Sebut je Grab, pasti tergambar teksi atau delivery makanan di fikiran. Ya, bisnes perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik itu kini menjadi gaya hidup penduduk bandar di Asia Tenggara. Tahukah anda, syarikat Grab juga sebenarnya diasaskan oleh wanita Malaysia iaitu Tan Hooi Ling?
Cerita tentang penubuhan syarikat Grab sebenarnya sangat familiar di kalangan wanita tempatan. Kata Ling, “Saya benar-benar nak menyelesaikan isu teksi di Malaysia. Sejak dulu saya susah ke mana-mana sebab takut dengan pemandu teksi. Sehinggalah dewasa, ibu bapa saya pula yang bimbang jika saya terpaksa menaiki teksi pada lewat malam, untuk pulang dari kerja.”
Kerana terlalu bimbang, Ling dan ibunya mencipta ‘sistem khas’ demi keselamatan. “Saya akan SMS nombor plat teksi dan lokasi saya kepada ibu dari semasa ke semasa. Jadi itulah permulaan sistem tracking
kami di Grab, di mana ia tercetus dari pengalaman peribadi saya, dan turut dialami oleh ramai pengguna lain,” cerita Ling, 36 tahun.Tan Hooi Ling merupakan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Grab Holdings Inc yang berpengkalan di Queenstown, Singapura. Syarikat ini pada awalnya bermula sebagai penyedia perkhidmatan teksi namun kini berkembang pesat, daripada perkhidmatan pembayaran digital kepada penghantaran makanan.
PENGASAS GRAB
Dibesarkan di Petaling Jaya, minat Ling terhadap gadget dan suka membaiki barang mendorong beliau mendalami bidang kejuruteraan. Ling sewaktu kecil mengalami penyakit asma, jadi beliau sering melakukan aktiviti fizikal untuk kekal cergas. Ketika remaja, kecintaannya terhadap sukan badminton pernah membawa beliau ke peringkat negeri.
Ling terbang ke Britain untuk menuntut Ijazah Kejuruteraan Kimia, seterusnya meneruskan pengajian beliau dalam program Masters in Finance & Management. Pada waktu yang sama, beliau turut berkhidmat di sebuah firma konsultansi iaitu McKinsey & Company.
Sebaik pulang ke tanah air, Ling meneruskan kerjaya beliau di McKinsey Malaysia. Rezekinya baik, McKinsey sudi menaja Ling untuk menyambung pengajian di peringkat MBA di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Di sana, wanita ini bertemu Anthony Tan, yang merupakan cucu kepada mendiang Tan Sri Tan Yuet Foh, iaitu pengasas Tan Chong Motors yang masyhur.
Didorong oleh semangat mahu menyelesaikan masalah keselamatan pengguna ketika menggunakan teksi di Malaysia, kedua-dua pelajar ini muncul dengan idea e-hailing ketika pertandingan Harvard’s Business School’s 2011 Business Plan. Pembentangan itu sukses dan akhirnya terpilih untuk dimajukan.
Pada Jun 2012, mereka melancarkan aplikasi MyTeksi di Malaysia dengan bantuan geran sebanyak US$25 ribu daripada Harvard Business School dan separuh lagi dari wang simpanan Anthony Tan.
Siapa sangka, bisnes aplikasi mobil itu kini merupakan bisnes decacorn (dibangunkan dengan nilai melebihi US$10 billion) pertama di Asia Tenggara!
“Mereka pernah tanya, kenapa saya memulakan Grab dengan Anthony… sedangkan dia datang dari keluarga yang kaya-raya dan tak perlu pun bekerja,” cerita Ling dalam satu temu bual di Tech In Asia.
Ling mengakui, Anthony Tan sebaliknya merupakan orang paling kuat bekerja yang pernah beliau temui. Malah itulah yang menjadikan Grab berjaya sebagai platform yang menghubungkan jutaan pengguna hingga sekarang.
Meskipun pada kebanyakan masa Anthony Tan kelihatan jauh lebih menyerlah, namun Ling sebenarnya berperanan penting di sebalik tabir. Beliau memastikan keseluruhan operasi Grab di seluruh negara berjalan lancar dan sentiasa menginovasikan perniagaan lebih dari sekadar pengangkutan awam.
Faham-memahami dan saling menguatkan, begitulah prinsip yang dipegang oleh pasangan pengasas syarikat Grab yang kini dianggarkan bernilai US$14 billion. Syarikat Grab Holdings Inc kini telah berdiri kukuh di lapan buah negara dan 336 bandar raya sekitar Asia Tenggara.
Paling membanggakan, kedua-dua usahawan berjaya ini merupakan rakyat Malaysia dan mengharumkan nama negara. Banyak pencapaian dan pengiktirafan diterima di peringkat antarabangsa, sekaligus membuktikan keupayaan anak tempatan di mata dunia. Tan Hooi Ling juga antara salah seorang #nonasuperwoman hebat dalam bidang perniagaan!
This website uses cookies.