Semalam berlangsungnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana semua calon untuk setiap parti yang bertanding hadir mengemukakan borang pencalonan. Ia membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang dibubarkan. SPR menetapkan 19 November ini sebagai Hari Pengundian PRU15 selepas Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu .
Ketibaan seorang calon bebas, iaitu pempengaruh media sosial dan usahawan, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharudin turut menarik perhatian lensa media dan warga mata di mana dia yang akan bertanding di Parlimen Batu. Namun siapakah wanita yang berusia 28 tahun ini dan kenapa dia menjadi bualan hangat untuk PRU kali ini?
Nur Fathiah yang berumur 28 tahun merupkan usahawan wanita dalam industri keselamatan dan pertahanan, bertanding pada PRU kali ini kerana ingin membantu menyelesaikan permasalahan penduduk Batu, terutamanya golongan B40 dan kumpulan sasaran. Beliau merupakan Pengarah Raffles Force (Malaysia) Sdn. Bhd. (Industri Keselamatan) dan Nova Defence Sdn. Bhd.
Menjadi ibu tunggal kepada dua cahaya mata pada usia muda dan bertanggungjawab kepada ibu, nenda dan dua adiknya, perjalanan hidup Nur Fathiah Syazwana penuh dengan onak liku dan ranjau duri.
Perkahwinan di usia muda membuatkan beliau terpaksa melupakan bidang pendidikan buat sementara. Namun indah hanya sementara sebelum perkahwinan yang dibina terlerai juga turut putus di pertengahan jalan.
Namun kesedihan hidup dan kekecewaan tidak mematahkan semangat dia untuk terus bangkit dan berjaya. Pengorbanan beliau juga tidak hanya tertumpu kepada anak-anak tetapi juga kepada keluarga. Apabila tiba ‘masanya’, wanita kelahiran Pulau Pinang ini nekad meneruskan cita-cita mengejar impian dan ingin memberikan bakti kepada masyarakat agar kesedihan yang pernah dilaluinya tidak akan ditempuhi oleh orang lain.
Lulusan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris itu berkata, pembabitannya di arena politik bertujuan membantu meningkatkan kualiti pendidikan, aktiviti ekonomi, kebajikan, infrastruktur, keselamatan dan kesejahteraan penduduk Batu, selain menjadi mata dan telinga rakyat.
Nur Fathiah adalah calon muda yang bergiat aktif bersama Pertubuhan Tindakan Perikatan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Hetero Action Women Alliance (HAWA) dalam memperjuangkan suara penduduk Batu.
Sebelum ini, Nur Fathiah pernah hangat diperkatakan warga maya selepas dirinya dituduh sebagai seorang transgender dan bermacam-macam gelaran lagi selepas gambar dia bersama Syed Saddiq pernah tular di media sosial, selain kes melibatkan rumahtangganya bahawa dirinya pernah dikatakan dikasari bekas suami.
Apa-apa pun NONA mengucapkan selamat maju jaya buat Nur Fathiah.
Foto kredit: Instagram (@nurfathiahsyazwana)
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.