Tingginya dia! Temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 nyata melonjakkan nama dan popularity atlet bola tampar Turkiye, Zehra Gunes. Mana tidaknya, bukan sekadar dikurniakan rupa paras cantik persis seorang ratu bahkan aura atlet ini juga cukup mempersona.
Sewaktu berlangsungnya sukan terbesar dunia berkenaan, Zehra Gunes menjadi tumpuan peminat sukan dan hangat diperkatakan ramai. Berusia 23 tahun, dia dilahirkan di Kartal, Istanbul pada 7 Julai 1999 dan merupakan atlet wanita Turkiye dalam sukan bola tampar.
Mana tidaknya, dengan ketinggian 197 sentimeter dan wajah jelita yang tak jemu mata memandang membuatkan Gunes meraih perhatian luar biasa. Lebih-lebih lagi sejak pasukan bola tampar wanita Turkiye menang menentang pasukan China dalam Olimpik Tokyo 2020.
Sekaligus ramai peminat sukan bola tampar mahu mengenali ahli pasukan bola tampar wanita Turkiye ini.
Gunes yang sentiasa kelihatan ceria, komited dan mudah tersenyum menyandang posisi pemain tengah pasukan atau dikenali sebagai middle blocker. Menurut portal Vakifbank Spor Kulubu, Gunes mula menceburi sukan bola tampar sejak berusia 12 tahun.
Pada awal pembabitannya sebagai atlet, Gunes pernah bermain untuk Istanbul Buyuksehir Belediyesi bagi satu musim, menyertai pasukan Besiktas pada tahun 2016-2017, mewakili VakifBank Istanbul dan kini menjadi ahli pasukan kebangsaan negara kelahirannya.
Tidak bersandar kepada kecantikan semata-mata, Gunes menikmati kejuaraan seawal usia 18 tahun. Biarpun bermain secara berkumpulan, bakat dan potensi atlet cantik ini mendapat pengiktirafan apabila dia mencatat pencapaian peribadi membanggakan apabila meraih The Best Middle Blocker dalam 2015 European Championship bawah 18 tahun, The Best Middle Blocker 2017 World Championship bawah 20 tahun, Anugerah Khas 2018 Turkish League dan The Best Middle Blocker pada 2019 FIVB Club World Championship.
Sementara itu, memetik laporan Women Volleybox pula Gunes pernah menyertai Festival Olimpik Musim Panas Atlet Belia Eropah 2015 yang diadakan di Georgina. Pasukannya turut memenangi Kejohanan Dunia bawah 23 tahun di Slovenia pada tahun 2017.
Pada Januari 2017, dia ditawarkan menjadi anggota pasukan bola tampar wanita Turkiye dan diserap masuk pada Mac 2018. Di samping berjaya mendapat tempat dalam pasukan bola tampar wanita kebangsaan, Gunes dan pasukannya memenangi pingat perak di 2018 FIVB League of Nations dan 2018 Women’s European Championship.
Difahamkan pasukan bola tampar wanita Turkiye menjadi pasukan pertama yang layak masuk Olimpik Tokyo 2020.
This website uses cookies.