Karakter Raline Shah yang mesra dan lucu membuatkan sesiapa sahaja yang pernah bekerjasama dengannya berasa senang. Mula membina nama di pentas ratu cantik pada tahun 2008, percaturan Raline menyertai Pertandingan Puteri Indonesia nyata berbaloi kerana dia kini berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Tidak hanya dikagumi kerana rupa paras cantik, pemilik nama Raline Rahmat Shah ini juga bijak orangnya.
Hadir dengan gaya elegan ketika sesi fotografi penghias Nona baru-baru ini, Raline tiba dengan senyuman dan aura mempersona.
Meniti usia 39 tahun, jelitawan Indonesia berkenaan akui teruja setiap kali berkunjung ke Malaysia yang diibaratkan seperti rumah keduanya apatah lagi mempunyai susur galur keluarga berketurunan Melayu.
Tidak hairanlah Raline fasih berbahasa Melayu. Mengulas lanjut latar belakang keluarga, bintang filem Surga Yang Tak Dirindukan membuka bicara.
KELUARGA
“Datuk saya orang Melaka dan tinggal di sana selama tujuh tahun. Selepas itu datuk bekerja di Singapura dan nenek saya orang Johor. Jadi mereka berpindah ke Singapura untuk bekerja. Bila sudah bersara, mereka mahu tinggal di Johor Bahru.
Setelah datuk bersara, dia hendak jadi orang Malaysia sebab katanya dia lahir di Malaysia dan nak meninggal di sini. Datuk sangat bangga menjadi orang Malaysia dan saya juga sangat bangga ada keturunan orang Melayu dan Malaysia.
Sampai sekarang pun saya masih berhubung dengan kawan-kawan di sini dan pernah bersekolah di Malaysia. Tahun 1998 saya pindah ke Johor Bahru dan bersekolah di Kolej Tuanku Ja’afar for my A Level. Pendek kata, bagi saya pergi KL ini seperti pulang ke kampung,” dedahnya yang menggemari hidangan Laksa Johor.
Pernah membintangi filem produksi Malaysia dan Indonesia iaitu Polis Evo 2 pada tahun 2018, Raline merupakan personaliti berdisiplin dan bercita-cita tinggi dalam karier seni. Buktinya, usahawan ini nekad mencari potensi diri dan berusaha menjadi anak seni berkualiti di mata dunia.
“Saya baru selesai belajar di Amerika Syarikat untuk komedi dan lakonan drama demi memperbaiki keupayaan seni lakonan dan suara. Semua ini saya buat kerana saya mahu pergi ke peringkat antarabangsa. Bukan hanya tertumpu di Amerika tetapi juga luar Indonesia.
Misalnya di Asia kerana negara-negara Asia juga banyak peluang dan potensi untuk bekerjasama. Kalau di Malaysia pun apa salahnya. Apa lagi Malaysia dan Indonesia juga berjiran.
Setakat ini ada dua skrip yang tengah diperjuangkan. Ia sesuatu yang menyeronokkan sebab saya dah sekian lama tidak berlakon filem Indonesia jadi ia pastinya menjadi tahun yang bermakna buat saya.
Jika diberi peluang, saya teringin melakonkan watak komedi. Bagi saya art film di Malaysia juga sangat bagus dan pengarah di sini berbakat besar,” ulas Raline mengenai perancangan seni.
AKTIVIS
Tidak sekadar aktif mengemudi kerjaya seni ke peringkat global Raline juga memanfaatkan populariti yang diraih untuk berbakti kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan. Difahamkan graduan National University of Singapore ini minat menceburi misi kebajikan daripada ibu tersayang, Roseline yang aktif dengan kerja advokasi.
Sepanjang pembabitan sebagai anak seni, Raline turut dikenali sebagai aktivis kemanusiaan dan bergelar pengasas rumah kebajikan Rumah Harapan Indonesia dan Yayasan Tunas Bakti.
Ditanya impian sekiranya tidak menjadi selebriti, Raline dalam nada tegas menyuarakan hasrat hati.
“Saya nak buat banyak charity. Saya nak educate young women terutama yang tiada opportunity atau pernah didera untuk berdikari dan mencari potensi serta bakat mereka agar dapat kehidupan lebih baik.
Rumah Harapan Indonesia ini menjadi rumah singgahan untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun yang sakit kronik. Kami beri rumah untuk mereka dari kampung ini yang datang ke bandar untuk mendapatkan rawatan di hospital dan tidak ada tempat untuk mereka berteduh sepanjang tempoh itu. Juga memberi mereka kemudahan pengangkutan dan makanan.
Banyak insiden menyentuh hati di sini dan saya boleh lihat kekuatan kaum ibu ini menghadapi anak-anak yang sakit. Mereka bukan saja harus jaga anak tetapi uruskan suami di rumah. Saya sendiri saksikan ada di antara penghuni rumah ini meninggal dunia.
Sebetulnya yang membuat hidup kita ini panjang dan bahagia ialah community building and having each other dan kita perlu tahu bahawa kita tak sendiri di dunia ini. Ada orang mahu bantu dan Allah itu ada,” ungkapnya mengakhiri perbualan.
Konsep: KIFFY RAZAK
Teks: SUZIANA ABU DAUD
Pembantu penyelaras: NORZALINA MOHD ALIAS
Foto: REMY OTHMAN
Video: REMY OTHMAN & MUHD QAAF
Busana: KHOON HOOI
Solekan: TIAR ZAINAL
Dandanan: HAIR BY LALA
Lokasi: COMMUNE KL
This website uses cookies.