Mahani Awang adalah sebuah nama yang gah dalam dunia kewartawanan terutamanya dalam bidang fesyen. Dunia penulisan sudah sebati dalam dirinya dan minat menulis telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.

Walaupun permohonan awal menjadi wartawan hiburan ditolak, namun wanita yang mudah mesra ini tidak pernah mengenal kalah. “Setelah permohonan menjadi wartawan hiburan ditolak, saya melakukan pelbagai kerja termasuk dalam bidang perhotelan.

Ads

Ketika itu kakak saya, Hendon Awang bekerja di The New Straits Times di Jabatan Pemasaran. Kebetulan terdapat peluang pekerjaan dan saya ditawarkan bekerja sebagai kerani di sana. Kemudian saya telah dipindahkan ke Bahagian Pengedaran pula.

Saya sudah mula menulis untuk Berita Minggu di bahagian kesihatan secara sambilan ketika itu. Jika sudah rezeki memang tidak ke mana, setahun kemudian saya telah dilamar sebagai wartawan kadet di sebuah majalah kewanitaan. Ketika itu Zaharah Nawawi yang memegang jawatan sebagai editor telah memberi tugasan menemu bual arwah Noreen Noor sebagai penghias muka depan.

Maka bermulalah kehidupan saya dalam dunia kewartawanan ini. Sebelum itu saya pernah bekerja di semua jabatan kecuali jabatan kewangan sahaja. Pengalaman bekerja di semua bahagian sokongan dalam bidang penerbitan sebelum memulakan langkah sebagai seorang wartawan benar-benar membantu dalam usaha mengembangkan kerjaya.

Zaharah dan Adibah Amin yang banyak pengalaman dalam bidang ini banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar. Mereka berdua juga telah menggalakkan saya untuk menyambung pelajaran. Saya telah memilih Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meneruskan cita-cita dalam bidang ini.

Setelah tamat pembelajaran di USM, saya kembali bekerja di majalah sebelum ditukarkan ke bahagian akhbar. Hampir dua tahun di akhbar saya telah ditawarkan jawatan Timbalan Editor. Kemuncak kerjaya saya dalam dunia kewartawanan apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan majalah Rias. Majalah ini adalah majalah fesyen dan gaya hidup yang pertama di Malaysia.

Saya bersama team buat julung kalinya telah menganjurkan minggu fesyen pertama di Malaysia pada tahun 1998. Majlis ini telah mendapat liputan yang cukup meluas dan telah berjaya mencuit hati penggemar fesyen tanah air.

Saya fikir itulah titik mulanya saya dipercayai dan dikenali oleh peminat fesyen hingga ke hari ini,” ujar Mahani yang berjaya mengurangkan jurang perbezaan di antara media berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu di kalangan jenama fesyen antarabangsa.

Jiwa Murni

Wanita yang berhati mulia ini tidak mahu membiarkan wanita terus berada di takuk lama tanpa sebarang perjuangan. Tugasnya sebagai Presiden Wawasan Warisan Wanita (WARISTA) membantu masyarakat kurang berkemampuan untuk terus membantu memangkinkan ekonomi negara.

Ads

Pernah Jadi Kerani, Wartawan & Editor Majalah Tersohor, Kini MAHANI AWANG Kembali Berbakti Untuk Wanita

WARISTA adalah sebuah badan amal ini menjalankan aktiviti motivasi dan pendidikan. Buat masa ini WARISTA telah menganjurkan tuisyen kepada anak-anak Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di kawasan Ampang dan Jelatek. Mereka juga dalam rangka usaha menyalurkan pendidikan tambahan di kawasan PPRT Kerinchi.

“Saya telah dididik oleh arwah ayah untuk sentiasa berjiwa patriotik. Maka sudah menjadi tugas dan tanggung jawab untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ini adalah sumbangan kecil saya melalui kerja amal untuk mengangkat maruah anak bangsa,” ungkap Pengarah Urusan MSP Communication Sdn. Bhd yang mengendalikan majlis, kerja-kerja perhubungan awam dan penerbitan ini.

Menurut Mahani, tahun 2016 adalah telah melakar memori indah buat dirinya. Dalam kesibukan menguruskan majlis perkahwinan puteri keduanya, sempat membawa BDA menyertai Minggu Fesyen Malaysia di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ads

Tambah Mahani, pada tahun ini juga beliau turut melancarkan sebuah buku yang diberi nama, Asian Splendour. Buku ini tercetus hasil daripada pameran demi pameran yang telah disertainya. Buku ini menceritakan tentang tekstil tradisional dari 10 buah negara di Asia.

Malah buku ini turut mendapat khidmat nasihat daripada Profesor Sulaiman Ghani dan Puan Fatimah Ismail dari Fakulti Tekstil, Universiti Teknologi Malaysia, (UiTM).

Terkejut pada mulanya apabila Mahani menyatakan angka sebenar usianya. Masakan tidak, penampilan dan perwatakannya terlihat lebih muda daripada usia sebenar. “Syukur kerana saya masih diberikan kesihatan yang baik pada usia sebegini. Tubuh yang sihat dan tenaga tubuh yang berterusan tidak akan datang sendiri tanpa usaha bersungguh-sungguh.

Saya menjaga kesihatan, mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam sekerap mungkin. Selain itu saya try to do good things dan mendapat tidur yang cukup sesuai dengan usia.

Kebahagiaan seorang ibu terlahir apabila melihat anak-anak berjaya dalam konteks tersendiri. Melihat mereka membesar di depan mata adalah suatu anugerah terindah buat saya.Sementelah kehadiran seorang cucu, Tengku Nurzara Amina Tengku Faiz pula mencetus suasana ceria.

Saya sebagai ibu kepada Nurshahanis Amir Shariffudin, 29 tahun, Nuranisha Amir Shariffudin, 28 tahun, Shahnizam Amir Shariffudin, 24 tahun dan Shahnazim Amir Shariffudin, 10 tahun sentiasa menyokong keputusan anak-anak dan tidak pernah menentang pemilihan kerjaya mereka,” ungkap isteri kepada Amir Shariffudin Datuk Mahmood ini. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI