Pernah Jadi Juara Qariah, YUKA KHARISMA Tak ‘Ponteng’ Kelas Mengaji Masa Belajar Di Acheh!

Yuka Kharisma… namanya mungkin tidak segah Datuk Rossa, Krisdayanti, dan beberapa selebriti Indonesia yang popular di Malaysia. Namun bakat yang dimiliki Yuka tidak perlu dipertikai lagi. Lontaran suaranya cukup matang dan mengagumkan hingga ada yang menyamakan kelunakan vokal Yuka seperti penyanyi negara jiran yang terkenal di peringkat antarabangsa, Anggun.

Disifatkan sebagai selebriti yang mudah didekati, keistimewaan Yuka tidak hanya terletak pada bakat nyanyian bahkan ibu kepada Ahmad Avisenna ini juga memiliki keperibadian yang sangat ‘mahal’. Menjadi penghias Majalah Nona Oktober 2019, secara eksklusif Yuka mendedahkan sisi kehidupan yang pernah dilaluinya kepada pembaca setia Nona. Tujuannya hanya satu! Mahu menjadikan kisah hidupnya sebagai inspirasi dan suntikan semangat buat wanita di luar sana. Paling tidak disangka adalah dia sebenarnya pernah bergelar juara qariah!

Bertahun-tahun menyimpan ‘rahsia’ menjuarai pertandingan menghafaz Al-Quran daripada pengetahuan umum, Yuka tanpa berselindung membuka kisah hati. “Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya terus menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai impian mereka. Kalau tanya adakah cita-cita saya menang untuk jadi penyanyi? Sebenarnya, tidak.

Cuma pada saat itu, saya tak ada pilihan dan kerana hobi suka menyanyi… jadi teruskan sajalah. Dulu cuma fikir hendak cari wang untuk keluarga. Sehinggalah saya bernikah, ternyata ada banyak lagi yang harus dicuba dan suami sokong. Jadi saya baru berani buat yang lain. Jujurnya, cita-cita saya ialah hendak jadi usahawan.”

Ujar Yuka lagi, dia pernah belajar dan tinggal di Malaysia sekitar tahun 2004 kerana mengikuti bapanya yang bertugas di Kedah. Bagaimana pun dia terpaksa bergelut dan menyesuaikan diri untuk memahami loghat serta sistem pendidikan yang jauh berbeza daripada negara kelahirannya sendiri. “Sewaktu mengikuti papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Sungai Petani, Kedah. Saya ingat lagi nasihat cikgu kaunseling masa saya masih belajar di sana.

Saya susah hendak belajar untuk SPM sebab datang ke Malaysia je terus kena ambil peperiksaan besar ni. Masa mula-mula datang tu memang teruk. Papa kerja di sana dalam tahun 2004 hingga 2005. Memang apa yang cikgu cakap, saya tak faham. Kebetulan pula mama terpaksa balik kampung dan saya tak pergi ke sekolah sebab stres. Ada satu bulan jugalah tak pergi sekolah. Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga waktu itu.

Paling kelakar, cikgu kaunseling beritahu saya… cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM sebab katanya saya lebih cenderung menjadi soerang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan! terang Yuka sambil ketawa.

Siapa sangka, di sebalik kesukaran berjuang menamatkan persekolahan, Yuka turut pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Mengimbas kembali momen bermakna tersebut empunya diri pun tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.

“Alhamdulillah dari kecil saya sudah dididik mengaji Al-Quran. Mama asalnya orang Acheh dan sebagaimana kita tahu, di Acheh pegangan agama mereka cukup kuat. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, cikgu agama di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tak sangka akan menang.

Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” akhirinya.

Apa-apa pun perkongsian Yuka dalam Majalah Nona kali ini sarat dengan kisah inspirasi. Dari saat dia terpaksa berdepan perpisahan kedua-dua ibu bapanya sampailah bagaimana dia berkorban kerja siang dan malam semata-mata untuk memastikan tiga adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian hingga ke menara gading.

 

 

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi