Kalau dulu minat menghias rumah biasanya muncul ketika menjelang hari raya, tapi sekarang hobi ini mekar tanpa mengira masa. Inilah norma baharu menurut interior designer, Syafika Mohd Zin yang juga pengasas Kasz Studio.
Sentiasa sopan berpurdah, wanita muda ini cukup mempesona dengan tutur bahasanya yang lembut dan tersusun. Ibu kepada si comel, Ayra Medina itu juga banyak berkongsi ilmu hiasan dalaman bagi menjadikan sesuatu ruang lebih indah dan praktikal. Tambah-tambah lagi sejak ramai yang bekerja dari rumah sekarang.
“Betul. Sekarang memang ramai yang berminat untuk mencantikkan rumah. Mungkin selama ni kita sibuk bekerja dan kurang meluangkan masa di rumah sendiri.
Pelaksanaan ‘stay at home’ juga menjadikan orang ramai ingin memiliki kediaman yang serba selesa. Bukan dari segi dekorasi je, tapi dari segi barangan elektrik seperti menambah pendingin hawa dan TV.” Syafika
Mempunyai kelulusan Bachelor of Art in Interior Architecture, Syafika yang kini berusia 30 tahun menjalankan bisnes khidmat reka bentuk hiasan dalaman di Cyberjaya.
Dengan peningkatan kes COVID-19 yang semakin tinggi di sana, Syafika tidak keberatan berkongsi beberapa tip menghias sambil membersihkan kediaman.
“Tip saya mudah saja. Berbelanja jangan berlebihan dan mengikut keperluan.
Antara idea yang menjimatkan adalah anda DIY sendiri barang-barang deko dan buat pemasangan pun sendiri. Contohnya pasang wallpaper, cat rumah atau gantung bingkai gambar.
Kebersihan juga sangat penting bagi menjamin udara yang lebih sihat di rumah. Tidak perlu menggunakan produk yang mahal, yang penting kekerapan anda membersihkannya.
Antara bahagian penting untuk dibersihkan adalah menyapu lantai, mengemop, menukar cadar katil dan mengelap kipas.
Sebenarnya ada cara bajet untuk makeover rumah iaitu dengan menukar susunan perabot.
Pastikan barang deko di rumah tak berhabuk, susun pokok-pokok indoor di dalam bekas-bekas yang elok, rapikan susun atur rumah, buang barang lama atau hantar ke pusat kitar semula.” Syafika
Pendapat Syafika tentang mewujudkan ruang belajar yang selesa untuk anak-anak ber-PDPR?
“Ya. Ramai pelajar yang tertekan ketika proses pembelajaran PDPR, mungkin soal persekitaran yang tidak selesa mempengaruhi mood mereka.
Nasihat saya, sediakan satu ruang atau sudut yang kemas, khas untuk pembelajaran anak-anak. Di ruang yang mempunyai sedikit privasi dan tidak bising.
Anda boleh menggantung bingkai gambar quote yang menarik. Cat ruangan ini dengan warna yang menjadi kesukaan anak anda.
Ruang yang ceria akan menjadikan anak- anak anda lebih proaktif ketika sesi PDPR.”
BISNES TERKESAN
Tidak dinafikan sebagai usahawan, bisnes Syafika turut terkesan dengan badai pandemik.
“Bisnes ID pada waktu ni memang sangat mencabar. Kalau dulu sebagai designer, kami selalu berjumpa, meeting, melakar pelan dan berbincang idea di pejabat.
Tapi keadaan work from home menjadikan kami hanya mampu berbincang idea melalui skrin. Kekangan untuk site visit dan tidak dapat berjumpa pelanggan memberikan kesan yang tidak memberangsangkan dalam perniagaan kami.”
Enggan terus menyerah, Syafika sentiasa memastikan supaya semua kerja-kerja berjalan seperti biasa, selain menjalankan perkhidmatan design secara online.
Sebelum menubuhkan bisnes ID, Syafika sebelum ini pernah bekerja sebagai promoter dan jurujual.
“Selepas tamat pengajian, saya pernah bekerja di beberapa buah syarikat swasta. Kemudian saya tubuhkan bisnes sekarang ni hasil dari kekuatan dan dorongan ibu bapa, suami dan keluarga.
Antara klien yang pernah bekerjasama dengan saya adalah Greentech Malaysia, Smart Selangor Malaysia, Temerloh Catering di TTDI dan banyak lagi.”
Mengakhiri perbualan kami, wanita kreatif ini turut berkongsi impian dan cita-citanya.
“Saya ingin membawa syarikat saya ke persada antarabangsa. Kami mempunyai brand produk tiles baru ‘Kasz Ceramic ‘ di mana ia direka mengikut simbolik batik Malaysia.
Saya harap produk ini dapat mengembangkan perniagaan dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.” Syafika
This website uses cookies.