Pemilik butik Temujanji, Suzie Eryanty Mohd Suleiman berjaya meletakkan dirinya sebagai usahawan butik fesyen yang sukses dan terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
Berkat kegigihan dan tidak pernah mengalah, wanita yang mesra dengan panggilan Suzie ini mampu menguruskan perniagaannya yang beroperasi sejak tahun 2014 dengan baik biarpun tidak pernah terlepas dengan pelbagai cabaran.
“Sebelum munculnya Temujanji by Suzie Eryanty, saya sering menyarungkan baju rekaan sendiri ke majlis-majlis perkahwinan rakan.
“Tak sangka pula ramai yang memuji dan bertanya di mana saya beli. Dari situlah timbulnya idea. Tambahan pula, saya memang bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen berjaya.
“Alhamdulillah sambutan sangat bagus. Permintaan juga makin banyak setiap kali design baharu dikeluarkan. Kebanyakan pelanggan bukan saja datang dari Malaysia bahkan Singapura, Brunei, Indonesia serta Dubai.
“Walaupun hampir 10 tahun label Temujanji berada dalam industri, perjalanan saya masih jauh. Apa pun saya bersyukur kerana Temujanji mudah diterima dan mendapat sambutan yang sangat baik sampai ke hari ini.
“Saya berterima kasih kepada Papa da Mama yang selalu ada saat susah dan senang saya selama ini.
“Mama banyak mengajar saya dari sudut operasi serta cara mempromosikan produk. Pendek kata kami sekeluarga memang business minded.”
“Merekalah mentor dan sumber inspirasi saya dalam bisnes, lebih-lebih lagi Papa.
“Sejak muda lagi Papa sudah bergelar usahawan serta menguruskan perniagaan logistik dan kilang di Westport,” bicara anak kelahiran Klang berketurunan Melayu-Cina-Portugis ini.
Pada usia muda, Suzie berjaya meletakkan dirinya sebagai usahawan butik fesyen yang terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
“Saya berpegang kepada prinsip, terus berusaha keras tanpa jemu. Pekakkan telinga apabila ada hal-hal negatif dan teruskan buat yang terbaik. Sentiasa menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.”
Selain pakar dalam bidang fesyen, Suzie turut memiliki kebolehan dalam bidang reka bentuk bangunan.
“Kebanyakan idea reka bentuk saya curahkan pada dekorasi rumah dan butik. Dekorasi dan fesyen adalah jiwa saya. Selepas tamat belajar saya pernah bekerja sebagai arkitek dan pereka interior.
“Pada usia 26 tahun saya berjaya menamatkan pengajian dan memulakan perniagaan Temujanji,” bicara ibu anak satu ini yang gemar melakukan aktiviti sosial sejak di bangku sekolah sehingga kini.
RAHSIA CANTIK
“Saya amalkan minum air suam sebaik bangun pagi dan sebelum bekerja.
“Jika ada masa terluang saya akan ke spa bersama Mama. Tak lupa, sedekahkan senyuman setiap hari.”
Di penghujung temu bual, Suzie berkongsi tip bagaimana untuk menjadi seorang usahawan sukses.
“Jangan takut untuk mencuba. Kalau tidak berjaya pada kali pertama jangan mudah putus asa. Jadilah seorang yang kreatif.
“Jangan sesekali anggap pesaing adalah musuh. Salinglah membantu dan berusaha menjadi insan yang positif.”
Kredit Foto: Instagram Suzie Eryanty
BACA JUGA: Banyaknya Pilihan Baju Raya Di TEMUJANJI BY SUZIE ERYANTY, Cantik-Cantik Pula Tu!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona