Hanya kerana obsesi kepada kecantikan rambut, wanita ini mampu bergelar jutawan walau baharu tiga tahun mengemudi perniagaannya menerusi Ctymary Resources. Kegigihan Siti Mariam Abd Samad melangkah deras tanpa menoleh ke belakang seharusnya menjadi inspirasi meski sang empunya badan masih seakan tidak percaya dengan kejayaan yang tercipta.
“Bila sudah berada di tahap sekarang, kadang-kadang saya sendiri rasa bagai sebuah mimpi mainan tidur. Jika diimbau kembali saat mula mengatur langkah bergelar usahawan memang banyak jerih perih saya lalui hingga mengajar erti sebuah kehidupan. Pengalaman kereta kena tarik, hutang keliling pinggang lantas terdesak pinjam duit Ah Long sukar dilupakan begitu sahaja.
Bermula dengan niat berniaga semata-mata demi kelangsungan hidup dan melunaskan hutang keliling pinggang, kini saya berjaya membantu individu lain menjana pendapatan melebihi RM1 juta setahun pula. Saya sangat bersyukur dengan aturan dari Yang Maha Esa ini,” ujar wanita yang mesra digelar sebagai Ctymary ini.
Berbekalkan prinsip hidup, ‘Tak kisah siapa yang nak tinggalkan saya, apa pun terjadi saya akan buat kalau saya kata nak’ menjadi pegangan wanita ini untuk melebarkan empayar perniagaannya.
BERKEMBANG
Menyentuh perkembangan terkini, wanita berusia 29 tahun ini rupanya baru saja melancarkan produk di bawah rangkaian bisnesnya. Walau bagaimanapun fokus utama tetap kepada kecantikan dan kesihatan rambut.
“Faith Fleur baru melancarkan produk iaitu hair mask. Produk ini dihasilkan khusus untuk melembapkan lagi rambut yang telah sedia cantik. Sebenarnya di bawah Ctymary Resources, terdapat dua jenama yang saya usahakan iaitu Faith Fleur dan Leaf By Ctymary.
Leaf by Ctymary yang ‘lahir’ pada tahun lepas merupakan produk penjagaan rambut premium. Di bawah label ini produk vitamin rambut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” terang Ctymary yang mula membangunkan jenama Faith Fleur pada tahun 2017.
Berkat kerja keras dan keberkesanan produk Faith Fleur yang menjadi taruhan utama, kini beliau mampu berbangga memiliki sebuah wisma yang berlokasi di Bandar Saujana Putra, Selangor.
Jatuh bangun bisnes menjadi asam garam usahawan. Apatah lagi jika menceburi dunia perniagaan tanpa ilmu. Graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini turut mengakuinya.
“Bisnes pertama saya sebenarnya adalah menjual baju. Tapi malangnya sebab tak ada ilmu, baju yang terjual hanya 4 helai sahaja. Itu pun jual dekat adik-beradik, sepupu dan kawan. Selebihnya saya beri percuma kepada saudara-mara terdekat sebab saya tak pandai dan saya malu sebenarnya.
Itu adalah percubaan pertama yang saya usahakan dan saya gagal. Selepas gagal dengan bisnes baju saya cuba menjual produk kecantikan wajah pula. Saya cuba pakai produk tersebut dan memang cantik kulit saya tapi rupanya ia dihasilkan daripada bahan-bahan tanpa kelulusan.
Waktu itu saya mula tak rasa malu untuk berniaga dan mengiklankan bisnes. Bila sudah mula mempunyai pelanggan tetap saya sedar bahawa produk kecantikan wajah bukan forte saya.
Saya lebih sukakan kecantikan rambut apatah lagi ketika itu saya sendiri mengalami masalah rambut gugur dan kelemumur. Bermula dengan menjual produk rambut orang, saya berjaya menjadi ejen dan kemudian master stokis.
Dugaan dan cabaran berniaga itu akhirnya memberi pengalaman bernilai kepada saya untuk melahirkan jenama Faith Fleur sekarang. Itulah ilmu asas yang ditimba sebelum saya terus belajar dan belajar hingga menjadi usahawan berjaya,” kata isteri kepada Muhammad Abdul Halim Bahadorisam yang kini mempunyai 3,000 agen di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
PERSAINGAN
Kekuatan Faith Fleur sebenarnya terletak pada keberkesanan produk penjagaan rambutnya berbanding usahawan kosmetik lain yang cenderung mengusahakan produk kecantikan kulit.
Bercakap tentang persaingan, ini komen Ctymary. “Bagi saya produk rambut antarabangsa sebenarnya dah wujud sebelum saya lahir pun. Memang bukan senang mahu bersaing dengan produk dari luar tapi saya percaya dengan kekuatan produk sendiri boleh membantu menyelesaikan masalah rambut pelanggan saya.
Melihat peningkatan jualan dari setahun ke setahun pun sudah cukup untuk saya. Saya pasti walaupun belum tiba masanya untuk bersaing dengan produk antarabangsa tapi dalam masa yang sama tetap perlu adanya penjenamaan agar produk Faith Fleur gah di negara sendiri,” tutur Ctymary yang kini giat mengatur langkah untuk mempelopori pasaran di Indonesia.
Semangat wanita ini semakin deras apabila melihat individu lain mampu meraih pendapatan lumayan. “Pada tahun lepas, 7 orang ejen saya berjaya mencapai jualan lebih RM1 juta. Yang tertinggi pula ialah RM4.4 juta.
Dia merupakan seorang pelajar universiti berumur 26 tahun yang rajin mengikut saya dari tahun pertama sehingga sekarang. Apabila melihat kejayaan mereka benar-benar menaikkan semangat saya untuk melahirkan lebih ramai wanita sukses pada masa depan,” tekad Ctymary penuh semangat.
This website uses cookies.