Mereka sepatutnya disatukan Sabtu ini namun takdir Ilahi, Muhammad Adib Mohd Kassim yang merupakan anggota bomba dan tunang kepada Nurul Najihah Mohd Radzi akhirnya menghembuskan nafas terakhir pukul 9.41 malam tadi selepas 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Dalam temu ramah singkat Nona bersama kakak kepada Nurul Najihah, wanita berusia 27 tahun ini yang dikenali sebagai Najwa sempat berkongsi sifat peribadi arwah meskipun hanya berpeluang mengenali Muhammad Adib hampir setahun yang lalu.
“Saya ni jarang sikit jumpa dia. Yang saya tahu arwah ni dia pendiam.. dia pemalu. Saya pun lebih banyak bercakap dengan Najihah je kalau ada apa-apa. Last jumpa dengan arwah Adib ni pun masa dia balik kampung hari tu.”
Memandangkan tarikh perkahwinan Muhammad Adib dan Nurul Najihah dijangka berlangsung empat hari lagi iaitu pada 22 Disember ini.. jawapan Najwa tentang persiapan kahwin adiknya itu nyata menyentuh perasaan.
“Ikutkan saya dah nak balik Alor Setar hari ini untuk bawa barang persiapan balik ke Kedah. Dah jadi macam ni, terpaksa batalkan. Misalnya nak bawa balik barang-barang hantaran sebab nak sediakan dekat sana saja.
Tak tahu lagi berapa dulang hantaran sebab kami semua tunggu Najihah pulang untuk bincang apa yang patut buat dan sebagainya. Kiranya, semua tunggu keputusan dari Najihah.”
Tatkala ditanya sikap Najihah sepanjang Muhammad Adib berada di IJN, Najwa menjelaskan pada mulanya adiknya itu agak sukar menerima berita tersebut. “Najihah memang nampak sedih tapi lama-kelamaan tu semakin ok sebab saya tahu perangai Najihah, dia kuat orangnya.
Najihah banyak berkongsi dan cakap dengan ayah pasal arwah Adib ni. Dia banyak luahkan dekat ayah berbanding dengan saya. Masa Adib masuk IJN cuma ayah, ibu dan Najihah je ada di sana. Ayah minta kami bagi sokongan dekat adik Najihah.
Memang ada perasan marah, sedih.. tapi dah jadi macam ni, saya harap adik Najihah tabah. Nak buat macam mana, dah dugaan macam ni kan. Alhamdulillah, keluarga semua ok. Ni pun kami tengah tunggu Najihah sebab tak jumpa dengan dia lagi,” kongsi Najwa sebelum mengakhiri perbualan.
Dalam kejadian yang berlaku pada 26 November lepas, Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
Ahad lepas, IJN turut memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kian merosot selepas mendapati tisu-tisu pada paru-paru menunjukkan tanda ia semakin mengeras dan fungsi renal juga tiada penambahbaikan.
Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan buat Najihah, semoga anda kuat menerima ketentuan takdir dari-Nya.