Bermula dengan niat mahu membantu suami, wanita ini tidak kisah bekerja di hotel melakukan tugas housekeeping termasuk pernah jadi pembantu dapur serta menerima gaji sekitar $10 (RM42) sehari waktu itu.
Namun, benarlah kata orang, apa sahaja yang kita usahakan pasti mendapat ganjaran yang setimpal.
Kisah wanita yang mempunyai nama Nor Rafidah Khairuddin ini melakukan pelbagai kerja termasuk pernah jadi pembantu dapur ketika berhijrah ke Kanada pada tahun 2014 tidak terhenti di situ sahaja.
Mengambil keputusan mengikut suami tersayang, Abdul Hadi Wisman yang bekerja di Montreal merupakan cabaran baharu buat anak bongsu daripada tujuh beradik ini.
Walaupun tahu cabaran yang bakal ditempuh namun, Rafidah tetap berusaha semata-mata niatnya mahu membantu suami menambah sumber pendapatan keluarga.
Paling kemuncak apabila wanita ini mengambil keputusan untuk mencuba nasib menjual mufin pisang hasil resipi ciptaan sendiri di kafe sekitar bandar Montreal.
“Gigih saya berjalan kaki dari satu kafe ke satu kafe di Downtown Montreal untuk memberi tester mufin pisang. Saya pernah ditolak dan tidak ada siapa ingin menerima mufin tersebut ketika itu.
Tapi apa yang saya lalui tak mematahkan semangat dan saya terus kuat mencari peluang tanpa kenal erti putus asa,” kata wanita yang suka tersenyum ini.
Rupanya kisah menjual mufin ini menjadi batu loncatan kepada usahawan aksesori wanita ini. Siapa sangka, mufin pisang telah merubah wanita ini menjadi Pengasas butik dalam talian dan fizikal, Sellection.
“Jika dikenang semula semua kisah itu, saya ada kalanya menangis dalam kegembiraan. Tak sangka hasil duit jualan mufin itu, saya hargai diri dengan membeli beg tangan berjenama pertama di Montreal Premium Outlet.
Terlintas pula nak jadi personal shopper ambil pesanan dan tempahan daripada rakyat Malaysia. Masa itu niat nak beri peluang mereka yang lain untuk merasa pakai barangan mewah dan berjenama dengan harga mampu milik jenama dari Amerika Syarikat.
“Niat itu dipermudahkan, hingga saya tak sangka boleh memiliki perniagaan menjual beg tangan dan aksesori fesyen wanita dan lelaki yang tulen berjenama seperti Coach, Michael Kors, Fossil dan Kate Spade,” katanya.
Ekoran fasa pandemik COVID-19 menyerang, cabaran yang dihadapi mereka ialah butik fizikal terpaksa ditutup dan tidak boleh beroperasi.
“Mujur laman sesawang menjadi penyelamat waktu getir ini kerana 80 peratus jualan diraih daripada situ. Pelanggan boleh membeli-belah secara dalam talian dengan mudah dan cepat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
“Insya-Allah tiada aral, butik lama akan berpindah ke lokasi baru yang lebih besar tidak lama lagi,” katanya.