Pernah Menderita Kanser, MONTANA BROWN Kini Bergelar Jururawat Di Hospital Yang Pernah Merawatnya

“Tidak pernah terlintas di fikiran pada usia 24 tahun saya akhirnya berjaya menggapai impian terbesar iaitu untuk berkhidmat di hospital yang pernah merawat saya ketika diserang kanser dahulu.”

Itu antara ungkapan daripada bekas pesakit kanser, Montana Brown yang kini bertugas sebagai jururawat di hospital yang sama dia pernah dirawat sebagai pesakit kanser.

Seawal usianya dua tahun, Montana Brown disahkan menghidap Rhabdomyosarcoma iaitu sejenis kanser yang menyerang bahagian tisu dan otot badan. Bayangkan dalam usia yang sangat muda dan tidak mengerti apa-apa tentang kanser, Montana Brown sudah pun bergelar seorang ‘pejuang’!

Bermula dari saat itu kehidupan Montana Brown tidak seriang kanak-anak seusia dengannya. Setahun dia terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Aflac Cancer and Blood Disorders Center, Children’s Healthcare, Atlanta, Amerika. Namun kehidupan Montana Brown kembali cerah apabila rawatan itu berjaya dan dia sembuh seperti sedia kala.

KANSER KEMBALI MENYERANG

Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ketika usianya mencecah 15 tahun dan aktif sebagai cheerleader di sekolah, kanser itu kembali menyerang. Tanpa sebarang simptom, Montana Brown tidak menyedari bahawa kansernya kembali merebak.

“Saya langsung tidak menyedari kehadirannya kerana tiada sebarang simptom yang dirasai. Namun, ibu dan bapa saya memberitahu yang mereka merasai ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya. Sekali lagi saya menjalani rawatan kemoterapi dan berjaya melawannya buat kali kedua.

Saya bersyukur kepada Tuhan dan sangat terhutang budi dengan jururawat-jururawat di Aflac Cancer and Blood Disorders Center kerana telah berusaha sedaya upaya mereka demi menyelamatkan nyawa saya. Ini cukup menyentuh hati saya. Jururawat di sini semuanya terbaik sejak daripada mula saya dirawat.

Mereka memiliki sifat penyayang, ambil berat dan belas kasihan yang tinggi terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Kasih sayang yang ditunjukkan buat saya dan keluarga itulah detik yang membantu saya untuk terus berjuang sebagai pesakit kanser.

Inilah yang menginspirasikan saya untuk bergelar jururawat. Saya ingin membantu pesakit-pesakit kanser seterusnya berbakti dan menyemai kasih sayang terhadap mereka sama seperti jururawat-jururawat yang pernah merawat saya dahulu.”

Montana Brown mula bertugas sebagai jururawat di bahagian Onkologi Pediatrik, Aflac Cancer and Blood Disorders Center sejak September 2017.

Kebetulan pula, September merupakan bulan kesedaran kanser kanak-kanak. Montana Brown menganggap detik itu adalah paling bermakna dalam hidupnya kerana impian untuk bergelar jururawat sudah menjadi kenyataan.

KONGSI KISAH

Bagi meluahkah keterujaannya, Montana Brown berkongsi kisah di Facebook dan mendapat respon yang sangat hebat daripada para netizen. Tidak kurang juga ada yang menjadikan kisahnya sebagai inspirasi khususnya buat wanita. Hospital tempatnya bertugas turut berkongsi kisahnya di page Facebook.

“Saya terharu kerana Tuhan telah memilih saya untuk  menikmati kehidupan yang cukup menakjubkan ini. Saya sangat teruja untuk bertugas di hospital yang benar-benar memberikan inspirasi,” ungkap Montana Brown.

Antara petikan kata-kata netizen terhadap perkongsian kisah Montana Brown di Facebook.

“Saya berdoa semoga anak perempuan saya yang kini sedang melawan kanser otak mendapat peluang seperti ini! Kanser telah mengubah kehidupan anda dan mengajar anda tentang impian terhebat!”.

Semoga Montana Brown terus menjadi sumber inspirasi buat masyarakat. Sehingga kini Montana Brown masih lagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital tersebut dan pada masa yang sama turut berkhidmat di situ.

Sumber: BuzzFeed News dan Facebook Montana Brown

Share
Published by
Amy Mohd