Program Realiti Pencarian Makeup Artist Fabulous MUA Digital Pertama di Malaysia telah melabuhkan tirainya pada Rabu lalu. 9 peserta berentap bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian makeup artist pertama di Malaysia ini namun rezeki memihak kepada Arda Dhia setelah dinobatkan sebagai juara.
Ads
Arda membawa pulang Trofi, Wang tunai RM6,000, Barangan kemas Habib Jewels bernilai RM10,000, Penginapan 2 hari 1 malam di Hotel Sunway Group, Produk kosmetik tajaan FCC, Produk penjagaan wajah tajaan Nafura, Beg tajaan O bag dan jambangan bunga tajaan Haejabudiman.Co.
Tahniah diucapkan kepada wanita yang berasal dari Johor Bahru ini, “Alhamdulillah syukur, langsung tak jangka yang saya akan ke final dan seterusnya menjadi juara kerana dari awal lagi saya rasakan orang lain yang akan menjadi juara.
Mungkin rezeki memihak kepada saya dan saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Gelaran sebagai juara amat bermakna setelah bertungkus lumus selama ini akhirnya terbalas juga. Moga kejayaan ini akan menjadi titik tolak untuk saya lebih berjaya di masa akan datang. Terima kasih tak terhingga kepada pihak Majalah Nona dan FCC kerana memberi peluang kepada saya membuktikan kemampuan saya di platform yang berprestij seperti ini,” ucap Arda Dhia sambil tersenyum bangga menggenggam tropi kemenangannya.
Tiket sebagai Juara Program Realiti Pencarian Makeup Artist Fabulous MUA Digital Pertama di Malaysia ini menjadi batu loncatan kepada Arda untuk terus maju dalam bidang solekan.
“Perancangan selepas ini semestinya saya akan gunakan peluang ini untuk membuat lebih promote tentang kerjaya saya dalam bidang solekan iaitu seperti kelas makeup yang diiktiraf dan fokus membuka spa di Johor Bahru. Kesempatan ini membolehkan saya mempromosi segalanya di media sosial dan saya berharap segalanya berjalan lancar seperti yg dirancangkan,” terang Arda mengenai perancangannya.
Bercerita tentang penglibatan awal Arda yang tidak direstui oleh ibunya, “Mak saya seorang ibu tunggal dan membesarkan saya bersama adik di rumah nenek. Sebagai anak sulung sememangnya keluarga terutama mak mahukan saya memiliki kerja yang ada masa depan dan terjamin.
Ads
Jadi selepas habis sekolah saya mula bekerja sambilan sebagai makeup artis di sebuah bridal. Mak beranggapan pekerjaan itu sekadar suka-suka untuk dapatkan duit. Namun bila saya habis diploma dan buka bridal sendiri maka bermula lah episod pergaduhan dalam keluarga.
Ini kerana keluarga beranggapan saya tidak akan mampu membayar balik pinjaman pendidikan dan akan menyusahkan mereka kelak. Mak juga risau saya tidak mampu membeli aset, tapi alhamdulillah saya berjaya buktikan dapat bayar pinjaman dan beli kereta serta tiada hutang hasil titik peluh sebagai jurusolek. Akhirnya keluarga saya menerima dan reda dengan rezeki yang Allah SWT telah tetapkan untuk saya,” kongsi Arda.
Ads
Berkongsi tentang pengalaman sepanjang 11 tahun berkecimpung dalam dunia solekan, “Alhamdulillah setakat ini pernah sekali sahaja kena marah dengan hasil solekan saya.
Ini kerana solekan siap kurang dari 1 jam untuk solekan bersanding dan pelanggan itu memaksa saya memulangkan duit yang dia dah bayar. Saya pulangkan juga kerana tidak mahu memanjangkan isu kerana katanya biasa profesional makeup artist akan makeup hampir dua jam dan dia tidak puas hati.
Banyak kali juga jumpa pelanggan yang cerewet sebelum sesi solekan bermula ada yang tanya pakai produk apa dan kemudian menilai barang yang saya pakai barang murah, menukar untuk menggunakan produk dia sahaja, memaksa saya untuk makeup cepat dan sebagainya.
Tapi saya tidak melatah malah saya seorang yang pantang dicabar dan tidak suka dipandang rendah jadi saya akan meningkatkan kualiti dan keupayaan diri setiap masa kerana tiada apa yang mudah di dunia ini untuk berjaya. Oleh itu pengalaman ini satu kenangan manis sebenarnya. Bila teringat akan tersenyum dan ketawa dengan gelagat orang yang saya pernah jumpa,” tutur seorang Juara.
Nasihat daripada Juara #FabulousMUA, “Nasihat saya kepada sesiapa yang ingin menjadikan makeup sebagai kerjaya, buat la sungguh-sungguh, perbetulkan niat dan planning sejauh mana anda mahu berada dalam bidang ini. Dari situ lah jalan dan rezeki tu sentiasa akan terbuka.
Makeup artist ni ibarat macam kerja askar, kena persiapkan diri dari segi fizikal dan mental, bersedia berkorban masa dan tenaga dalam masa yang sama jadilah seorang makeup artist yang ada standard. Macam mana nak dapat standard kena lah jaga perilaku dan akhlak baik dan ikhlas kepada sesiapa pun di samping rajin mencari ilmu dan tak lokek juga berkongsi ilmu. Jangan mudah lupa diri dan kena sentiasa berusaha untuk jadi yang terbaik tanpa merendahkan makeup artist lain,” bicara Arda mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini usahawan popular, Tya Arifin berkongsi ruang kediaman baharunya di saluran YouTube miliknya khas buat tatapan peminat tersayang. Memang cantik, besar dan selesa dapat tengok ‘isi’ rumah Tya. Apatah lagi apabila Tya mengakui dekorasi kediaman rumah dua tingkat tersebut adalah 100 peratus hasil kreativiti dirinya sendiri. Tanpa bantuan interior designer (ID) tau! Tak sangka bukan je pandai berniaga, rupanya Tya pun ada bakat dalam bidang hiasan rumah.
Menerusi video di Tya Arifin TV berkenaan, Tya berkata dia memilih konsep ‘bumi’ iaitu berunsurkan semula jadi. Untuk merealisasikan tema itu, isteri kesayangan Ashraf Khalid ini menggabungkan rona alam seperti putih, hijau dan kelabu.
“Saya pilih konsep ini sebab mahu orang yang datang rasa seperti berada di rumah sendiri dan bersantai. Lagipun warna ini cipta mood lebih tenang… relax. Dalam rumah juga saya suka letak bau-bauan sebagai cara untuk stress release. Memang saya buat dekor rumah ini dan tak ada pakai ID.
Ikutkan untuk hias rumah ini boleh siap cepat je tapi sebab kekangan kerja, ambil masa dua hingga tiga minggu. Rumah ini ada 5 bilik tapi satu daripadanya saya jadikan ruang office dan saya duduk di rumah ini bersama 7 orang. Saya, Ashraf, Arif, Zahra, kakak saya dan pekerja.”
Bercerita ruang yang paling digemari, tanpa berselindung Tya membawa masuk ke dalam dapur idamannya. “Ruang paling saya suka ialah dapur. Dapur macam ini ialah idaman dan saya rasa sangat selesa. Ada dapur kering dan dapur basah. Biasanya, saya akan masak di dapur basah ini,” ujar ibu dua anak ini.
Makin rancak dan maju dalam mengusahakan empayar Mutyara, ternyata Tya bijak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya. Biarpun baru meniti usia 26 tahun tetapi kematangan Tya dalam mengharungi fasa hidup wajar dijadikan pemangkin semangat kepada kaum ibu di luar sana. Tidak menganggap kehadiran anak pada usia muda sebagai halangan untuk terus melakar kejayaan, Tya positif menjalani kehidupan bahagia bersama Arif Jiwa Asyraf dan anak perempuannya, Azzahra Jiwa Asyaf.
“Ada yang tanya bagaimana saya membahagikan masa di antara tugas ibu, isteri dan kerjaya. Bagi saya, semuanya terletak pada pembahagian masa kita sendiri. Biasanya saya akan buat planning sehari awal terlebih dahulu. Saya akan masak sarapan pagi untuk anak-anak dan suami dulu walaupun hanya menu ringkas.
Mengulas tentang masa bersama suami tercinta pula, pemilik nama Nurtria Wulandari Arifin berkata mereka memilih pendekatan morning walk setiap hari untuk lebih menghargai satu sama lain. “Lepas solat Subuh dan anak-anak masih tidur, kami anak bangun dan buat morning walk dalam 30 hingga 40 minit. Inilah masa Tya dengan Asyraf tanpa anak-anak dan bebas daripada telefon.
Disebabkan kami kerja di bawah satu bumbung yang sama, kami tak mahu urusan pejabat dan rumah dicampur adukkan. Jadi, kami cuba elakkan untuk tidak terlalu cakap tentang bisnes dan lebih banyak berkongsi luahan supaya masing-masing supaya memperbaiki diri serta bersemangat kejar impian.”
Baru-baru ini juga Tya menerima satu lagi pencapaian apabila dipilih sebagai Breastfeeding Icon daripada National Lactation Centre. Tahniah dan semoga Tya terus melakar pelbagai kejayaan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan diraih Nor Farhatul Fairuzah Haji Panut! Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 berkenaan dipilih sebagai penerima Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember.
Meniti usia 22 tahun, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha berkongsi berita gembira tersebut bersama Nona.
Pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, anak kepada bekas qari dan qariah iaitu Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
“Alhamdulillah Syukur kehadrat Ilahi atas Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Sempena Menyambut Ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-77, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj diatas penghargaan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
Semoga Tuanku dan Permaisuri dipanjangkan usia , sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.”
Anggun mengenakan persalinan kurung rona biru lembut, turut kelihatan menemani Farha ialah ibu dan adik-beradik tersayang.
Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...