Setiap orang mempunyai nostalgia tersendiri ketika mula bertatih untuk melakukan ibadah puasa. Memang bukan mudah bagi seorang kanak-kanak berpuasa lebih-lebih lagi perlu menghadiri 2 sesi persekolahan, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Cuma tahun ini pelajar sekolah berpeluang berpuasa sebulan di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ayda Jebat juga mempunyai memori apabila kantoi dengan ibunya ketika curi-curi makan megi ketika semua orang sedang berpuasa. “Saya mengaku ketika pada zaman persekolahan dahulu memang agak nakal. Saya mengaku saya selalu ponteng puasa.
Saya masih ingat lagi ketika itu di tingkatan satu, saya balik dari sekolah berjalan kaki. Ketika itu cuaca sangat terik dan saya tidak larat nak berpuasa. Akibat tidak tahan lapar dan dahaga saya masak megi sementelah mak tak ada di rumah kerana bekerja.
Selepas selamat makan saya menutup semua bahan bukti agar mak tidak tahu saya tak puasa. Malangnya saya ‘kantoi’ juga dengan mak apabila beliau dapati megi dah kurang satu dalam kabinet. Memang lucu kalau ingat balik masa kantoi tu.
Kini, apabila sudah dewasa saya tidak pernah lagi ponteng puasa seperti itu. Apabila diingat kembali timbul rasa kelakar dengan telatah ketika kecil dahulu,” kongsi Ayda Jebat yang kini sudah semakin matang.
Berbuka puasa tidak dapat lari daripada menikmati juadah istimewa mengikut kegemaran masing-masing. Bagi peminat Ayda Jebat sudah pasti tahu bahawa penyanyi lagu Temberang ini mengemari kuih lopes.
“Juadah kegemaran saya ketika berbuka sudah pasti kuih lopes. Selain itu saya suka berbuka dengan air tau fu fa dan martabak. Jangan tak tahu, saya seorang yang suka makan kari. Kalau kat rumah mesti saya minta mak masakkan lauk kari.
Kalau kat luar pula saya akan cari makanan yang berasaskan kari seperti nasi beriani. Saya tak pandai makan nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Berbeza dengan adik-beradik saya semua boleh makan mungkin saya jenis takut nak mencuba makanan yang baru. Saya hanya makan apa yang biasa dimakan,” ujar Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat.
Menjadi pelakon membuatkan Ayda Jebat tidak terkecuali mencipta pengalaman berada di set penggambaran ketika berpuasa. Bercerita tentang pengalaman berpuasa di set penggambaran, “Secara jujurnya setelah saya bergelar anak seni, masa untuk bersama keluarga sangat terbatas.
Sepanjang bergelar pelakon hampir setiap tahun drama saya akan keluar untuk tontonan ketika berpuasa dan hari raya. Jadi jadual penggambaran telah diatur ketika sebelum berpuasa dan sepanjang bulan puasa. Kalau ada pun mungkin sehari atau dua boleh balik Melaka berpuasa bersama keluarga. Kemudian pergi set penggambaran semula.
Berpuasa di set penggambaran sebenarnya masa berlalu lebih pantas berbanding bekerja bukan di bulan puasa. Ini kerana ketika shooting saya dan krew penggambaran kita tidak fikir soal makan atau minum.
Tak ada lunch dan tak ada minum petang, jadi kita dah jimat banyak masa di situ. Bekerja di bulan puasa kita fokus hanya untuk bekerja semata-mata, jadi kerja lebih cepat dilaksanakan dan tidak terasa masa berlalu.
Selalunya di set penggambaran meriah sebab kita akan habis shooting dalam pukul 6 petang. Saya bersama krew yang lain akan naik van pergi bazar Ramadan bersama-sama mencari juadah berbuka puasa.
Sebelum ini saya jarang pergi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan kerana di rumah of course mak sudah menyediakan juadah berbuka puasa. Kalau di set memang terpaksa keluar kalau tidak tak ada makanan. Krew produksi merupakan keluarga kedua saya apabila kami berbuka bersama-sama sepanjang proses penggambaran,” tutur Ayda sambil tersenyum.