Di sebalik kejayaan yang dikecapi, siapa sangka beliau pernah jalani IVF sebagai ikhtiar hamil dan rajin bersedekah, malah sifat dermawan itulah asbab impian Nur Liyana bina empayar LEEYANARAHMAN tercapai!
Orangnya kecil molek dan mudah tersenyum. Berusia 30-an, anak Terengganu dan ibu dua anak ini sering menjadi tumpuan usahawan khususnya dalam bidang fesyen Muslimah.
Direzekikan sedang hamil anak ketiga ketika ini, isteri kepada Muhamad Hafiz Abdul Hamid tersebut tidak berselindung kisah mereka menjalani prosedur IVF selepas lima tahun menanti zuriat.
“Dalam pada duk kuat bergaduh tu boleh termengandung pulak tiba tiba aih. Tak tau nak sedih ke nak happy ke nak apa. Dulu sampai jalani IVF sebab 5 tahun menanti zuriat.
Sekarang ni anak tak sampai 2 tahun tup tup mengandung lagi. Apa-apa pun Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap rezeki kita. Doakan I kuat hadap alahan untuk beberapa bulan ni,” tenang Nur Liyana berkongsi kisah IVF beliau ketika sibuk membangunkan LEEYANARAHMAN.
Selain memiliki kemewahan pada usia muda, wanita dermawan yang mesra disapa Yana itu juga kerap menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang memerlukan. Antara yang terbaru, sejumlah dana sekitar RM128,000 melalui Yayasan Nurjiwa buat saudara seislam di bumi Aqsa.
“Sumbangan ni bukanlah dari saya semata tapi sumbangan dari semua yang menyokong produk LEEYANARAHMAN. Walaupun pahala ni benda yang kita tidak nampak, tapi itulah duit kita di akhirat. Semoga sekecil-kecil usaha kita semua ni dipandang Allah dan jadi asbab untuk kita ke syurga.”
Ads
INSPIRASI
Sama cantik, sama padan. Kagum dengan karakter pasangan serasi pengasas LEEYANARAHMAN, Nur Liyana Abdul Rahman dan Muhamad Hafiz Abdul Hamid mengatur strategi bisnes serta rumah tangga.
Memiliki sebuah empayar perniagaan pada usia yang masih muda bukan menjadi satu halangan kepada mereka berdua untuk terus menempa kejayaan. Kerana terlalu fokus mengejar impian untuk membina empayar LEEYANARAHMAN, saat itu jugalah mereka berikhtiar menjalani prosedur IVF selepas beberapa tahun menanti tangisan cahaya mata sendiri.
Inspirasi kerja keras Nur Liyana yang merupakan ibu kepada si comel Tyara Luthfia, 5 tahun dan Hanna Qhalisya, 2 tahun ketika membina empayar LEEYANARAHMAN cetus inspirasi.
“Kami memulakan perniagaan ini pada tahun 2012 yang mana ketika itu kami sama-sama menuntut di UiTM dalam peringkat ijazah sarjana muda bidang kewangan. Ketika itu kami baru sahaja bercinta dan belum bergelar suami isteri.
Permulaannya apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial, siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut.
Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Kalau nak tahu modal yang kami keluarkan hanya sebanyak RM1,500 dan berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja, dari keuntungan ini kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit, dari 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar.
Selepas itu kami menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain.
Kalau nak tahu duit sebanyak RM1,500 yang kami gunakan sebagai modal tadi adalah duit pinjaman pelajaran PTPTN yang kami terima sebenarnya, jadi saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.
Alhamdulillah dari hanya wang sebanyak itu kini jenama LEEYANARAHMAN sudah memiliki bangunan sendiri. Berkat kegigihan, kami berjaya membuka butik pertama di Bangi, Selangor.”
Ads
REALISTIK
Selepas sedekad berumah tangga, pasangan ini kian matang mengatur strategi bisnes yang dibangunkan bersama.
“Dalam berniaga kita harus bersikap profesional dan realistik, paling penting kalau terlibat di dalam satu projek misalnya, pastikan semuanya perlu ada hitam dan putih agar tidak ditipu.
Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan, lagipun ia amat penting untuk melindungi diri kita daripada kerugian.”
Jenama yang berdaftar di bawah syarikat Leeyanarahman Empire Sdn Bhd dan beribu pejabat di Hub Perindustrian Suntrack, Selangor ini sebenarnya bukan asing lagi di kalangan penggemar fesyen Muslimah. Selepas kejayaan koleksi GEMERSIK RAYA, kini Nur Liyana fokus terhadap jualan tudung bawalnya.
“Sebelum tudung kami terlebih dahulu keluarkan pakaian Muslimah. Jualan tudung kami mula sejak Oktober 2022 dan hingga sekarang sudah 700,000 helai tudung terjual.”
Hampir 12 tahun bina empayar LEEYANARAHMAN, bisnes mereka turut berkembang menghasilkan pelbagai produk lain. Antaranya busana lelaki dan produk kosmetik. Moga segala perancangan Liyana dan Hafiz dipermudahkan serta mampu menyuntik inspirasi kepada golongan muda untuk melakar kejayaan sama kelak.
Pengalaman bercerai yang pernah dilalui pasangan suami isteri bukan penamat untuk mereka membina semula kehidupan berumah tangga yang lebih bahagia. Ini kerana pasangan yang pernah bercerai dan berkahwin kali kedua mahupun kali ketiga disifatkan sebagai lebih bertanggungjawab, bertolerasi dan bijak mengawal keadaan jika berlaku pergeseran dalam rumah tangga.
Perceraian sememangnya tidak digalakkan namun tragedi yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dalam memberikan ruang kepada suami atau isteri terlibat bermuhasabah diri. Bagi Farah Asyikin Zulkifli, pertemuan dengan pasangan hidup yang baharu pada perkahwinan kali ketiga membuatkan dirinya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kisah duka sebelum ini berulang kembali.
Farah Asyikin, mendirikan rumahtangga buat kali ketiga bersama pasangannya, Raja Iskandar Raja Muktharuddin kira-kira dua tahun yang lalu. Manakala perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua buat Raja Iskandar. Bagi Farah, urusan jodoh merupakan rahsia Allah dan selepas melakukan solat istiqarah, hatinya terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki bergelar suami setelah gagal dalam dua perkahwinan terdahulu.
Setelah dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami tersayang, isteri kepada pengurus di sebuah syarikat minyak dan gas ini ternyata amat bersyukur dipertemukan dengan Raja Iskandar yang disifatkan sebagai seorang lelaki yang terlalu istimewa dan mempunyai hati yang baik.
“Alhamdulillah tahun ini sudah dua tahun saya menjadi isteri kepada suami, Raja Iskandar. Saya amat bersyukur dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik serta menjadi pelindung untuk diri saya. Dia menunjukkan sifat yang penuh tanggungjawab, kasih sayang dan keikhlasan menerima saya sebagai isteri. Tetapi apa yang lebih utama, dia menerima dan menyayangi anak saya, Uwais seperti anaknya sendiri,” ujar Farah Asyikin yang amat menyanjung tinggi keperibadian yang dimiliki oleh suami tersayang.
Ditanya mengenai detik perkenalan dengan suami tersayang, menurut Farah dia mengenali suaminya ketika terbabit dalam kerja amal bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan program kemanusiaan, Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakaf).
“Secara kebetulan, kawan saya mengajak suami menyertai kerja amal ketika kami melancarkan kumpulan Addin Gaza bagi mengutip dana membantu penduduk. Saya menguruskan aktiviti kumpulan itu dan sejak itu, kami mula berkenalan,” katanya mengimbas kembali detik perkenalan dengan suami tersayang.
“Saya bersyukur dipertemukan dengannya. Dia banyak membantu saya untuk terus kekal istiqamah. Sebagai manusia biasa, saya tidak selalu sempurna, namun dia sentiasa membimbing saya untuk menjadi insan yang lebih baik.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya mengenali suami setahun sebelum dia mengambil keputusan untuk melamar saya. Malah saya bersyukur suami sempat mengenali arwah bapa yang meninggal dunia pada bulan dia melamar saya dan hubungan kami direstui keluarga. Arwah bapa dan keluarga begitu menyayanginya,” katanya yang bersyukur menjalani kehidupan sebagai isteri.
Ketika ditanya mengenai perasaannya setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu dan kembali bergelar isteri kira-kira dua tahun yang lalu, Farah ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila Raja Iskandar menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya kira-kira dua tahun yang lalu.
“Saya akui agak gementar untuk kembali berumah tangga tetapi perasaan kali ini sangat berbeza. Pertemuan dengannya membuatkan saya berasa seperti kali pertama bernikah. Sifat penyayang dan bertanggungjawab Raja Iskandar membuatkan saya serta anak berasa selamat dan disayangi,” katanya.
Tambah Farah lagi, perkahwinan yang dibina di atas asas agama yang kukuh juga menjadi pegangan untuk dirinya terus istiqamah dalam usaha menjadi isteri terbaik buat suami tersayang serta ibu terbaik untuk anak tunggal kesayangannya.
“Saya tidak nafikan banyak cabaran yang harus saya dan suami lalu dalam perkahwinan ini memandangkan suami sudah biasa menduda selama 18 tahun dan mempunyai anak-anak yang sudah meningkat dewasa.Tetapi kami belajar untuk sepakat dan bersatu dalam melayari rumahtangga. Kami masih dalam proses mempelajari antara satu sama lain kerana perkahwinan bukan sahaja melibatkan saya dan suami, malah ia turut melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Kami sering mengingatkan antara satu sama lain dan menjadikan solat sebagai cara untuk kami berkongsi rasa,” ujar Farah yang percaya setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan merupakan hikmah yang dikurniakan olehNya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Farah mahupun Raja Iskandar sempat menitipkan rasa bahawa rumahtangga yang dibina berlandaskan rasa cinta terhadap Yang Maha Esa adalah antara tiang yang mampu mengukuhkan rumahtangga yang dibina. Farah dan Raja Iskandar amat menitik beratkan soal keseimbangan dan tolak ansur memandangkan ia merupakan antara kunci kebahagiaan yang nyata tidak boleh disangkalkan lagi.
“Alhamdulillah, Raja Iskandar menjadi pembimbing saya dan anak agar terus istiqamah. Doakan semoga rumahtangga kami kekal hingga ke akhir hayat,” ujar Farah seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Namanya sememangnya cukup dikenali di media sosial. Mana tidaknya, pemilik akaun Instagram xolovelyayana ini mempunyai pengikut lebih 1.5 juta serta mencetus fenomena tersendiri bukan sahaja di Malaysia, malah kini sudah mula mencipta nama di Indonesia. Berbekalkan wajah cantik, berkulit putih gebu, gadis kelahiran Kotea ini mencetus fenomena tersendiri di kalangan masyarakat Asia yang memuji kecantikan yang dimiliki oleh empunya nama Ayana Jihye Moon, 22 tahun.
Malah tidak dinafikan, gadis kelahiran Korea ini sememangnya memiliki kecantikan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Walaupun masih belum mahir sepenuhnya bertutur di dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Indonesia, namun Ayana tetap mencuba bertutur beberapa patah perkataan yang diketahuinya dan bersedia mendalami bahasa kebanggaan Malaysia dan Indonesia itu untuk meneruskan minat dan cita-citanya dalam bidang yang diceburinya kini.
REZEKI MENJADI MUALAF
Bercerita mengenai penghijrahannya memeluk Islam pada tahun 2012, gadis berasal dari Korea ini menyifatkan penghijrahannya memilih Islam sebagai cara hidup memberi dimensi baharu buat dirinya dalam meneruskan kesinambungan kehidupan baik di Korea mahupun di luar tanah kelahirannya.
“Saya mula tertarik dengan Islam sejak kecil lagi. Saya jatuh cinta terhadap kebudayaan Timur selepas mempelajari tentang Timur Tengah sehingga menambah keyakinan saya untuk memeluk agama Islam.Alhamdulillah, pintu hati saya terbuka untuk menerima Islam pada tahun 2012,” ujar Ayana lagi.
Keputusannya menjadi seorang muslim, tentunya mendapat tentangan dari seluruh anggota keluarga. Mana tidaknya, agama Islam sering dipandang prejudis oleh masyarakat luar dan keluarga Ayana juga tidak terkecuali mempunyai sentimen rasa yang sama.
“Memang, keluarga saya pada mula memandang negatif terhadap agama Islam. Walaupun saya dan keluarga sudah berlainan pegangan agama, itu tidak bermakna saya perlu menjauhkan diri dari mereka. Hubungan kami masih sangat baik kerana mereka mencintai saya,” terangnya lagi.
Tambah wanita kelahiran 28 Disember 1995 ini lagi, keputusan untuk memilih Islam sebagai panduan hidup sememangnya mengejutkan seluruh keluarga apatah lagi apabila Ayana mengambil keputusan mengenakan hijab.
“Tidak dinafikan hidup sebagai seorang Muslimah di Korea sangat mencabar. Sukar untuk saya mendapatkan pekerjaan hanya kerana saya berhijab. Jika ditawarkan pekerjaan pun, kebanyakannya bersangkut paut dengan perkara yang haram untuk dilakukan antaranya termasuklah perlu mengambil minuman beralkohol mengikut budaya masyarakat Korea.
Banyak perkara yang perlu saya ambil kira dan dugaan datang silih berganti. Sehinggalah saya mengambil keputusan untuk bekerja di Malaysia dan Indonesia sebagai model fesyen Muslimah. Saya bertuah kerana dipilih untuk menjadi model produk Wardah Beauty Indonesia. Saya merasa lega memilih Malaysia dan Indonesia sebagai negara untuk mencari rezeki kerana pada masa yang sama, saya dapat menjaga faktor keimanan dan mencari rezeki dari sumber yang halal,” ujar Ayana yang tidak menyangka mempunyai pengikut yang ramai di laman Instagram miliknya.
Ditanya bagaimana gaya hidup sebagai influencer banyak mempengaruhi kehidupan hariannya, Ayana berkata sebenarnya dia tidak merasa terlalu banyak perbezaan dari kehidupannya sebelum ini kerana perwatakan dirinya yang pemalu kadang-kala membuatkan dirinya lebih gemar menguntumkan senyuman kepada sesiapa sahaya yang menyapa dirinya.
“Secara peribadi, saya adalah Ayana yang pemalu walaupun ramai yang kategorikan saya sebagai Instafamous yang terkenal. Mungkin kerana saya seorang Korea beragama Muslim,dan kebetulan budaya K Pop diterima baik di seluruh dunia. Jadi tempias kegemilangan tersebut turut saya rasai. Selain itu, ramai yang ingin mengetahui kehidupan saya sebagai Muslim yang berasal dari Korea. Kisah saya sama sahaja seperti orang lain, tiada yang istimewa. Cuma saya seorang Muslimah dari Korea, itu sahaja,” ujar Ayana yang menganggap rezeki datangnya dari Allah untuk dikongsi bersama.
Walaupun sibuk dengan beberapa projek drama dan dokumentari di Indonesia, Ayana tidak pernah melupakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang politik memandangkan sebelum ini Ayana pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut semasa menuntut di Korea.
“Sebelum saya bergiat aktif dalam bidang peragaan muslimah, saya pernah mendalami pengajian dalam bidang politik. Tetapi saya akui untuk memilih kerjaya dalam bidang politik di Korea agak mustahil apatah lagi apabila saya bergelar mualaf. Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk mendalami bidang perundangan kerana saya ingin membantu individu-individu yang mempunyai permasalahan berkaitan peraturan dan undang-undang. Doakan semoga niat murni saya itu akan terlaksana,” ujar Ayana yang tidak mempunyai masalah berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur atas urusan kerja memandangkan kedua-dua ibukota itu sudah dianggap sebagai rumah keduanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya. Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.
“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira lima tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Puan Sri Nisa di samping cucuBersama cucu tersayang, anak & menantu
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.
Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.
“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat. Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak lima tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan. Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi.
Paling penting, ada kepelbagaian menu dan sihat. Harga setiap hidangan pula bermula dari RM10 hingga RM18,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
MasyaAllah, tenang tengok kehidupan keluarga Johan dan Ozlynn. Walau kedua-duanya selebriti popular dan terkenal namun mereka selesa hidup bersederhana. Bagi pasangan ini, paling utama adalah membesarkan dan mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin ...