Kuasa viral, Hikma Nur Syafa bukan hanya dikenali di negara kelahirannya iaitu Indonesia. Bahkan turut pernah menjadi bualan warga maya di Malaysia. Ini selepas foto Hikma atau disapa Ima ini tular yang memperlihat wanita berasal dari Bantul, Jawa, Indonesia berkenaan menyarung pakaian beruniform dan menggalas senjata di negara bergolak, Afrika Tengah.
Keberanian Ima mendapat reaksi dan pujian ramai. Apatah lagi, dia juga mempunyai rupa paras cantik menawan. Membuatkan ramai yang terpegun dengan kejelitaan yang dimiliki.
Ima secara rasmi menjadi polis wanita pada tahun 2013 dan genap sedekad menjadi polis di samping tidak pernah kesal dengan kerjaya berkenaan.
Selain meminati bidang lasak dan mencabar, dia juga memiliki naluri kewanitaan yang gemar kepada kecantikan dan fesyen.
Meskipun kerjayanya terdedah kepada cuaca tidak menentu namun Ima tetap mengenakan solekan nipis ketika bertugas demi memastikan penampilan diri sentiasa terjaga.
Ads
Memetik laporan portal Kamikamu, Ima melalui tempoh dilema ketika mahu memilih kerjaya. Sebelum melanjutkan pengajian di Lembaga Pendidikan Polri Sekolah Polisi Wanita, dia merupakan pelajar jurusan Universiti Gadja Mada (UGM).
Minatnya untuk menjadi anggota keselamatan menyerlah dan lebih bersemangat apabila melihat kakaknya yang turut bertugas sebagai polis wanita. Akhirnya anak bongsu daripada dua beradik ini nekad untuk tidak melanjutkan pendidikan di UGM.
Sebaliknya memilih berkhidmat untuk negara tercinta sebagai anggota polis. Kini Ima bertindak sebagai polis di Bantul, Jawa, Indonesia.
Keputusan wanita ini mendaftarkan diri untuk menjadi peacekeeper atau penjaga perdamaian Formed Police Unit (FPU) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi 1001 pengalaman berharga buat dirinya.
Hikma Nur Syafa berusia 27 tahun ditugaskan selama 15 bulan di wilayah Bangui di Afrika Tengah sejak Jun 2018. Sepanjang berada di sana, Ima mempelajari pelbagai teknik dan ilmu kepolisan termasuk menembak.
Biarpun kebanyakan rakan seperjuangan terdiri daripada kaum lelaki namun ia bukan halangan buat Ima. Sebaliknya wanita berketinggian 162 sentimeter ini tenang mengangkat senjata dan menjalani ujian ketahanan sama seperti anggota lain.
Kini Ima kembali ke negara kelahiran dan aktif mengamalkan gaya hidup sihat. Dek kerana popularitinya yang pernah melonjak dan tular di alam maya kerana kecantikan dan keberanian bertugas di sempadan negara bergolak, Ima menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk membuka perniagaan. Dia merupakan pengasas jenama busana muslimah Syaa by viraa.
Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pada usia 32 tahun, wanita bernama Dyana Roslan ini sudah mengecap cita-citanya untuk bergelar jutawan. Membina empayar perniagaan yang kini viral, DYXY Cosmetics, Dyana antara wajah-wajah pengasas produk mekap tempatan yang patut dibanggakan.
Kenapa DYXY? Itu soalan pertama Nona ketika berjumpa Dyana. “Sebenarnya DY adalah singkatan untuk nama saya iaitu Dyana, manakala XY pula adalah singkatan untuk jenama Roxy yang merupakan kegemaran saya waktu remaja dulu. Bila saya dan suami berbincang, kami setuju komersialkan nama ni sebab ia senang disebut dan diingati,” jelasnya lembut.
Dalam pertemuan dengan ibu muda ini sempena penggambaran cover majalah Nona April 2018, Dyana turut berkongsi resipi kejayaannya memasarkan DYXY Cosmetics hingga meledak dalam masa 2 tahun. Wow, sungguh mengagumkan!
Kalau nak tahu, Dyana yang merupakan isteri kepada Shah Hafiz dan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shah Farrel Islam (6 tahun), Shah Dazrin Islam (4 tahun) dan Shah Andrez Islam (4 bulan) juga rupa-rupanya seorang yang bijak mengatur masa!
“Mula-mula tu susah jugak nak galas banyak tanggungjawab. Tapi lama-kelamaan saya dah dapat rentaknya. Kadang-kadang kita kena fikir keutamaan, antara kerja dah rumah tangga, yang mana lebih penting pada satu-satu masa.
Tapi paling penting, saya mesti pastikan wajah kelihatan ‘sempurna’ pada setiap masa. Sebab tu saya sendiri suka menggunakan produk sendiri seperti Facial Mist, BC Cream Foundation dan berus wajah DYXY Cosmetics sebab ia amat ringkas serta bermanfaat untuk kulit kita! 5 minit dah siap dan kita akan rasa sangat yakin dengan kulit yang sihat.”
Nak tahu cara jutawan ni bersolek sebelum ke mesyuarat penting? Jom tengok langkah demi langkah di bawah.
Oleskan BC Cream Foundation sama ada dengan span yang disediakan atau berus mekap. Berus ni pun kita boleh semburkan face mist dulu supaya foundation lebih meresap.
Dab kulit untuk litupan penuh.
Pakai maskara pada bulu mata atas dan bawah supaya mata nampak galak.
Pakai gincu pilihan.
Siap!
Amacam senang tak? Usahawan macam Dyana ni memang kena selalu nampak cantik, barulah pelanggan rasa confident berjumpa pengasasnya. Nak pakai pun senang sangat, cepat dan mampu rawat kulit dalam satu masa.
Katanya lagi, sekarang DYXY Cosmetics mengeluarkan lima jenis produk iaitu foundation, face mist, gincu, maskara dan berus mekap. Kesemuanya berpatutan dan mudah didapati secara online melalui pihak DYXY Cosmetics sendiri atau melalui stokis yang sah. Taip saja di Instagram, Facebook atau Google, confirm rambang mata!
Lepas dah cuba sendiri, memang tak syak lagi produk DYXY Cosmetics ni setaraf produk mekap antarabangsa di kaunter-kaunter tu. Pigmen warna gincu yang tinggi, bedak tahan lama dan mudah dibersihkan… oh, sangat mesra solat! Kepada sesiapa yang nak jadi usahawan DYXY pun dialu-alukan tau!
Nak tahu lebih lanjut tentang Dyana Roslan serta perniagaan DYXY Cosmetics, dapatkan majalah Nona edisi April 2018 untuk pelbagai sharing menarik!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pada tahun 2017, Pengasas Bersama, Fashionvalet, Datin Vivy Yusof dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor telah mengharumkan nama negara apabila tersenarai sebagai orang yang paling berpengaruh kerana berjaya memasuki senarai The Forbes 30 Under 30 Asia.
Senarai 30 Under 30 Asia ini merangkumi 10 kategori yang mempunyai 30 orang yang tersenarai dengan kejayaan masing-masing. 10 kategori tersebut termasuk teknologi konsumer, teknologi perusahaan, hiburan dan sukan, seni, kewangan dan ekonomi, industri pembuatan dan tenaga, penjagaan kesihatan dan sains, usahawan sosial, media, pemasaran dan pengiklanan serta rincit dan e-dagang.
Penyenaraian Nor ‘Phoenix’ Diana untuk tahun 2020 ini adalah sebagai pengiktirafannya dalam dunia sukan. Gadis yang mempunyai berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter ini menjadi wanita Muslim Malaysia pertama menyertai acara gusti profesional.
Foto: Facebook Forbes Asia
Gadis manis yang berusia 19 tahun ini merupakan Ahli Gusti Hijab Pertama di dunia. Nor ‘Phoenix’ Diana mula mencipta fenomena setelah memenangi tali pinggang pada pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi.
Siapa sangka dalam usia yang sebegini muda, Nor ‘Phoenix’ Diana yang mempunyai nama Syaradeeba ini berjaya menempatkan diri dalam senarai yang paling dikehendaki ini.
Menceritakan bagaimana hati anak ke-4 daripada 5 beradik ini boleh ‘jatuh cinta’ dengan dunia gusti yang sering digambarkan dengan kekerasan ini, “Saya bermula dengan minat sebab selalu bermain PS2 dengan adik lelaki dan tengok gusti WWE masa umur 14 tahun.
Ketika tingkatan 4 saya mencari sendiri tentang gusti. Akhirnya saya dapat berhubung dengan MYPW dan Coach Ayez. Saya telah diberi tunjuk ajar dan mendapat latihan di bawah kendalian Coach Ayez Shaukat Fonseka (Co Founder MyPW).
Kemudian saya telah diberi peluang beraksi di bawah nama My Pro Wrestling (MyPW Developmental Centre) iaitu satu-satunya tempat training ahli ahli gusti tempatan di Malaysia.
Gelanggang ini telah dibuka dan ditanggung sepenuhnya oleh Datin Maria Abdullah termasuk menyediakan lokasi untuk para ahli gusti profesional membuat persembahan. Selain beraksi di sini saya juga telah dihantar beraksi di luar negara,” bicara gadis yang diberi gelaran Nor ‘Phoenix’ Diana ini.
Ketika ditanya mengapa memilih sukan ini, jawabnya, “Professional wrestling bukan sahaja fokus pada sukan hiburan, tetapi ianya juga fokus pada meningkatkan keupayaan atletik, kekuatan fizikal dan mental, serta pembentukan peribadi diri, karisma dan keyakinan diri. Di samping itu, ianya juga merupakan seni mempertahankan diri yang praktikal.
Dalam industri gusti professional serata dunia, kebiasaannya wanita hanya dilihat sebagai pemanis mata dan tidak diambil serius kehebatan dan bakat mereka.
Saya berjaya membuktikan bahawa wanita sepatutnya dilihat atas bakat mereka dan diambil lebih serius. Namun begitu, di Malaysia pro wrestling, tiada sebarang deskriminasi terhadap bakat-bakat baik lelaki mahupun wanita,” jelas Nor ‘Phoenix’ Diana yang pernah mewakili Malaysia Pro Wrestling di luar negara.
Nasihat Nor ‘Phoenix’ Diana kepada remaja yang suka melakukan aktiviti tidak bermoral, “Cari minat yang mendalam, seperti sukan atau hobi yang berfaedah. Kemudian fokus betu-betul dengan bidang yang diceburi. Jangan buat sambil lewa, dan set kan target yang tinggi serta cuba buat yang terbaik untuk capai target itu,” kata Nor ‘Phoenix’ Diana penuh semangat.
Foto: Instagram @nordianapw
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!