Selepas kejayaan acara membeli-belah terbesar Malaysia, Star Vendors Mega Raya Fest melakar sejarah di The Malaysia Book of Records, Ifa Raziah terus melangkah menginspirasikan ramai wanita. Pengalaman diuji dengan kesempitan hidup hingga terpaksa mengikat perut dan makan nasi berkuah air garam menjadi antara pembakar semangatnya untuk terus berjaya.
Terkenal sebagai seorang yang tegas dan lantang, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah diangkat sebagai Artis Versatil Popular di ABPBH29, Ifa Raziah atau Saripah Raziah Mustapha yang berstatus Dato’ mula dikenali sejak tahun 90-an sebagai penyanyi dangdut. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, usahawan terkenal ini juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid antara yang mendapat permintaan tertinggi serta paling menguntungkan sepanjang pelaksanaan PKP yang lepas.
Meskipun kejayaan isteri kepada Mohd Yani Abdul Rahman ini jarang diperkatakan, namun beliau sebenarnya memiliki sisi kekuatan yang luar biasa. Kehidupan sebagai anak seni dan perjalanan hidup yang ditempuhi banyak mengajar wanita berumur 47 tahun itu erti kedewasaan yang sebenar.
Buktinya Ifa Raziah sendiri mengakui pernah makan nasi ‘berkuahkan air garam’ sebagai simbolik kesusahan hidupnya dahulu. Beliau juga pernah melalui pengalaman ditipu dalam perniagaan serta kerugian yang amat besar sewaktu pandemik melanda.
Satu persatu tohmahan dijawab dengan profesional. Semua soalan panas juga terjawab ketika Nona beraya di penthouse miliknya baru-baru ini.
Jom tonton video penuh 50 Soalan Bersama Ifa Raziah menerusi Bling Bling Raya Jutawan Nona Part 1 & Part 2 di bawah…
Dengan semua kejayaan yang dikecapi, Ifa Raziah sering mengajak para wanita agar bangkit menambah pendapatan dan memulakan bisnes bersama-sama.
Nah, kalau difikir-fikirkan memang betul juga kata beliau. Zaman dah berubah. Sekarang golongan wanita mesti berdikari, ada pendapatan sendiri dan tak bergantung hidup pada suami semata-mata!
This website uses cookies.