Pernah Dituduh MENGIKIS DUIT SUAMI, Syarifah Khyra BANGKIT Menjadi Pengusaha Kecantikan BERJAYA

Bukan mudah untuk berjaya dalam dunia yang penuh dengan cabaran, hanya mereka yang benar-benar miliki keinginan tinggi mampu menempuh badai dan juga pahit manis dunia perniagaan. Mengenali wanita berusia 25 tahun ini memberikan satu dimensi baru tentang keberanian. Dia yang mula berniaga secara kecil-kecilan dari pintu ke pintu di asrama universiti kini sedikit demi sedikit membina empayar perniagaan kecantikannya sendiri. Jom kita singkap pengalaman dan juga cedok input positif yang boleh dijadikan teladan daripada pengasas produk kecantikan Fellera Beauty ini.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MELIBATKAN DIRI DALAM DUNIA PERNIAGAAN?

Sebenarnya ia bermula semenjak saya menuntut di peringkat diploma Komunikasi Massa di UiTM cawangan Lendu, Melaka. Ketika itu saya mahu berniaga untuk menampung kos pembelajaran dan kebetulan ramai bertanya bagaimana saya menjaga kulit saya yang sentiasa kelihatan sihat dan cerah berseri. Hendak dijadikan cerita, saya memang mengamalkan penggunaan skrub beras dan ini merupakan tradisi turun temurun yang diamalkan oleh arwah ibu saya. Saya memuat naik status di laman Facebook dan bertanya siapa yang mahukan produk yang saya guna tidak sangka banyak respons positif yang diterima. Jadi ketika itu saya terfikir mengapa tidak saya menjual skrub beras ini?

Maka bertitik tolak dari situ saya mula memasarkan skrub beras dari pintu ke pintu di asrama. Pada mulanya memang segan, jadi saya mengupah rakan saya untuk membantu dan ketika itu saya mengupahnya jika satu botol berjaya terjual dia akan memperoleh RM2 untuk setiap satu. Melihat kepada sambutan yang hangat saya terdetik bahawa produk ini boleh diformulasikan untuk dijual secara komersil. Dengan bantuan dan tunjuk ajar seorang kenalan yang memiliki pengalaman di dalam bidang kecantikan, saya mengambil nasihatnya untuk menjadikan produk ini komersial. Sewaktu produk ini hendak dikomersialkan, saya bermula dengan modal yang sangat kecil, sedikit demi sedikit apabila permintaan semakin besar seterusnya saya mengeluarkannya dalam skala besar.

Jangan Dengki Dengan Kejayaan Orang Lain, Sebaliknya Jadikan Kejayaan Mereka Sebagai Inspirasi Untuk Berjaya – Syarifah Khyra

APAKAH PENGALAMAN YANG MEMATANGKAN DAN MENGUATKAN DIRI?

Kalau nak tahu, saya berkahwin di usia muda. Jadi ada pandangan sinis dari orang sekeliling yang mengatakan bahawa saya mahu mengikis duit suami. Kata-kata ini memang orang anggap tidak besar, tapi ia memberi kesan kepada semangat saya. Untuk membuktikan bahawa saya bukan seperti yang mereka katakan saya berusaha untuk membuktikan bahawa saya boleh berdiri di atas kaki sendiri. Saya hanya meminta bantuan daripada suami bernilai RM1000 sebagai modal dan kemudian saya membayar semula RM1400 kepada suami sebagai hadiah kepadanya. Saya bersyukur kerana dia sangat memahami dan banyak menyokong kerjaya saya. Bila sudah berjaya kita akan rasakan perubahan, orang yang dekat akan menjauh dan orang yang jauh pula mahu dekat. Namun saya bersyukur kerana sahabat baik saya masih lagi baik dan mereka selalu berkata kepada saya supaya jangan berubah. Memang saya tidak pernah mahu rasa mendabik dada kerana saya masih lagi Khyra yang dahulu.

SELAIN MENGAMALKAN PRODUK KECANTIKAN SENDIRI. BOLEH KONGSIKAN TIP KECANTIKAN ANDA YANG LAIN?

Sebagai pengasas produk kecantikan semestinya saya menggunakan produk saya sendiri. Bagi saya sebagai pengasas produk kita perlu menjaga kecantikan agar selari dengan slogan produk yang dilaungkan. Dari sudut tip kecantikan yang lain, saya seorang wanita yang masih muda namun amalan saya seperti orang dahulu kala. Sebagai contoh kalau berpantang saya masih berpegang kepada amalan turun temurun kita dan tidak memandang ringan tentang perkara ini. Untuk menjaga tubuh badan pula saya akan bersenam ringan di rumah sahaja asalkan keluar peluh. Akhir sekali, hati perlu bersih kerana dari hati yang bersih kecantikan akan terpancar di wajah. Kalau hati kita selalu dengki dan susah hati melihat kejayaan orang lain pasti wajah tidak akan berseri kerana terlalu banyak aura negatif yang bersarang di minda.

*Untuk membaca wawancara Nona bersama Syarifah Khyra dengan lebih lanjut, jangan lupa untuk mendapatkan majalah Nona edisi September 2017 di pasaran.

Share
Published by
Fiezreen