Pertama Kali Catwalk Bersama, PUTERI SARAH & SUMAYYAH Peraga Koleksi Barang Kemas Ilham Citarasa Malaysia!

Rekaan emas bernuansakan identiti Malaysia telah menarik perhatian penganjur sebuah pameran fesyen di Kota London untuk membawa jenama Trishya & Co ke pentas global. Mempertaruhkan koleksi loket pesona (charm beads) seperti bahulu, wau bulan, kuih lapis, gong dan durian yang disuai padan dengan gelang tangan gelung, set ikonik ini dinamakan sebagai Links of Malaysia (LOM) bakal dipamerkan dalam sebuah pameran fesyen terbesar di London akhir tahun ini.

Datin Dr Raskidah Ali

Pengasas Bersama Trishya & Co, Datin Dr Raskidah Ali, 56, berkata, pihaknya amat teruja dan sudah bersedia berkongsi keunikan rekaan barangan kemas jenama ini di peringkat antabarangsa.

“Kami di Trishya & Co amat berbesar hati menerima undangan ini yang diperkenalkan oleh sahabat saya juga merupakan peminat LOM. Kami berharap penyertaan ke pameran fesyen terbesar di London itu nanti dapat mengangkat jenama lokal setaraf produk antarabangsa.

“Melalui Trishya & Co, kami bukan sahaja menghasilkan rekaan barangan kemas untuk wanita dan aksesori lelaki yang berkualiti tinggi, malah mensasarkan janaan ekonomi negara dengan menampilkan rekaan bercirikan Malaysia yang boleh dijadikan kenang-kenangan buat pelancong yang berkunjung ke negara ini,” katanya.

Pengasas Trishya & Co, Nayli Batrishya Norbik Bashah

Sementara itu Pengasas Trishya & Co, Nayli Batrishya Norbik Bashah, 18, mengakui beliau terinspirasi dengan sebuah jenama terkenal yang popular dengan koleksi loket pesona atau charms, yang mana setiap cawangannya di seluruh dunia menampilkan rekaan sinonim dengan imej sesebuah negara.

“Setiap kali melancong, saya lebih tertarik membeli aksesori wanita seperti gelang, loket, cincin, rantai dan anting-anting, kebiasaannya akan singgah membeli charms di butik barangan kemas terkenal sebagai ole-ole untuk diri sendiri. Cuma kebanyakan koleksi charms di butik berkenaan diperbuat daripada perak dan emas putih.

“Jadi saya terfikir, kenapa tidak Trishya & Co mengkomersilkan identiti Malaysia melalui rekaan emas 916 yang semua tahu emas adalah satu pelaburan yang baik. Disinilah bermulanya idea menghasilkan koleksi Links of Malaysia atau LOM.

“Untuk menarik minat golongan muda seusia saya pastinya reka bentuk yang unik, muda dan trendy menjadi asas. Pada masa yang sama, saya mahu educate remaja melakukan pelaburan emas, daripada membeli sesuatu yang tidak memberi keuntungan,” katanya.

Ujarnya lagi, pelan simpanan emas secara bijak ditawarkan serendah RM200 dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kemudian pembeli boleh menuntut koleksi emas yang ditempah di Trishya & Co.

Beliau yang ditemui di majlis pelancaran Trishya & Co Opulent, di ruangan ekslusif di TDOX Clinic at EQ, aras lima Hotel Equatorial Kuala Lumpur, turut memperkenalkan koleksi terbaru, Lady Bug yang juga merupakan koleksi pertama kanak-kanak keluaran jenama itu.

Menambah kehangatan majlis, aktres jelita Puteri Sarah Liyana dan puteri tunggalnya, Sumayyah, ditampilkan sebagai muse dan ini merupakan gandingan pertama kali pasangan anak-beranak itu di pentas peragaan. Mereka tampil mempersona dengan koleksi Lady Bug dan LOM bernilai RM150,000.

Sedondon dalam persalinan merah jambu fuschia sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, Puteri Sarah mengakui dia sememangnya penggemar barangan kemas dan mula mengumpulnya sejak mula melangkah ke alam pekerjaan.

 “Saya memang suka emas dan ia salah satu pelaburan yang buat sejak remaja lagi. Namun begitu saya lebih tertarik pada rekaan yang moden yang boleh disuai padan dan rekaan Trishya & Co ini terutamanya LOM sangat menepati citarasa saya.

“Saya juga buat pelaburan emas untuk Sumayyah kerana harga emas sentiasa meningkat, mungkin apabila Sumayyah sudah besar nanti harga emas waktu itu sangat mahal.

“Jenama Trishya & Co ini boleh pergi jauh dan saya berharap ia menjadi viral sebagaimana koleksi barangan kemas yang saya pernah pakai sebelum ini sehingga diberi jolokan emas PSL,” katanya.

Bagi yang berminat memiliki barangan kemas Trishya & Co, boleh mendapatkannya dari ejen yang sah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Singapura dan Batam Indonesia atau berkunjung ke dua cawangannya yang beralamat di S0-4 Tebing Taman Dato Onn, Johor Bahru dan UG-13 Galleria Lexa, No 45 Jalan 343/26, Taman Sri Rampai Kuala Lumpur.

Share
Published by
Rosmah Idayu