Pernah Dipaksa Kahwin & Hidup Dalam Kemiskinan, Kini BONDA ROZITA IBRAHIM Mahu Kekal Positif!

Siapa sangka di sebalik aura positif dan sifat riangnya yang selalu diterapkan dan ditonjolkan di laman instagram milik Rozita Ibrahim atau lebih mesra dikenali sebagai bonda Rozita ini sebenarnya mempunyai 1001 kisah duka. Dilahirkan dalam keluarga yang susah, pernah dipaksa berkahwin pada usia 16 tahun dan menjadi janda pada usia yang sangat muda, bonda tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan sentiasa berusaha menjadi seorang wanita yang lebih positif.

“Disebalik masalah penceraian dan kesempitan ekonomi, saya suka kepada kecantikan. Jadi dengan cara ini lah saya cuba keluar daripada masalah dan membuatkan saya sebagai seorang pengasas produk. Bagi menghilangkan rasa sakit itu, saya akan cuba mengalihkan minda saya untuk lebih fokus mencari duit untuk anak-anak makan dan beri kepada orang yang lebih memerlukan”, kongsi ibu kepada jutawan kosmetik terkenal Dato’ Sri Aliff Syukri ini di laman instagram miliknya.

“Saya kena rawat dan ubah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengubah orang lain. Berhenti untuk rasa takut dan merengek tidak tentu arah terutama sekali kepada mereka yang tidak pandai kawal emosi. Cuba belajar untuk tukar persepsi dan twist pemikiran kepada yang lebih bermanfaat”, tambah usahawan kosmetik Sendayu Tinggi dan Jamu Ratu Melaya ini.

Bakatnya yang dimiliki dalam bidang perniagaan mahu dimanfaatkan sepenuhnya apabila bonda juga berniat untuk membantu wanita lain di luar sana untuk mencapai kejayaan masing-masing.

“Selain itu, saya juga suka membantu golongan asnaf dan wanita yang mempunyai masalah. Saya sayang semua wanita sebab itu saya menggelarkan diri sebagai ‘bonda’ supaya mereka yakin bahawa ‘bonda’ ini lah yang akan menunjukkan jalan menuju kejayaan dan berusaha mendidik mereka”.

Walaupun mempunyai kehidupan yang serba lengkap dan mewah sekarang, bonda ternyata masih selesa menjalani kehidupan yang sederhana tapi selesa bersama keluarga dan anak-anak.

“Kehidupan saya serba ringkas. Makan dan pakai apa yang ada sahaja asalkan halal dan mudah dicapai”, tulisnya lagi.

Bahkan, sebagai seorang yang aktif berniaga sejak di usia muda lagi, bonda menganggap kehidupan adalah satu perlumbaan dan harus sentiasa berada di hadapan. Beliau juga tidak suka dikelilingi oleh orang yang mempunyai aura negatif dan sering lambat.

“Saya paling tak suka buat perkara lambat walaupun 5 saat. Semuanya saya nak cepat. Begitu jugalah dalam bisnes”.

Share
Published by
Elly Jalil