![jpg_20221230_134610_0000](https://cdn.nona.my/2022/12/jpg_20221230_134610_0000-696x365.jpg)
Melayari hidup sendirian selepas bercerai dengan aktor Eman Manan pada tahun 2003, kisah kekuatan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy cukup menjadi inspirasi. Biarpun hampir dua dekad hidup solo, ‘pengganti’ yang datang jauh lebih bererti. Kehadiran anak angkat beliau, Nur Aminah Aishah bukan saja meraih perhatian, malah wajah gadis cantik itu menyerupai kecantikan ‘Azura’, watak ibunya ketika remaja.
Sering hadir menemani ibu tersayang, Aminah yang kini berusia 15 tahun tampak cukup manja dan pintar. Persis sahabat karib, ikatan mesra ibu dan anak itu pastinya mengisi jiwa Ogy selama ini.
Dalam hantaran terkini Ogy, penghibur terkenal ini dilihat memuat naik gambar-gambar mereka.
“Keluarga bahagia ‘Singer’. Besar dah anak umi…” Ogy Ahmad Daud
![Persis ‘Azura’, Peminat Puji Anak Gadis Ogy Ahmad Daud Ini Mirip Kecantikannya Zaman Muda!](https://cdn.nona.my/2022/12/ogy1.jpg)
Berkongsi peribadi permata hati kesayangannya, Ogy yang menyapa Nur Aishah Aminah dengan panggilan Aminah menyatakan perangai Aminah saling tak tumpah seperti arwah ibunya yang juga seniwati terkenal, Allahyarhamah Hajah Saadiah Baharom yang begitu lemah lembut orangnya.
“Lahirnya 9 November 2007, Nur Aminah Aishah cinta hatiku. Saya panggil Aminah, dia bahasakan diri dia Aishah.
Perangainya persis arwah mak saya, lemah lembut orangnya.
Beza sungguh dengan umi dia ni opposite attract. Maka itu Allah berikan Aminah pada umi tau.” Ogy Ahmad Daud
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
Sekadar mengimbau kenangan, Ogy yang kini berusia 60 tahun mula memelihara Aminah sedari sejak bayi lagi. Menyifatkan kesibukan mengurus anak sebagai caranya meneruskan hidup, Ogy mengakui bahawa anak adalah segala-galanya selain kerja.
Walaupun bermata sepet, namun peminat teruja melihat muka Aminah yang hampir seiras muka Ogy. Betullah kata orang, apabila hati ikhlas menjaga anak angkat, mukanya akan mengikut muka kita.
Tambahan pula Aminah mewarisi bakat seni dalam diri Ogy. Pandai berlakon, menari dan menyanyi. Bertuah Aminah dapat ibu hebat, bukan sahaja penghibur serba boleh malah merupakan anak kepada seniman Allahyarham Dato’ Ahmad Daud dan seniwati Allahyarhamah Datin Saadiah.
BERTAHAN
Dalam perkembangan terkini beliau dalam seni, Ogy Ahmad Daud bakal menjayakan pementasan muzikal Wajah Rahsia Hati di Gateway Theatre Singapura pada Februari tahun depan.
Pada usia emas, keberanian beliau mencabar diri dengan tugasan sebesar itu menerima banyak pujian rakan-rakan seni seperti Dato’ M. Nasir. Pementasan dengan kerjasama syarikat produksi Singapura, Dstar Management itu bakal memperlihatkan bakat Ogy berlakon, menyanyi, menari dan bermonolog secara eksklusif.
Tak sabar menanti persembahan Ogy tak lama lagi. Wanita hebat yang masih aktif dalam dunia ini pernah meraih beberapa anugerah antaranya Pelakon Harapan Terbaik (Ceritamu Ceritamu – 1979), Aktres Terbaik (Ali Setan – 1986), Aktres Terbaik (Puteri – 1987), Pelakon Wanita Popular ABP-BH 87 dan Penghibur TV Popular ABPBH 97/98.
Bina Legasi Umur 19 Tahun & Raih Jualan 6 Angka, IDDIN SYAH Kini Ada 18 Ribu Ejen!
![](https://cdn.nona.my/2022/01/427747.jpeg)
Seawal usia 19 tahun, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi sudah mempunyai hala tuju jelas untuk mengemudi empayar perniagaan. Meskipun tidak memiliki pengetahuan luas dalam bidang keusahawanan waktu itu dan tiada di antara ahli keluarganya yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan namun minat Iddin untuk berniaga mula bercambah sejak dia berada di bangku sekolah lagi.
Niat yang pada awalnya mahu berdikari mencari wang saku lama-kelamaan memberi idea dan kerjaya serius buat anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini.
Apatah lagi dia bukan berasal dari keluarga senang dan nekad mengubah nasib keluarga. Bersandarkan minat dan desakan hidup, Iddin melangkah berani mengeluarkan produk niaga sendiri saat dia masih bergelar penuntut universiti.
Lebih manis, produk Extra Skin White atau lebih dikenali sebagai ESW sudah menembusi pasaran Malaysia dan luar negara selama lapan tahun!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam arena perniagaan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Universiti Sains Malaysia ini dengan penuh semangat membuka bicara.
Katanya, salah satu faktor utama dia memilih produk suplemen adalah kerana mahu membantu rakan sebaya yang mengalami masalah kulit.
“Semuanya tercetus lepas saya habis belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Faktor yang mendorong saya pilih produk suplemen ini sebab waktu di kolej dulu saya nampak kebanyakan kawan-kawan lelaki mengalami masalah kulit. Misalnya jerawat, parut dan kulit kusam yang mana mereka tiada inisiatif untuk atasi masalah tersebut.
Memandangkan saya memang suka bab penjagaan kulit, imej dan penampilan, jadi saya rasa terpanggil untuk membantu golongan lelaki di luar sana memiliki kulit sihat sekaligus menjaga penampilan mereka.
Produk suplemen ini adalah penyelesaian kepada masalah kulit mereka secara keseluruhan, bukan hanya luaran tetapi juga dalaman termasuk seluruh badan.
Jujurnya saya berniaga semasa belajar di matrikulasi dan USM lagi. Tahun akhir di USM saya tercalon dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi.
Sebelum produk ESW dihasilkan, waktu saya berumur 20 tahun, saya terlebih dahulu menjual produk orang lain. Hasil berniaga produk orang tadi saya berjaya kumpul RM60,000. Itulah modal saya untuk memulakan bisnes ESW Beauty.”
Menjadikan tokoh usahawan terbilang, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai sumber inspirasi dalam bisnes, Iddin meluahkan rasa syukur kerana rezekinya dalam bidang ini mengalir bagai air di lautan.
“Selepas dua tahun menjual ESW Beauty saya meraih pulangan mencecah RM300,000 iaitu lima kali ganda daripada modal permulaan. Sepanjang lapan tahun bergelar usahawan, saya sudah mampu ada wisma sendiri, 50 pekerja dengan 18,000 agent ESW di seluruh negara.”
Tambah Iddin, kejayaannya hari ini adalah berkat usaha kakitangan dan ejen ESW Global yang bersungguh-sungguh mahu mengubah nasib mereka. Seperti usahawan lain, Ketua Pegawai Eksekutif ESW Global Group Sdn Bhd ini mengakui tidak terlepas diuji dengan pelbagai cabaran.
“Semua perniagaan pernah mengalami kegagalan. Tetapi bagaimana kita selesaikan ujian tersebut dan bangkit semula adalah penting. Saya pernah alami kegagalan apabila akaun bank daripada RM700,000 berkurangan sampai RM20,000.
Nak bayar duit staf waktu itu pun susah. Ia mengajar saya erti dunia perniagaan sebenar kerana apabila kita berniaga kita perlu ada ilmu, bukan seperti makan gaji yang hujung bulan dah tentu ada duit.
Sebaliknya bisnes ini umpama kita bermain dengan ‘soal hati’. Maksudnya hati kena selalu bersih untuk terus maju dalam bisnes dan bebas hasad dengki. Saya ambil kegagalan tersebut untuk dijadikan sebagai pengajaran supaya berusaha tingkatkan lagi ilmu dan perlu ada mentor untuk beri semangat.
Salah satu sebab saya mengagumi kredibiliti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ialah kerana kemampuan beliau membina yayasan dan membantu ramai golongan Bumiputera.
Kalau tiada mentor dan ilmu, ibarat kita memandu kereta tapi tak tahu ke mana destinasi yang mahu kita pergi dan kena jelas dengan matlamat sebenar dalam berniaga,” pesannya yang turut menjadikan bapa tersayang, Muhamad Fuzi Othman sebagai idola kehidupan.
4 Cancer Survivors Ini Dedah Pengalaman Perit Hidap BARAH PAYUDARA. Tapi Tengok Perubahan Mereka Sekarang!
![](https://cdn.nona.my/2017/10/jadi-punca-keretakan-perpaduan-11-2.jpg)
Setiap individu mempunyai kisah tersendiri bagaimana mereka mula mengesan kehadiran barah dalam tubuh mereka. Apatah lagi barah payudara merupakan penyakit yang amat digeruni oleh kaum wanita.
Wanita yang disahkan menghidap barah payudara seharusnya bangun menjadi wanita yang cekal dalam usaha melawan penyakit yang menjadi mimpi buruk mereka.
Empat wanita muda yang berdepan penyakit barah payudara ini mempunyai kisah yang boleh dijadikan panduan kita agar bersedia dari segi mental sekiranya diuji dengan situasi yang sama.
Chung Yih Pei, Faraedayu Zulkifley, Hibatullah Abdul Rahman dan Dachaini Karuppiah merupakan cancer survivor yang wajar dijadikan contoh untuk wanita lain.
BUANG SIKAP MURUNG
Chung Yih Pei, 37, Guru Sekolah Menengah
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Perkara pertama yang membuatkan saya mengesyaki sesuatu apabila tersentuh payudara kanan terdapat ketulan. Saya berkongsi cerita dengan ibu dan beliau menasihati saya menjalani pemeriksaan di hospital.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati payudara kanan saya sudah penuh dengan ketulan. Pada masa yang sama, saya membuat semakan mammogram, ultrasound dan biopsy.
Selepas tiga hari, doktor mengesahkan saya menghidap barah payudara. Saya terus mencari doktor pakar untuk membuat semakan yang kedua dan didapati memang sah wujudnya barah dalam payudara kanan saya.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Sebaik disahkan menghidap barah, saya menjadi sangat sedih dan murung. Saya bersyukur kerana mempunyai kawan baik yang sedia mendengar luahan rasa saya.
Kaum keluarga saya juga menemani saya pada ketika itu. Saya merujuk kes kepada pakar bedah payudara di UMMC dan membuat temujanji untuk pembedahan. Pada ketika itu, UMMC mempunyai kumpulan kaunseling daripada jururawat dan doktor.
Mereka menasihati saya bahawa barah saya masih di tahap awal dan peratusan untuk sembuh adalah sangat tinggi. Pada ketika itu, saya pulihkan keyakinan saya dan berfikiran positif. Saya juga bekerjasama dengan doktor sepanjang rawatan saya.
Rawatan yang dilakukan?
Kemoterapi sebanyak enam kali, radioterapi sebanyak 21 kali dan sekarang saya menjalani rawatan terapi hormon melalui pengambilan ubat tamoxifen sepanjang 10 tahun.
Selain itu, setiap tiga bulan saya akan bertemu dengan pakar bedah dan pakar onkologi untuk pemeriksaan berkala. Setiap tahun, saya perlu membuat sekali ujian ultrasound dan MRI pada payudara saya.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Nasihat saya kepada semua wanita, mereka perlu membuat pemeriksaan payudara kendiri semasa mandi. Kalau didapati terdapat ketulan atau apa-apa yang tidak kena pada payudara, rujuklah kepada mana-mana doktor di klinik yang berdekatan.
Kalau didapati ada yang bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan melalui mammogram atau ultrasound atas rujukan doktor pakar. Barah payudara banyak menimpa pada golongan wanita muda kini. Jadi semua wanita perlu sentiasa berwaspada akan perubahan payudara sendiri.
Wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun, segeralah buat mammogram. Pengesanan awal lebih baik sebelum ia merebak dan membahayakan kesihatan.
AKTIF DAN BERSEMANGAT
Faraedayu Zulfikley, 34, Setiausaha
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya merupakan seorang wanita yang amat mementingkan penampilan diri. Setiap kali selepas mandi, saya akan mengambil masa untuk melihat sebarang perubahan dari segi penampilan.
Tapi suatu hari, saya dapati terdapat bengkak atau benjolan di payudara kiri. Pada mulanya saya ingat ia kesan dari muscle pain akibat senaman tetapi selepas seminggu ia menjadi ketulan keras.
Saya segera mendapatkan nasihat daripada Dr. Harjit Kaur, doktor pakar payudara. Pada mulanya doktor mendapati ia mungkin kesan biasa selepas habis datang bulan. Tetapi hasil pemeriksaan biopsy mendapati saya menghidap barah payudara tahap kedua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Apabila Dr. Harjit menggunakan terma perubatan Carcinoma (nama saintifik barah) dan menerangkan apa yang perlu dilakukan, saya masih agar kabur dan tidak dapat menerima hakikat.
Hampir setengah jam saya menangis dan nasib baik ketika itu saya ditemani oleh rakan baik. Selepas keluar dari hospital, saya cuba menenangkan perasaan dengan membeli-belah. Tetapi bila sampai sahaja di rumah, saya mula mencari maklumat mengenai barah ini di Internet.
Rawatan yang dilakukan?
Saya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi seperti disarankan oleh doktor. Saya menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan. Antara kesan sampingan termasuklah letih, lesu, muntah-muntah dan keguguran rambut.
Saya pernah merasa bagaimana menjadi botak! Kini, saya meneruskan rawatan dengan pengambilan pil sebiji setiap hari. Saya menjalani radioterapi untuk 30 kali di mana saya perlu diradiasi setiap hari untuk mematikan sel-sel barah yang masih aktif.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Saya berharap wanita lebih peka terhadap perubahan pada badan dan menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat. Sentiasa lakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
KELUARGA BERI DORONGAN
Hibatullah Abdul Rahman, 27, Pelajar
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mengesan benjolan di payudara sejak 2011. Setiap kali menjalani pemeriksaan kesihatan, pakar radiologi hanya mengatakan ia cuma cyst.
Pada Februari 2015, saya mengalami masalah darah keluar dari puting payudara. Sekali lagi saya rujuk kes ke radiologi dan ia dikatakan normal untuk wanita yang menyusukan anak, sedangkan saya ketika itu belum berumah tangga.
Kemudian kes saya dirujuk kepada pakar bedah payudara dan ujian ultrabunyi mendapati saya menghidap barah payudara tahap dua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Pada hari saya mendapat keputusan ujian, saya ditemani oleh ibu dan kakak. Apabila Dr. Harjit menerangkan tentang proses rawatan, saya mahu kekal positif dan meneruskan langkah seterusnya menjalani rawatan yang disyorkan.
Saya juga mahu cekal untuk ibu saya kerana ketika itu ayah baru sahaja meninggal dunia kira-kira sebulan.
Rawatan yang dilakukan?
Saya melalui enam proses kemoterapi, mastectomy, 15 kali radioterapi dan 17 kali herceptin. Pada pertengahan rawatan herceptin, keputusan saya berubah menjadi ER+, PR- and HeR2+. Pesakit dengan HeR2+ perlu melalui proses herceptin.
Buat masa ini, saya masih mengambil ubat-ubatan dikenali sebagai Tamoxifen sehari sekali bagi mencegah sel barah. Ia merupakan sejenis dadah hormon estrogen yang disarankan untuk pesakit estrogen positif.
Tidak dinafikan sepanjang proses kemoterapi, saya melalui pelbagai perubahan antaranya termasuklah kehilangan rambut, hilang selera makan, rasa loya, penambahan berat badan dan sering sakit kepala.
Antara perkara paling memberi kesan pada saya ialah bila saya berhadapan dengan situasi chemo brain dimana saya menghadapi masalah untuk fokus dan menjadi pelupa.
Dalam keadaan begini, support system begitu memainkan peranan. Pembedahan, terapi radiasi dan herceptin antara rawatan yang telah dilalui. Malah, saya ambil keputusan membuang payudara kiri tetapi ia tidak membuatkan saya rasa kekurangan. Saya jadi lebih positif dan anggap ia sebahagian dari aturan perjalanan hidup.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sebaiknya, lakukan pemeriksaan sendiri payudara sekali sebulan. Saya rasa masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi.
Selain itu, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk mengesan sebarang simptom. Jika merasa sebarang perubahan terhadap payudara, dapatkan pandangan pakar.
PENJAGAAN EMOSI PENTING
Dachaini Karuppiah, 32, Pelatih Program Soft Skills
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mula mengesan ‘kelainan’ pada payudara saya kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika itu, saya melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan mendapati terdapat benjolan di bahagian bawah ketiak.
Saya mendapatkan pandangan daripada doktor di klinik dan selepas beberapa siri ujian dijalankan, keputusannya menunjukkan negatif terhadap kehadiran sel barah. Malah, ia disahkan sebagai fibroid biasa sahaja.
Tetapi saya ambil keputusan untuk membuangnya kerana rasa kurang selesa. Semasa pembedahan, doktor mengesan sesuatu dan merujuk ke patologi. Dua minggu kemudian, saya diarahkan ke hospital setelah ujian mendapati ia merupakan sel barah.
Ia merupakan barah tahap satu tetapi ia merebak dengan cepat sehingga ke tahap ketiga. Saya dicadangkan menjalani pembedahan mastectomy dan rawatan kemoterapi sebanyak 8 pusingan. Ia perlu dilakukan supaya sel tidak merebak ke bahagian payudara yang lain pula.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Tidak dinafikan ketika pertama kali berdepan dengan keadaan itu, ia merupakan saat paling getir dalam hidup saya. Ketika berada di bilik doktor, saya ditemani oleh ibu bapa.
Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika doktor mengungkapkan perkataan ‘Maaf, anda menghidap barah. Baca buku ini untuk anda memahami mengenai penyakit ini.’
Ketika itu, keadaan penuh emosi, marah, kecewa, sakit dan segala perkara negatif muncul dalam kotak fikiran. Malah saya bertindak keterlaluan terhadap keluarga dan rakan-rakan. Apa yang saya impikan dalam hidup bagaikan hancur dalam sekelip mata.
Terdetik juga rasa tidak percaya dan mengapa saya perlu berhadapan dengan situasi tersebut sedangkan saya dan keluarga amat mementingkan gaya hidup yang sihat. Malah saya juga tidak merokok dan minum minuman keras.
Pernah satu ketika saya menjauhkan diri dari semua orang dan mudah berasa kecil hati dengan individu di sekeliling. Kadangkala saya hanya berharap ia hanyalah mimpi buruk yang bakal berlalu apabila terjaga keesokan harinya.
Tapi Melihat kesan parut, jarum dan segala yang berkaitan dengan perubatan membuatkan saya trauma dan mudah merasa murung ketika itu.
Rawatan yang dilakukan?
Saya terpaksa melalui dua surgeri, mastectomy dan 8 pusingan kemoterapi agresif. Setiap rawatan pasti mempunyai kesan sampingan dan ia sememangnya amat menguji kekuatan fizikal dan mental.
Mana tidaknya, saya terpaksa berada di hospital setiap dua minggu untuk menjalani ujian darah, kemoterapi dan pelbagai ubat-ubatan yang perlu dimakan. Sudah pastinya selepas setiap kali rawatan, tubuh akan menjadi lemah dan sistem imunisasi badan menjadi lemah.
Ada ketikanya saya berhadapan dengan masalah tidak lalu makan, rasa mual, muntah, sakit anggota badan dan sakit kepala yang teruk. Masalah keguguran rambut juga secara tidak langsung berlaku dan saya pernah sampai ke tahap kepala botak, tiada bulu mata dan bulu kening!
Keadaan ini berubah setelah sistem imunisasi badan bertambah baik dan ia mengambil masa untuk melalui proses tersebut. Kini, saya sudah bebas dari pengambilan sebarang ubat-ubatan dan pelan rawatan. Namun begitu, saya masih meneruskan rawatan berupa beberapa siri ujian dan rawatan susulan seperti disarankan oleh pakar.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sejak dahulu lagi, kesedaran awal mengenai barah payudara belum begitu dipraktikkan di kalangan wanita terutamanya wanita muda masa kini.
Saya percaya, penting untuk wanita tidak mengira umur untuk memahami konsep ujian mammogram, ultrabunyi dan sebagainya supaya pengesanan awal tanda-tanda kanser dapat dilakukan.
Selain itu, penting untuk setiap wanita membuat pemeriksaan sendiri payudara kerana ia adalah langkah awal untuk mengesan tanda-tanda awal yang berlaku terhadap payudara.
Walaupun Kementerian Kesihatan telah banyak menguar-uarkan kempen ini, namun kesedaran wanita terhadap kepentingannya masih belum dicapai secara meluas. Rosmah Idayu Abu Samah
Pencapaian Terkini DR. AMALINA BAKRI, Bekas Pelajar Cemerlang 17A1 SPM 2004 Yang CUKUP MEMBANGGAKAN Di Luar Negara!
![](https://cdn.nona.my/2017/08/jadi-punca-keretakan-perpaduan-6-copy-2.jpg)
Beberapa hari kebelakangan ini, timeline Facebook Nona kembali viral dengan nama Nur Amalina Che Bakri, pelajar cemerlang SPM 2004 yang ditaja Bank Negara Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara.
Sejak Oktober 2015 hingga sekarang, beliau tekun menjalani surgical trainee di The Royal College of Surgeons of England dan dikatakan berhasrat menjadi pakar bedah payudara dan onkoplastik, suatu hari nanti.
Dr. Amalina Bakri, 30, merupakan graduan lulusan University of Cambridge dan pernah menimba pengalaman di Cambridge University Hospitals NHS Foundation Trust pada tahun 2013-2015.
Mengambil inspirasi siri drama tv Amerika kesukaannya, Grey’s Anatomy, Dr. Amalina tekad mencapai cita-citanya dengan bersungguh-sungguh. Di antara pencapaian terbaiknya di sana adalah:
- MPhil/PhD, Translational Medicine and Therapeutics (University of Cambridge) 2017
- Master of Philosophy (MPhil), Medical Clinical Sciences/Graduate Medical Studies (University of Cambridge) 2015
- Harvard Sub-Internship Programme, Medical Elective, Maternal Fetal Medicine, Gynecology Oncology and Surgical Oncology (Harvard Medical School) 2013
- Medicine (MBChB)- MD (The University of Edinburgh) 2013
- BMedSc Pharmacology (Hons) with Industrial Experience (The University of Edinburgh) 2010
- BMedSc Pharmacology (Hons), ERASMUS Exchange (Universiteit Leiden / Leiden University) 2010
Kejayaan dan pencapaian Dr. Amalina Bakri sesungguhnya amat membanggakan wanita Malaysia. Sebutir bintang kejora yang berkilauan dari jauh, mengagumkan dan mengharumkan nama negara.
Selain komited dengan tugasnya, Dr. Amalina juga amat meminati bidang sukarelawan dan pernah berkhidmat secara sukarela sebagai doktor perubatan di Meru District Hospital, Tanzania selama 3 bulan.
Beliau juga secara sukarela turut menjadi guru Bahasa Inggeris di Tanzania dan Zanzibar pada tahun 2010.
Tidak cukup dengan itu, Nona suka dengan gaya Dr. Amalina yang kelihatan cukup fashionista. Rambut lurus hitam dan panjang mengurai menyempurnakan penampilan wanita pintar ini yang bertubuh langsing.
We love you Dr. Amalina Bakri, jom kita tengok beberapa foto-foto beliau yang diambil dari laman Instagramnya. Norzalina Mohd Alias