Petang Ahad di The Canopy, memenuhi jemputan selebriti media sosial yang juga pendatang baru dalam industri seni, Nurin Afiqah Zulkifli. Sedari sudah beberapa tahun tak berjumpa Nurin, namun wanita comel itu masih dengan dirinya yang sama… kecuali sudah berkahwin.
Berusia 26 tahun, Nurin membawa perkhabaran baru tentang kerjayanya iaitu pengusaha fesyen. Jika dulu sekadar dikenali sebagai social media influencer, model, penari dan pelakon, tapi kini Nurin mula mengukuhkan nama sebagai pengasas NADA.
“NADA ditubuhkan pada Februari 2020 atas kecintaan saya terhadap dunia perniagaan dan fesyen Muslimah. Sebelum ini saya pernah jual makanan dan jadi jurulatih zumba, selain membintangi drama bersiri Wifi Sebelah Rumah.” Nurin
Wah, rambang mata tengok koleksi Nurin! Sesuai sangat dijadikan persalinan Syawal mahupun ke tempat kerja. Moden dan kewanitaan, baju raya norma baharu ni!
Pementasan koleksi raya NADA X Fuzana Mokhtaza merupakan karya terbaru Nurin sempena Aidilfitri yang bakal menjelang. Berinspirasikan kuntuman bunga-bunga mekar, koleksi Blossom Raya 2022 itu cukup memukau dengan helaian rona pastel. Sangat romantis!
Jom cuci mata tengok koleksi baju raya Nurin, dengarnya bakal di pasaran Shopee dan website tak lama lagi…
RANCAK
Meskipun dikatakan masih baru dalam industri ini, Nurin yang merupakan graduan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tekad untuk menjadikan NADA sebuah jenama fesyen Muslimah bertaraf global.
“Saya berterima kasih pada semua yang hadir ke pertunjukan fesyen pertama NADA. Sesungguhnya tak mudah untuk sampai ke tahap ini tapi alhamdulillah kami berjaya melakukannya.” Nurin
Nurin juga baru mendirikan rumah tangga dan menjadi salah satu pengantin PKP. Teringat perkongsian Nurin yang telah beberapa kali menangguhkan tarikh perkahwinan ekoran isu COVID-19.
‘7 kali tangguh majlis, akhirnya sempat bernikah sebelum PKP 2.0!’
Majlis nikah Nurin dan teman hidupnya, Fairuz terpaksa dibuat secara last minute serta berlangsung tanpa mengikut perancangan asal. Namun berkat doa dan restu semua pihak, akhirnya ia terlaksana dengan penuh bermakna.
Semoga segala yang direncana menjadi kenyataan! All the best Nurin!