Apa kata anda cuba amalkan diet telur rebus seperti yang disarankan wanita ini yang dikenali sebagai Emy Mellisa ini. Jangan lupa, cuba sekali Salmon Masak Cili Padi versi Emy Mellisa yang dikongsi di hujung arikel ini.
Seronok melihat perkongsian Emy Mellisa Mohd Kasim di Instagram miliknya. Penuh dengan gambar pelbagai jenis menu termasuklah olahan menu sihat untuk diet telur rebus yang diamalkan. Bagi memudahkan para pengikutnya, Emy Mellisa meletakkan #eggdietemymellisabdk sebagai rujukan.
Diet jenis ini sememangnya menjadi trend masakini untuk memiliki berat ideal. Ternyata, Emy Mellisa berjaya mencapai berat idealnya berkat amalan yang konsisten.
“Saya memang jenis yang kurus sejak kanak-kanak sampailah ke zaman kampus. Namun semasa umur 25-26 tahun saya tak sedar berat badan naik mendadak. Lalu saya nekad untuk berhenti kerja dengan niat nak turunkan berat badan dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
Saya google macam-macam jenis diet. Akhirnya saya tertarik dengan diet Atkins lalu mencubanya. Dari berat 75kg, saya berjaya dapatkan berat 57kg. Tapi semasa dalam fasa maintain tu pernah jugalah tersasar sedikit. Berat saya naik ke 62kg!
Lepas berkahwin, saya ada melakukan minor surgery. Disebabkan itu berat saya kembali naik sampai 68kg. Saya cuba untuk diet semula. Saya terbaca kisah viral Amylia AF yang kembali kurus dengan hanya mengamalkan diet telur tanpa ke gim. Saya terus google berkaitan diet telur.
Walaupun saya bukanlah penggemar telur rebus tapi saya nekad juga demi kurus. Kini telur rebus menjadi signature food saya setiap hari. Saya berjaya mencapai berat ideal semasa zaman sekolah menengah. Dari 68kg saya berjaya mendapat 52kg dalam masa tiga bulan setengah.
Saya idamkan untuk capai berat 48-49kg walaupun sebenarnya dengan berat sekarang dah cukup ideal dengan ketinggian saya iaitu 160cm. Empat bahan yang mesti ada dalam diet ini ialah telur rebus, epal hijau, kacang kuda dan teh hijau. Bila berlaku penurunan berat yang banyak, saya mula mempelbagaikan makanan sihat lain dalam menu harian.”
PERNAH DIPANDANG SINIS
“Semasa bujang ada yang cakap badan saya macam perempuan yang dah kahwin anak lima. Bentuk badan saya dipertikaikan. Lepas berkahwin pula, ada yang menegur badan saya lebih berisi tak macam sebelum berkahwin.
Sokongan suami membuatkan saya lebih konsisten semasa berdiet. Suami tahu saya tak suka telur rebus tapi setiap pagi suami masakkan telur rebus. Rupa bentuknya sangat cantik sehinggakan saya tiba-tiba boleh sukakan telur rebus.
Ramai juga followers di Instagram yang turut mencuba cara diet saya. Kebanyakannya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi tentang diet telur.
Kebanyakan menu sihat yang saya sediakan adalah daripada imaginasi sendiri. Saya tak merujuk mana-mana buku walaupun di rumah ada banyak buku resipi. Kadang-kadang apa yang saya makan di luar, saya akan olah menjadi versi yang lebih sihat. Resipi rakan-rakan di Instagram juga menjadi rujukan saya.
Menu sihat kegemaran saya ialah salad yang ditambah protein. Saya amalkan sayuran hijau dan ulaman untuk awet muda. Saya juga gemar ke gim 4-5 hari dalam seminggu dan meluangkan masa sejam setengah ke dua jam untuk senaman kardio dan strength training.”
NASIHAT BUAT YANG SEDANG BERDIET
“Buat wanita-wanita yang sedang berdiet, untuk kawal nafsu makan anda haruslah bijak membezakan rasa lapar atau nafsu. Kawal stres kerana ia membuatkan kita sentiasa rasa nak makan. Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong.
Berhenti membandingkan makanan kita dengan orang lain, tak perlu fikir makanan yang terlalu fancy
kerana makanan biasa pun mampu membuatkan kita kurus dan kekal sihat. Paling penting jangan jadikan makanan ringan sebagai stok di rumah sebab potensi untuk ‘termakan’ tu sangat tinggi.”Emy Mellisa berusia 38 tahun dan merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari UTM Skudai.
SALMON MASAK LEMAK CILI PADI VERSI EMY MELLISA
Bahan-bahan:
Kepingan isi ikan salmon
1 kotak kecil santan
Cili padi (dikisar/ditumbuk kering)
Kunyit (dikisar/ditumbuk kering)
Garam secukup rasa
Asam keping
Sedikit air
Daun selasih
Hirisan daun kunyit
Cara Membuat:
Masukkan santan ke dalam periuk diikuti bahan yang dikisar atau ditumbuk kering. Tambahkan air dan hirisan daun kunyit. Biarkan mendidih seketika, masukkan kepingan isi salmon. Tambahkan garam, asam keping dan daun selasih. Kacau sebentar kemudian angkat.
Kredit Foto: Instagram Emy Mellisa
This website uses cookies.