Ramai wanita sanggup buang tahi lalat untuk cantik tapi anehnya, gadis ini pula bahagia dengan ‘keunikannya’. Evita Delmundo dari Sabah tekad melanggar standard kecantikan tersebut dengan mengikuti uji bakat Miss Universe Malaysia 2018.
Dalam dunia yang memandang rupa paras fizikal sebagai ukuran kebahagiaan, memang susah untuk tidak dicemuh jika wajah tak secantik selebriti. Tapi nampaknya Evita Patcey Edgar Delmundo, 20 tahun, bangga dengan tahi lalat yang tumbuh di seluruh tubuhnya.
Gadis kacukan Rungus-Filipina itu menetap di Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan anak kedua dalam lima adik-beradik. Dia kini bekerja sambilan di sebuah kafe kucing dan bercita-cita ingin menjadi seorang ratu cantik.
Meskipun gadis ini sering kelihatan yakin, tapi tak dinafikan dia juga pernah berasa murung atau sedih. Sewaktu di bangku sekolah, Evita selalu dibuli dan diejek dengan panggilan ‘monster’ atau ‘Chipsmore’kerana kelainannya itu.
“Saya cuba kuatkan hati apabila orang selalu merenung atau memberikan komen biadap terhadap diri saya. Bagi saya, tak perlu melawan balik kerana mereka tak layak mendapat perhatian saya.”
Meskipun pernah terdetik mahu membuang semua tahi lalat di badannya, tapi atas nasihat doktor dia membatalkan niat tersebut. Kata Evita, tiada siapa yang dilahirkan sempurna dan setiap daripada kita ada kekuatan serta kelemahan tersendiri. Jadi berbanggalah dengan apa yang menjadikan diri kita, diri kita.
Kredit: Instagram @evita_delmundo
This website uses cookies.