Kalau berjumpa dengan selebriti ini pasti tak kering gusi kerana wanita ini sering melemparkan kata-kata berunsur humor. Namun di sebalik sikapnya yang happy-go-lucky itu terselit jiwa yang luhur dan sanggup berbagi rezeki kepada mereka yang memerlukan. Ketika negara kita sedang bersedih dengan banjir yang melanda beberapa negeri, Sharifah Shahira ‘ringan tulang’ membantu mangsa banjir. Usaha murni selebriti ini sangat membanggakan.
Rupanya pelakon, pengacara dan penyampai radio popular ini pernah melalui pengalaman air bah ini ketika menetap di Hulu Dong, Raub, Pahang. Mampu menyelami perasaan mangsa banjir yang rumah ditenggelami air, perkakasan rumah habis basah, terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) membuat wanita yang mesra disapa Shiera Al-Khaired ini berusaha untuk membantu mengikut kemampuannya.
Patutlah menantu kepada pelakon Datin Maria Arshad ini memahami apa yang diperlukan oleh mangsa banjir ini seperti yang telah dilaporkan oleh Astro Awani, “Yang penting sangat, air, pakaian dalam, berus gigi, tuala wanita dan sabun supaya mana yang boleh cuci rumah dah boleh mula cuci rumah. Terima kasih kepada semua yang membantu, saya mulakan penghantaran hari ini sampai empat hari akan datang,” kata Shahira.
Tak sangka dalam masa yang singkat, usaha murni wanita kelahiran Pahang ini mendapat perhatian masyarakat termasuk rakan artis yang menghulurkan bantuan daripada segi wang ringgut mahupun keperluan asas. “Rakan artis pun ramai yang bagi bantuan kewangan, ribu-ribu ringgit dikongsi,” kata Shahira lagi.
Selain Shahira, penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga mengambil inisiatif menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di daerah kelahirannya, Kuala Lipis, Pahang. Semoga lebih ramai individu dan syarikat-syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Kita Mesti Pandai Buru Berita” Nasihat Mantan Editor Nona, IDA ABD AZIZ Ini Patut Dihadam Semua Bakal Wartawan!
Petang itu mendung, awan sepertinya menunggu masa untuk mencurahkan rezekinya ke bumi. Suasana itu membuatkan jiwa saya menjadi sentimental sambil menyelak beberapa naskhah majalah Nona yang lama dan uzur rupa parasnya.
Sebuah jenama terunggul diterbitkan pada tahun 1986 dan alhamdulillah terus bertahan sehingga sekarang. Saya percaya, ada di antaranya yang membesar dengan naskhah ini. Sebuah karya yang menjadi teman melepaskan waktu lapang dan medium ilmu buat wanita unggul, sebelum hadirnya media sosial. Dari saiznya besar gedabak hinggalah sekarang telah dikecilkan saiznya.
Detik ini membuatkan saya ingin berbicara bersama salah seorang mantan editor majalah Nona, Ida Abdul Aziz. Enam tahun sudah berlalu sejak wanita inspirasi ini meninggalkan kerusi jawatannya sebagai editor majalah.
Sepanjang perjalanannya memegang tampuk pemerintahan empayar NONA, terlalu banyak pengalaman yang dilalui dan terakam menjadi memori terindah dalam hidupnya. Beliau adalah bekas bos saya, sebelum selayaknya saya mengambil alih tugas dan tanggungjawab itu.
26 tahun sis Ida masih lagi bertahan dalam dunia penerbitan, kini kerjayanya diteruskan sebagai editor majalah Rasa. Sis Ida mula bercerita, “Sebelum berkahwin dengan Nona, saya merupakan senior writer Mingguan Wanita dan kemudiannya dilantik sebagai editor Rasa. Tak silap saya, perjalanan saya di Majalah Nona bermula pada tahun 2006 dan ia merupakan satu pengalaman yang membawa saya ke satu level lain.
Di situ pernah air mata saya tumpah dan di sepanjang pelayaran itu juga saya merasa gembira dan teruja. Pahit dan manis tersimpul rapi dalam ingatan saya. Bersama majalah Nona saya mula didedahkan dengan kehidupan orang-orang atasan, VIP, kerabat diraja dan ramai wanita-wanita besi negara.
Ketika itu, saya belajar tentang protokol majlis rasmi, masuk istana dan sebagainya. Menyelami kehidupan yang selama ini berbeza dengan kehidupan harian yang dilalui. Saya bukan beranak atas duit, asal daripada keluarga sederhana. Tiba-tiba melangkah ke dunia glamor dan ternama. Sememangnya satu putaran sosial hidup yang menuntut saya mengenali dunia lebih luas dalam pelbagai golongan lapisan masyarakat.
Pada awalnya, saya mengambil masa untuk mengenali dan berinteraksi dalam suasana baru ini tetapi tidak pernah saya mengalah kerana inilah cabaran dan tugas kewartawanan yang perlu saya lalui. Saya mula menghadiri pelbagai majlis berprestij dan dibawa menjelajah ke beberapa buah negara untuk membuat pelbagai laporan client. Paling penting juga wardrobe kena bertukar dengan elegan untuk menghadiri pelbagai undangan majlis.
Saya langkah dengan berani dan dari situ saya mula menjalin hubungan yang begitu akrab dengan ramai VIP dan golongan atasan. Pada permulaan memang semuanya canggung dan kekok, lama-kelamaan kita sendiri boleh merasai dan tahu karakter ragam manusia yang sebenarnya.
Kita sudah boleh baca sikap mereka, kalau ada yang pura-pura dan tidak ikhlas juga, kita boleh tahu. Semuanya saya lalui secara profesional. Cara percakapan dan mindset juga perlu bertukar sesuai dengan jenama majalah yang dibawa.
Kalau ingin diceritakan kisah dan pengalaman bersama Nona terlalu banyak, satu peristiwa yang membuatkan saya tersentuh apabila seorang VIP membuat panggilan menyuruh saya untuk memberhentikan salah seorang penulis majalah Nona disebabkan beliau tidak suka dengan cara penulisan penulis itu.
Saya enggan untuk terus melatah dengan keadaan ini. Cuba selesaikan dengan cara yang baik, menghantar surat memohon maaf kepada pihak VIP tersebut dan memberi surat teguran kepada penulis tersebut. Itulah antara cabaran kala kita berhadapan dengan insan-insan berpengaruh, perlu berhati-hati dengan setiap apa yang kita ingin kongsi kepada pembaca.
Itu tidak masuk lagi kes saman dan sebagainya. Dalam keadaan ini ada ketikanya kita terasa sangat kecil, tetapi tidak semua antara mereka yang sombong atau hidung tinggi, kebanyakannya baik hati dan ada antaranya menjadi sahabat baik sehingga sekarang.
Antara kenangan terindah yang dapat saya kongsi bersama apabila diberi peluang untuk duduk dan berbicara dengan isteri Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Siti Hasmah dan Allahyarhamah Datin Paduka Seri Endon. Saya kagum dengan dua wanita inspirasi ini, setiap petah baris bicara mereka pastinya diselimuti dengan elemen positif dan semangat memperkasakan wanita lain.
Selain itu, memori terindah apabila kami berjaya dapatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya YB Nurul Izzah Anwar. Alhamdulillah, sold out edisi Jun 2008 itu. Bukan mudah untuk dapatkan beliau ketika itu yang baru sahaja keluar daripada tahanan. Saya tolak ketepikan soal politik dan majalah Nona hanya fokuskan pada kisah ‘Dari Hati Seorang Ayah’.
Biarpun peruntukan masa yang diberikan hanya sejam, alhamdulillah semuanya berjalan dengan sempurna. Biarpun mendapat pelbagai kritikan positif dan negatif, kami di meja editorial sangat berpuas hati dengan hasil yang dihidangkan buat semua pembaca majalah Nona. Aura Datuk Seri Anwar bila berbicara, saya akui sangat mempesonakan, bijak dan sarat dengan ilmu.
Kata akhir saya buat semua penulis yang ingin menceburi dunia kewartawanan:
- Anda perlu bersedia bekerja dalam apa jua waktu dan situasi. Must be able to work on a bad day. Pray hard and work smart. Stay positive and don’t let stress handle your life.
- Perlu bijak membaca situasi yang terjadi dan merealisasikan sesuatu keadaan itu agar dapat difahami dan menjiwai setiap artikel yang ingin disampaikan dengan berkesan kepada pembaca.
- Seorang wartawan harus lincah dalam memburu berita terutama mencari idea kreatif dan eksklusif.
- Wartawan yang baik adalah penguasaan bahasa yang baik. Wartawan harus tahu segala aspek bahasa dan penggunaannya sedemikian rupa bagi kelancaran mengemukakan apa yang dikehendaki untuk diketahui orang. Untuk itu, seorang wartawan harus banyak berlatih menulis untuk mencapai kecakapan menulis.
- Menulis dengan jujur dan berdasarkan fakta.
- Seorang wartawan harus mempunyai pengetahuan yang luas. Keluasan pengetahuan ini tidak hanya meliputi persoalan atau bidang yang sedang dihadapinya, akan tetapi banyak persoalan yang luas secara menyeluruh dan umum.
- Percaya pada diri, kematangan fikiran, cerdas, serta lincah dan sentiasa berpegang prinsip akta kewartawanan.
- Jaga penampilan dan personaliti diri agar sedap mata orang memandang dan selesa untuk berbual bicara.
Terima kasih saya kepada Kumpulan Media Karangkraf kerana memberi kesempatan dan kepercayaan untuk saya menerajui jenama besar ini. Majalah Nona, saya belajar erti kekuatan dan ketabahan dalam membentuk keperibadian saya hari ini.” – IDA ABD AZIZ.
Kini, Ida Abd Aziz kembali menerajui editorial majalah Rasa 2018. Semoga sis Ida terus sukses dan berjaya membawa majalah Rasa ke satu tahap terbaik menerusi platform digital dan print… InsyaAllah, amin.
Rancak Berbisnes Di Sarawak, AZIE MUSTAPHA Kekal Cantik Di Usia 45 Tahun
Masih ingat lagi dengan penyanyi cantik bersuara lunak, Azie Mustapha? Terkenal dengan lagunya Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku. Inilah wajah terkininya, masih cantik dalam usia 45 tahun.
Nona menyingkap rahsia serta perkembangan terkini artis kelahiran Kuching, Sarawak ini yang rancak berniaga dari rumah secara online dengan tanda pagar #aziedapoanganku
“Saya kini menetap sepenuhnya di Kuching, Sarawak bersama suami dan 3 cahayamata. Anak sulung dah berusia 20 tahun, anak kedua 17 tahun dan yang ketiga 11 tahun. Saya kini menjalani kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan surirumah sepenuh masa sejak berlakunya pandemik COVID-19. Semua undangan nyanyian sebelumnya terpaksa ditolak. Redha dengan keadaan dan saya yakin dengan rezeki.
Sekarang ini saya bergiat dalam bisnes masakan dan baking secara online. Bisnes harian saya ialah menghasilkan Curry Puff Carbonara dan Popia Carbonara Goreng. Saya juga menerima tempahan frozen food. Manakala tempahan kek, kuih, hidangan minum petang, untuk bersedekah pun saya terima. Bila perayaan saya turut menerima tempahan biskut-biskut terutama daripada regular customer.
Sebagai peniaga kecil-kecilan, saya sentisa pastikan produk betul-betul fresh kerana saya tak suka simpan stok. Bila customer gembira ia satu kepuasan bagi saya. Alhamdulillah feedback yang diterima pun sangat memberangsangkan, selalu dapat repear order. Dengan adanya online business ini dapatlah juga penuhi masa lapang saya di rumah.
MASIH ANGGUN
Saya bersyukur atas kurniaan Allah Taala. Yang penting jaga kesihatan. Kaya macam mana sekalipun kita kalau tidak sihat tiada makna. Paling penting percaya dan redha denagn ciptaan Allah SWT. Untuk kekal sihat dan cantik, rutin harian saya dengan mengamalkan makan suplemen dan vitamin serta minum air kosong secukupnya. Tidur kena cukup, makan minum kena jaga lebih-lebih lagi kalau dah berusia 35 tahun ke atas penyakit mudah nak ‘datang’.
Saya jaga waktu makan. Paling penting ialah sarapan, jangan skip. Kalau tak makan tengahari sekalipun sekurang-kurangnya dah bersarapan kerana ia membekalkan tenaga. Sebagai suri rumahtangga nak kena bekerja sepanjang hari. Kerja mesti selesai semuanya. Saya pula berbisnes jadi perlukan tenaga yang cukup. Saya sentiasa berdoa agar diberi kesihatan yang baik. Hati kena bersih. Bila dalaman bersih akan terserlah kecantikan sebenar di luaran.
Kredit Foto: Instagram @azie_mustapha
“Kalau Ada DOA Tak MAKBUL, Baca Ayat ‘Penghibur hati’ Ini,” Kongsi Oki Setiana Dewi
Pelakon terkenal dari Negara Seberang ini bukan sahaja dikurniakan wajah cantik tetapi mempunyai hati yang murni. Oki Setiana Dewi kini sedang berusaha mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid pertama di Seville, Sepanyol. Menurut Oki di Sepanyol tidak mempunyai masjid dan menyukarkan umat Islam di sana beribadat.
Tertarik dengan perkongsian Oki tentang sifat bersangka baik kepada Allah SWT dalam salah satu kuliah Dhuhanya di ibu negara. Antara kupasannya berkenaan tajuk ini;
“Dalam hidup kita tidak terlepas dengan ujian. Ada yang diuji dengan harta, keluarga, pekerjaan, pasangan dan sebagainya. Tiada siapa yang terlepas daripada ujian, sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 155 “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”.
Kita pasti diuji dengan rasa takut. Siapa yang tak pernah rasa takut? Takut dengan sebuah keadaan, takut dengan penyakit, takut dengan harta dan lain-lain. Allah uji manusia dengan ketakutan. Namun hanya orang-orang yang sabar apabila diuji adalah orang yang menang.
Ujian bukan hanya datang dalam bentuk sedih semata-mata tetapi datang juga dalam bentuk kesenangan. Dalam surah Al-Anbiya, ayat 35, “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,”
Ujian kesenangan apabila dikurniakan harta yang melimpah-ruah, anak yang sihat dan bijak dan kesihatan yang baik namun tidak pernah bersyukur. Tapi Allah tetap mengurniakan nikmat, hati-hati ya ini yang dinamakan istidraj. Istidraj adalah apabila Allah akan beri semua kenikmatan di dunia tetapi akan dihitung di akhirat kelak.
Terdapat tiga golongan iaitu;
1. Golongan paling rendah apabila mempersoalkan ujian yang menimpanya.
2. Golongan tinggi apabila ikhlas apabila diuji dengan dugaan hidup.
3. Golongan tertinggi apabila mengucapkan rasa syukur apabila diuji dengan dahsyat sekali.
Bagaimana kita mahu mempertingkatkan diri agar sentiasa bersangka baik demi mendapatkan reda Allah SWT? Jika kita sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diberikan akan membuatkan hidup lebih tenang. Allah Maha Adil dan tidak pernah bersifat kejam terhadap hambaNya. Tetapi kita sebagai manusia tidak pernah faham tentang sifat Allah Maha Adil,” jelas Oki.
Menurut Oki agar kita berdoa bersungguh-sungguh dan bersangka baik terhadap Allah SWT pasti doa akan dikabulkan. Oki juga berkongsi tentang sepotong ayat yang menjadi ‘penghibur’ hatinya jika doa tidak dimakbulkan seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 216,
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pasa sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” tutur Oki Setiana Dewi.