Puteri raja yang optimis dan merendah diri. Riang dan murah dengan senyuman. Hari ini dalam usia 60-an, YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Hjh Zahariah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj melalui jalan kehidupan dengan tenang dan sederhana.
Membesar dalam perkarangan istana, puteri raja Selangor Darul Ehsan ini sememangnya arif perihal protokol dan mempunyai keperibadian tinggi sejajar dengan setiap langkah yang diaturnya.
Kala berbicara, tidak ada sekelumit pun riak meninggi diri meskipun hidupnya sarat dengan kemewahan. “Walaupun saya dibesarkan dalam istana tetapi Al-Marhum ayahanda membenarkan saya untuk berkawan dan bermesra dengan rakyat biasa yang lain, tiada halangan.
Sememangnya prinsip saya dari dahulu tiada istilah menunjuk-nunjuk atau meninggikan diri. Bagi saya kita perlu layari hidup ini dengan saling hormat-menghormati, berbicara sopan dan sentiasa berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja.
Almarhum ayahanda dulu pernah berpesan, ketulusan hati itu adalah penting dan perlu pandai membawa diri agar perjalanan hidup ini mudah pada masa hadapan. Dengan keikhlasan akan membuatkan keyakinan orang lebih tinggi kepada kita. Tanpa keikhlasan, maka semua yang kita lakukan akan terasa berat dan tidak bernilai di sisi Allah.
Berusahalah untuk selalu menanamkan sikap ikhlas di dalam jiwa. Apabila kita sudah bisa bersikap ikhlas, kita akan merasakan kebahagiaan yang sebenarnya,” ujar Tengku Puteri Zahariah.
Perjalanan kehidupan kini. “Setelah melalui pelbagai cabaran hidup, saya sentiasa bersyukur dengan perjalanan hidup yang telah ditakdirkan buat saya. Segala-galanya saya lalui dengan tenang dan sabar.
Sekarang saya tidak lagi sibuk dalam bidang perniagaan atau politik, hanya menghabiskan quality time bersama keluarga dan cucu-cucu kesayangan, selain daripada pergi bercuti dalam dan luar negara.
Saya hanya ingin menikmati saat gembira ini sebaik mungkin dan sebolehnya tidak mahu hidup dalam ketegangan fikiran yang boleh membuatkan kita bersedih dan sebagainya.
Bicara Tengku Puteri Zahariah yang pernah dikatakan sebagai Joan Collins Malaysia, “Itu semua cerita dulu yang menjadi sejarah dalam perjalanan hidup saya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah terjadi dan bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini.
Waktu itu, orang boleh kata apa sahaja pada diri saya tetapi yang melalui susun alur kehidupan ini, saya sendiri bukan mereka. Paling penting, ketika darah ini masih muda dan rancak, saya suka mengikuti perkembangan fesyen selebriti barat. Diri sendiri terbawa-bawa meniru gaya penampilan mereka dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Itu semua dulu, sekarang dalam usia begini saya senang dengan pilihan busana yang ringkas, sopan, longgar dan selesa. Hanya jika saya menghadiri majlis keramaian, tentu sahaja yang lebih glamor dan elegan menjadi pilihan. Bagi saya, stail itu hadir daripada kebijaksanaan kita mencampurkan gaya walaupun barang itu tidak semestinya mahal.
Namun tidak dinafikan yang barang berjenama mahal itu tentu sahaja datang dengan kualiti tinggi dan baik. Apa pun, semuanya terpulang kepada kemampuan dan cara kita menggayakannya,” jelas Tengku Puteri Zahariah.
Rahsia kecantikan
Wajah Tengku Puteri Zahariah cantik manis dan kulit putih gebu, apa rahsianya? “Saya bangga dengan usia saya sekarang, tidak perlu berselindung. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, siapa sahaja boleh dapatkan rawatan kulit wajah terbaik dan menggunakan krim yang sesuai pada diri anda.
Paling penting, mestilah mengikut kemampuan masing-masing juga. Selain itu, sejak kecil hingga sekarang saya mesti makan buah-buahan dan jus setiap hari, selain banyakkan pengambilan sayur dan salad. Amalan lain mungkin sama sahaja seperti orang lain, minum air secukupnya. Dan sebelum tidur saya pastikan minum air bersama madu dan limau, banyak khasiatnya,” katanya yang tidak menafikan solekan juga memainkan peranan yang penting untuk mencantikkan raut wajah seseorang.
Cita-cita Tengku Puteri Zaharaih yang tidak kesampaian, “Saya sebenarnya mempunyai diploma dalam bidang flower arrangement sewaktu berada di England. Saya suka menggubah bunga dan harapan tinggi untuk membuka sebuah kedai florist bila pulang ke Malaysia.
Tetapi sayangnya hajat itu tidak kesampaian kerana sebagai puteri Sultan, Almarhum Ayahanda tidak menggalakkan saya untuk berniaga ketika itu. Sekarang dalam usia begini, tidak mungkin saya menceburi dunia perniagaan bunga lagi, walaupun kemahiran yang pernah saya belajar dulu masih lagi segar dalam ingatan,” katanya sambil tersenyum manis.
Bicara terakhir Tengku Puteri Zahariah, siapa wanita yang menjadi inspirasi dalam hidup? “Saya mengagumi Ratu Rania sebagai seseorang wanita yang bijak dan sangat cantik. Rania di lihat sebagai seorang ratu yang tidak mensia-siakan pangkat dan pengaruhnya begitu saja apabila sering terlibat dengan kerja amal dan penambahbaikan pendidikan serta kesihatan di Jordan.
Saya melihat keperibadiannya yang mulia, sentiasa merendah diri, tidak menunjuk kekayaan, lemah lembut dan bijak daripada segi penampilan. Rania sering dilihat menggayakan etika berpakaian dengan begitu menarik di setiap majlis dihadiri. Kebijaksanaannya dalam menggabungkan gaya tradisional dengan sentuhan yang lebih segar membuatkan Ratu Rania sentiasa kelihatan elegan dan menawan.”
This website uses cookies.