Setiap babak dalam kehidupannya bagaikan sebuah sinopsis berharga untuk semua. Setiap gerak-gerinya memberi inspirasi juga aspirasi kepada kaum wanita diluar sana, sehingga menjadikan gaya rambut, fesyen dan juga solekannya sebagai sebuah rujukan. Mendiang Puteri Diana Spencer, sebuah nama yang tidak asing. Biarpun hilang di mata selepas hampir 25 tahun pemergiannya, namun beliau sebuah ikon yang tidak pernah hilang dari hati dan jiwa semua.
Berbicara mengenai Lady Diana Spencer, sebuah drama dokumentari yang mengisahkan tentang sejarah keluarga diraja British, konflik dan skandal dalam Buckingham Palace serta tragedi tragis Puteri Diana, The Crown bakal hadir dengan siri terbaru bermula pada 9 November ini di saluran Netflix. Menariknya, kali ini karakter Diana Spencer bakal dihiasi dan dibintangi dengan wajah terbaru selepas Emma Corrin.
Pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem The Great Gatsby, Elizabeth Debicki menggalas tugas besar dalam menjayakan watak Puteri Diana untuk siri terbaru The Crown.
Menurut Elizabeth, setiap bibit bicara yang dilontarkan serta gerak-geri figura kesayangan ramai itu menyentuh hati ramai orang. Ia bagaikan sebuah peluang istimewa dan berharga buat dirinya apabila dapat menyertai krew produksi The Crown.
Elizabeth Debicki Di Sebalik 5 Fakta!
Merupakan anak sulung dalam keluarganya, Elizabeth dilahirkan pada 24 Ogos 1990 di Paris. Keluarganya berpindah ke Melbourne ketika berumur lima tahun. Bapanya berdarah Polish manakala ibunya berdarah Australian.
Ibubapanya merupakan penari balet profesional. Oleh kerana itu, dia berhasrat untuk menjadi seperti kedua ibubapanya, namun impian itu dihalang oleh ketinggian dirinya yang mencecah hampir 191 cm. Menurut Elizabeth, dia lebih tinggi dari gurunya ketika dia baru berusia 12 tahun dan menyebabkan dirinya seringkali terlanggar lampu di atas siling. Hal ini menyukarkannya untuk meneruskan minat dalam dunia balet. Elizabeth juga berkongsi cerita yang sama dimana Puteri Diana juga menghadapi kesukaran dalam tarian balet.
Elizabeth mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak dari sekolah lagi. Namun, minatnya itu pernah ditentang oleh ibu-bapanya yang mahukannya menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang. Tidak menghiraukan pendapat ibu-bapanya, dia nekad untuk belajar di Victorian College of the Arts dalam jurusan drama.
Bukan sahaja memiliki ketinggian yang luar biasa, malah bentuk badannya juga menjadi bahan bualan apabila ramai yang memujinya kelihatan cantik dan anggun saat melakonkan watak Puteri Diana dalam siri The Crown yang terbaru. Menurut Elizbeth, antara rahsia yang boleh dikongsikan ialah, dia menjadikan senaman HIIT sebagai kunci untuk mendapat bentuk badan yang ideal.
Masih ingat karakter Ayesha yang disaluti dengan rona emas menerusi filem Guardians Of The Galaxy Vol. 2? Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa Elizabeth merupakan pelakon untuk watak tersebut! Menurut Elizabeth, ia merupakan sebuah proses yang memenatkan kerana ia memerlukan lima lapisan emas untuk mendapatkan efek yang sempura.
Penulis: Putra
This website uses cookies.