smile, Nora Tan Sri Abu Hassan wajar digelar superwoman sebenar. Dilahirkan sumbing (bibir dan lelangit) menjadi titik mula yang memeritkan dalam hidup wanita berusia 50an ini. Disebabkan kekurangan itu Nora membesar dalam keadaan tertekan, sedih dan rendah diri.
Nora merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung. Manakala ibunya ialah Puan Sri Wan Noor Haji Daud. Nora merupakan anak sulung daripada lima beradik.
MANGSA BULI
Nora turut menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah. Pernah terjadi ketika di sekolah menengah, sekumpulan ‘geng budak nakal’ memanggilnya si sumbing, sengau dan budak senget.
“Paling tidak dapat saya lupa dan memberi kesan mendalam ialah seorang rakan sekolah menjerit mengejek saya yang ketika itu baru mengubah gaya rambut dan memakai cermin mata baru.
“Dia kata, rambut dan cermin mata bolehlah ubah tapi hidung dan mulut masih macam itu juga. Jiwa saya luluh bercampur malu bila mendengarnya lebih-lebih lagi ia dilaungkan di depan orang ramai,” luah Nora.
Allahuakhbar! Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya ketika dihina sebegitu. Tidak mahu terus hanyut dengan perasaan negatif, ibu tunggal kepada tiga anak ini bangkit membuktikan dirinya juga mampu berjaya dan bahagia seperti insan lain.
Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Nora layak menjadi sumber inspirasi buat seluruh wanita terutama individu yang dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna agar lebih kuat mengharungi ujian.
“Tahun 60an iaitu ketika saya dilahirkan tidak ada scanning bagi melihat perkembangan dan mengenal pasti masalah pada bayi dalam kandungan. Ibu bapa saya sendiri terkejut melihat keadaan saya buat pertama kali di bilik bersalin. Namun saya bersyukur kerana mereka reda dengan ketentuan, menerima dan menyayangi saya sepenuh jiwa.
“Hakikatnya, perjalanan hidup saya cukup menyedihkan kerana sering dibuli dari segi mental secara sindiran, ejekan dan ditertawakan oleh rakan sekolah. Sampai ada yang tergamak memanggil saya sumbing, senget dan sengau.
“Saya sangat sedih dan sering menangis kerana terguris. Ia memberi tekanan emosi sehingga saya sering berkurung di dalam bilik kerana selesa bersendirian.
“Kenangan mengusik jiwa. Gambar ini diambil semasa saya berada di sekolah rendah, darjah 5. Anda boleh nampak dahi saya berkerut. Masa tu saya memang di dalam kesakitan. Kesakitan emosi kerana saya rasa tertekan. Ada segelintir rakan-rakan yang akan menyindir dan mengejek saya. Saya sarankan pada masyarakat untuk tidak pandang rendah dengan apa-apa kelainan orang lain.
“Kepada ibu bapa ajar, pesan dan didik anak-anak anda untuk tidak mengejek dan menyindir rakan-rakan kerana ini menyebabkan emosi mereka tercabar. Manakala kepada guru-guru di luar sana, tolong fahami keadaan anak-anak dan berilah mereka motivasi yang sepatutnya.”
“Saya banyak memendam sehingga merasa tertekan. Pernah meluahkan apa yang terjadi kepada ibu tetapi tiada penyelesaian. Ibu pesan banyakkan bersabar,” luah Nora atau nama sebenarnya Hasnoradiah Tan Sri Abu Hassan.
Untuk kelihatan normal seperti sekarang sememangnya memakan masa yang lama. Nora telah menjalani kira-kira 8 pembedahan seawal usianya tiga bulan. Bertitik tolak dari situlah Nora tekad untuk menjadi insan dikagumi dan dihormati.
Walaupun sukar untuk menjadi positif, lama kelamaan Nora berjaya mengatasi rasa down dan tertekan yang telah lama ‘bersarang’ dalam dirinya.
PRIHATIN
Walaupun dilahirkan dengan kekurangan itu namun keprihatinan dan kesedaran wanita ini terhadap golongan yang senasib sepertinya wajar dipuji.
“Saya mahu membantu kanak-kanak yang mengalami nasib yang sama seterusnya memberi kesedaran terhadap masyarakat agar prihatin dengan penderitaan dilalui oleh kanak-kanak yang dilahirkan sumbing. Ubah stigma bahawa mereka juga berhak untuk merasa gembira dan bahagia seperti kanak-kanak normal.
“Kes buli seperti yang saya alami boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mereka yang mengalaminya. Buat ibu bapa, didik anak-anak dengan sikap kasih sayang, prihatin dan menghormati orang lain agar tidak mudah memandang negatif terhadap kekurangan atau kelemahan orang lain. Kesedaran anti buli harus bermula dari rumah, ibu bapa,” ungkap graduan University of New England ini.
Nora pernah bertugas untuk Southern Bank sebagai Ketua Jabatan Akauntan Semasa. Nora juga adalah pengasas dan pengetua tadika elit di Ampang iaitu The Children’s Cottage. Pernah memenangi 4 anugerah penceramah terbaik di bawah MIM Toastmasters Club, Nora kini tidak hanya aktif sebagai aktivis sosial bahkan merupakan seorang kaunselor yang bertauliah.
Kredit Foto: Instagram @nhassan8
This website uses cookies.