Kagum melihat dua wanita ini mencari rezeki demi keluarga. Kehidupan mereka yang dahulunya susah kini dilihat sangat mewah hasil penat lelah bersama suami tersayang. Niat mereka satu, agar keluarga yang dibina dapat hidup senang. Lihat sahajalah harta yang dikumpul hasil dari usaha sendiri.
Mesti ramai yang kenal dua beauty influencer ini. Yang rajin selongkar video tutorial pasal makeup, pasti singgah di laman akaun Instagram Muabellaz dan Asyalliee. Masing-masing sudah pun mempunyai jenama produk kecantikan sendiri.
Muabellaz kini sibuk dengan penjualan produk Bellaz Beauty dan Asyalliee pula dengan jenama Loveliee Beauty. Seronok bila baca posting yang mereka kongsi di sosial media. Kehidupan mereka sama macam kita tetapi mereka sudahpun melalui fasa kesusahan dalam hidup demi mencapai kesenangan pada hari ini.
Bagi Bellaz, niat dan usaha adalah kunci kejayaan. Bertuah sungguh Bellaz kerana suaminya juga bekerja bersungguh-sungguh untuk membahagiakan mereka sekeluarga.
“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Saya pernah ke ‘kelas ikan’, mengasingkan ikan bilis mengikut gred sebelum ke sekolah demi mencari duit. Selepas habis kelas, saya bekerja pula di kedai makan sehingga ke malam. RM20 yang diterima pun dah cukup untuk beli beras dan lauk untuk kami sekeluarga.
Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.
“Sewaktu mengahwini suami saya, Anuar Ahmad, saya hanya mahu keluar dari keluarga kerana tak mahu lagi menyusahkan Mama. Saya sangat bersyukur kerana suami dan keluarganya menerima saya walaupun saya anak orang susah. Jujur saya katakan, rezeki yang Allah bagi hari ini adalah untuk suami saya kerana dia banyak bersusah-payah untuk saya dan keluarga.
Dialah yang menemani saya di bawah panas matahari bersama anak sulung kami yang masih kecil ketika saya menyolek pengantin. Sudahlah ketika itu kereta Kancil kami tidak ada penghawa dingin, menunggu pula berjam-jam. Untuk saya senaraikan segala kebaikannya memang tak habis. Cukuplah saya katakan, suami saya adalah tulang belakang kejayaan saya. Aura positifnya mempengaruhi hidup saya sehingga menjadi lebih baik.
Lain pula kisah yang dikongsi wanita yang pernah mendapat jolokan ‘beauty guru’ ini. satu Ketika dahulu, dia begitu dikenali dengan minat mendapat pada K-Pop. Wajah pun ada iras-iras wanita Korea!
“Saya mula dengan perkongsian video solekan di Youtube. Kemudian saya masuk ke dunia modelling dan baru mulakan perniagaan. Saya pernah ditipu, dijadikan kambing hitam, difitnah dan tidak dibayar dulu. Mungkin kami suami isteri tidak ada pengalaman dalam bisnes ini tambahan pula saya masih muda, mungkin sebab tu orang ambil kesempatan.
Waktu kecil dulu pun saya digelar budak miskin. Arwah ibu hanyalah seorang tukang masak yang sering berpindah-randah. Kalau nak tahu, saya pernah menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kedah kerana mengikut ibu. Jadi saya tak ramai kawan. Sewaktu di Kedah, arwah ibu dapat menjadi tukang masak di kedai dan diberikan sebuah hostel kecil untuk kami tiga beranak.
Di situlah kami tidur dan makan. Kawan-kawan di sekolah gelarkan saya budak miskin, budak kotor, tak mandi malah mereka jauhkan diri dari kami. Hendak ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Lepas ibu meninggal dunia, saya dan adik terpaksa berpisah kerana kami tinggal berasingan bersama kakak-kakak yang sudah berkahwin,” ceritanya.
“Sebelum berkahwin, saya memang hidup hasil daripada review yang dibuat di Instagram. Itulah perbelanjaan untuk makan, membeli keperluan seperti barang solekan, baju dan mungkin beg tangan. Selepas berkahwin, saya masih mencari pendapatan dengan hasil review tetapi di bawah satu pengurusan. Saya menjadi duta produk dan aktiviti modelling
juga. Namun, upah yang diterima sangat sedikit berbanding percentage yang diambil pihak pemgurusan.Baru beberapa minggu usia kandungan pertama, saya difitnah meniru rekaan fesyen seorang pereka. Tidak ada sesiapa yang menegakkan kebenaran dan saya menjadi mangsa kambing hitam! Duit dalam bank hanya tinggal tak sampai RM500 untuk kami hidup. Saya terlalu stres dan emosi saya sangat terganggu ketika itu. Saya jual baju K-Pop yang saya gemari, beg-beg tangan walaupun tak berjenama hanya untuk beli makanan.
Mujur kakak-kakak dan kawan-kawan sedia membantu. Di rumah merekalah tempat kami menumpang makan. Saya sentiasa berdoa agar Allah mengubah hidup kami menjadi lebih baik dan menunjukkan kepada kami kebenaran. Kami rasa sungguh teraniaya!”ujarnya.
Tetapi kisah mereka sudah boleh disimpan rapi. Bila niat sudah tepat, rezeki yang Allah beri juga semakin mencurah-curah. Mereka hidup susah senang bersama suami tersayang dan hasilnya, rezeki yang diterima dikongsi pula bersama keluarga. Paling penting, mereka berdua ni tetap humble!
This website uses cookies.