Nama Raisa Andriana sememangnya cukup popular di kalangan penggemar muzik Indonesia di tanahair. Malah, penyanyi wanita ini pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 20 November lalu dan mendapat sambutan hangat di Kuala Lumpur.
Tahun 2023, Raisa sekali lagi beraksi dalam konsert solonya pada 25 Februari lalu yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta. Hampir 40 ribu orang hadir menyaksikan konsert tunggal Raisa yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada tahun 2020 tetapi tertunda dek pandemik Covid-19.
Hampir 3 tahun tertangguh, akhirnya konsert tersebut berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan mencipta sejarah tersendiri apabila Raisa menjadi penyanyi solo wanita pertama mengadakan konsert di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta!
Difahamkan, konsert Blackpink pada 11 Mac ini juga bakal diadakan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta. Raisa bukanlah calang-calang penyanyi kerana isteri kepada Hamish Daud ini pernah meraih 17 anugerah di Anugerah Muzik Indonesia.
Pada konsert selama 3 jam di Stadium Gelora Bung Karno itu Raisa membawakan deretan lagu-lagu popularnya termasuklah Apalah (Arti Menunggu),” “Could It Be” hingga “Terjebak Nostalgia.” Raisa turut menyanyikan lagu-lagu cover yang turut mempopularkan dirinya seperti “Bahasa Kalbu” dan “Mantan Terindah.”
Tidak hanya seorang diri menguasai pentas, Raisa turut mengundang beberapa nama besar dalam industri hiburan Indonesia untuk berkasi bersamanya di atas pentas antaranya termasuklah Vidi Aldiano, Afgan dan Isyana Sarasvati. Malah turut kelihatan deretan selebriti popular Indonesia hadir menyaksikan persembahan ibu kepada Zalina Raine Wyllie antaranya termasuklah Tiara Andini, Mahalini, Rizky Febian, Tara Basro dan Titi DJ.
Raisa tampil bersemangat menghiburkan 40 ribu penonton pada konsert tersebut meskipun hatinya bimbang dan gusar memikirkan kesihatan anak perempuannya, Zalina Raine Wyllie yang berada di hospital akibat masalah kesihatan.
Meskipun naluri seorang ibu meronta-ronta untuk berada di sisi puteri tersayang, namun Raisa meneruskan tugasnya dengan sebaik mungkin menghiburkan para penonton dengan persembahan yang memukau.
Penyanyi berusia 32 tahun itu tidak dapat menahan air mata tatkala produksi konsert memberikan kejutan iaitu memutarkan pesan suara berisi kata-kata semangat Zalina untuk ibunya.
Sejurus selepas konsert, Raisa tidak melepaskan peluang untuk berada di sisi puteri kesayangannya dan menitipkan doa semoga Zalina cepat sembuh seperti sedia kala. Itulah kekuatan seorang wanita dan ibu. Kerjaya dan urusan keluarga menjadi nadi kekuatan seorang insan bergelar wanita!
This website uses cookies.