




Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Secantik Ibu Mertuanya, Datin Maria Arshad. SHIERA AL-KHAIRED Kini Anggun Bertudung

Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.

MAKIN SELESA & TENANG
“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.
Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.


Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.
PENAMPILAN & GAYA TUDUNG
Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.
Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.

Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.
Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.
CABARAN
Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.

Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.
HIKMAH PKP
Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.
“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.

Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.
Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.

Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”
ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.

Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.

Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
RUMAH BERSAWANG Antara Punca Cepat JATUH MISKIN – Ustaz Fawwaz Mad Jan

Memiliki harta dan wang ringgit adalah antara penyebab manusia berlumba-lumba untuk bekerja keras, baik dalam perniagaan atau bekerja makan gaji. Tetapi ada aspek yang kita lalai perhatikan sehingga kita sendiri tertanya-tanya mengapa kemiskinan yang semakin dekat.
Dalam satu perkongsian video, Ustaz Fawwaz menerangkan 14 sebab yang menjadi punca manusia jatuh miskin.
Menurut Ustaz Fawwaz, para alim ulama’ menjelaskan di dalam kitab yang diriwayatkan daripada hadith 14 perkara yang kita sering lakukan tanpa sedar.
1. Tidak menjaga solat
– Solat 5 waktu adalah WAJIB tetapi jika solat itu tak cukup 5 dan tak cukup ‘sifat’, perlulah diperbaiki agar rezeki dimurahkan dan diberkati.
– Para wanita juga perlu tahu, bahagian dahi diletakkan pada lantai BUKAN di alas dengan telekung!
2. Terburu-buru keluar dari masjid selepas solat subuh
– Kecuali jika ada urusan
– Untuk para wanita, luangkan masa selepas solat untuk panjangkan wirid, selawat dan berzikir kepada Allah
3. Tidak membersihkan sawang yang terdapat dalam rumah
– Orang tua-tua selalu ingatkan supaya bersihkan sawang di dinding dan celah-celah meja. Ini sebabnya!
4. Mengeringkan atau lap air yang terdapat di wajah dengan pakaian yang dipakai
– Di sunatkan menyediakan sapu tangan agar mudah untuk lap air atau peluh pada wajah
5. Makan dan minum dalam keadaan berjunub/hadas besar
– Sebelum makan atau minum,eloklah mandi wajib dahulu dan membersihkan diri
6. Isteri yang suka mencaci dan memarahi suami
7. Berdiri tanpa menutup aurat
8. Tidur dalam keadaan telanjang atau menutup aurat
9. Suka melakukan maksiat
– Jika anda merokok, sila hentikan kerana merokok hukumnya HARAM!
10. Suka menyapu sampah di dalam rumah pada waktu malam
11. Terlalu banyak tidur
– Tidur terbaik adalah sebelum Zohor dan selepas Isyak.
12. Duduk di pintu rumah
13. Memakai sikat yang rosak
14. Membiarkan pinggan mangkuk yang kotor di dalam sinki pada waktu malam
14 Penyebab Kita Cepat Jatuh Miskin!!! – Ustaz Fawwaz Mad Jan
Posted by Tazkirah Ustaz dan Ustazah on Saturday, March 9, 2019
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ramadan Kali Ini Saya Mahu Lebih Fokus Kepada Ibadah & Ukhwah” EMIRA KHAN LosraVelda

Suami yang penyayang dan bertanggungjawab, dua cahayamata yang sihat dan sempurna, keluarga yang baik, kesenangan hidup serta maju dalam perniagaan antara nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT buat usahawan muda berusia 26 tahun ini.
Puteri Emira atau mesra disapa sebagai Emira merupakan pemilik jenama fesyen modest moden, Losravelda. Wajar menjadi inspirasi khususnya buat golongan muda, Emira berjaya meletakkan Losravelda sebaris dengan jenama-jenama terkenal di Malaysia.

PERSIAPAN RAMADAN
“Persediaan tahun ini lebih kepada aktiviti ibadah bersama keluarga dan staf. Sepanjang bulan puasa ni saya mahu mereka tak terlalu fokus kepada kerja. Saya merancang untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama mereka di pejabat.
Kalau bukan bulan puasa pun selalunya dalam seminggu sekali kami akan solat berjemaah, keluar makan dan bersukan sama-sama.
Saya akan berbuka dengan makan kurma dan air kosong dulu kemudian barulah diikuti dengan makanan berat. Namun saya makan dalam kuantiti kecil saja agar fokus ketika solat berterawih tidak terjejas.
Sahur pula selalunya saya akan pilih bijirin, buah-buahan atau roti berserat bagi mengekalkan tenaga sepanjang berpuasa. Suami juga tak pernah cerewet soal makan.”
JIWA BISNES
Walaupun Emira memiliki kelulusan dalam bidang komunikasi tetapi minat yang terlalu mendalam terhadap perniagaan mengatasi segalanya. Emira juga bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada suami, Ajwad Khan.
“Suami banyak berkorban masa dan tenaga. Suami juga sanggup berhenti kerja untuk bersama-sama saya menguruskan perniagaan. Saya suka berniaga kerana ia memberi kepuasan kepada saya dan suami.

Lebih-lebih lagi hasil titik peluh sendiri tanpa bergantung kepada keluarga atau bekerja di bawah orang lain. Detik jatuh bangun kami jadikan sebaga pembakar semangat untuk terus buat yang terbaik dalam perniagaan.
Alhamdulillah setakat ini sambutan yang kami terima sangat bagus, permintaan pun semakin meningkat. Rezeki kami sampai ke Brunei.
Hasil jualan di Brunei kami berjaya membawa pulang keuntungan sebanyak RM100 ribu Dollar. Allah SWT mengurniakan rezeki itu kepada kami dalam masa yang cukup pantas dan tak terjangka.
Apatah lagi dengan kami yang masih baru dan kurang pengalaman dalam perniagaan. Alhamdulillah dengan hasil jualan itu kami berjaya membuka butik fizikal di Shah Alam.”
NASIHAT
“Nasihat saya buat golongan muda sebelum menceburkan diri dalam perniagaan jangan terlalu terburu-buru, paling penting kumpul duit dulu. Sebaiknya cari mentor atau penasihat yang benar-benar dapat membantu. Dunia perniagaan ni tak selalunya indah, banyak liku dan cabaran yang terpaksa ditempuh dengan sabar.
Saya juga menjadikan bapa mertua, Nasir Khan sebagai mentor. Beliau memang seorang business minded. Setiap kali rasa tertekan atau down dalam perniagaan saya akan dapatkan nasihat daripada beliau.”
Dapatkan Nona Mei 2019 untuk artikel penuh.
Kredit Foto: Emira Khan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


