Diam-diam ubi berisi! Alhamdulillah rezeki Ahmad Nubhan Ahamad. Nampaknya makin ligat Nubhan mendaki kejayaan sebagai usahawan. Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, dia melangkah berani menceburi cabang bisnes makanan. Seterusnya membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta yang juga doktor gigi bertauliah. Tahniah!
Terbaharu, Nubhan memuat naik gambar bersama ibu tersayang yang tertera ‘Alhamdulillah 5 juta!’. Nubhan dalam perkongsian itu mengulas, “Syukur!! Semakin hari semakin indah pencapaian Omak Jenny. Dari buat suka-suka tak sangka sekarang jadi usahawan sambal. Rezeki tak salah alamat. Semua dengan izinNya.”
Siapa sangka dari pentas nyanyian sejak menyertai Akademi Fantasia Musim Ke-6, Nubhan makin sukses mengemudi empayar niaga sendiri. Ketika dihubungi Nona, anak kelahiran Negeri Sembilan ini tak lokek berkongsi pengalaman.
“Perjalanan bisnes, alhamdulillah bisnes makanan Mak Jenny dan skincare Lantara Beauty serta keluarga pun dah berkembang. Dah tambah seorang lagi ahli baharu dalam keluarga iaitu anak ketiga saya, Afzan Nayille. Klinik isteri sudah pun lengkap sepenuhnya dan ready.”
Tak menang tangan terima tempahan produk Mak Jenny, perniagaan yang menggunakan resipi tradisi ibu tersayang Nubhan sendiri ini memang laris. Dedah Nubhan, setakat ini sudah ada 6 produk Mak Jenny di pasaran. Antaranya Sambal Pedas, Masak Lomak Daging Salai dan Sambal Tempoyak.
Mengulas bagaimana tercetusnya bisnes Mak Jenny, ujar suami kepada Dr Afifah Tawfek ini semuanya berlaku tanpa sengaja selepas dia merakam aktiviti dan aksi ibunya Badariah Omar atau mesra disapa Mak Jenny bersama peminat di platform media sosial.
“Idea sebenarnya apabila saya secara tak sengaja mem’video’kan Mak Jenny di dalam content yang biasa saya keluarkan di YouTube dan Facebook. Tanpa di sangka respon terhadap karakter mak saya sangat disukai oleh penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.
Saya juga melihat dari segi reach, respon dan viewers video tu. Dekat Facebook boleh mencecah sehingga 7 juta tontonan dengan komen-komen yang sangat positif. Secara tak langsung video itu mengingatkan mereka kepada mak ayah, mak ayah yang dah tak ada dan banyak yang merindukan ibu bapa mereka.
Ramai juga yang terasa ingin berjasa dan berbakti balik kepada mak ayah dan ada yang menginsafkan. Itu berita yang sangat gembira dan saya rasa bermakna apabila ada di antara mereka DM saya sendiri mengatakan ingin membalas jasa ibu bapa balik. Yang ada perselisihan faham, mereka mula menyesal dan mula merapatkan hubungan dengan ibu bapa mereka.
Setiap apa yang keluar dari video itu adalah jujur daripada Mak Jenny dan bukan dibuat-buat. Mungkin energy atau aura Mak Jenny yang jujur itu mudah diterima oleh penonton. Alhamdulillah.”
Terang bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi, perniagaan makanan tersebut bermula secara serius dan dibuka kepada pengedar pada Julai 2021. Di sebalik kejayaan produk Mak Jenny sampai jadi bualan ramai, ada kisah sukar yang terpaksa ditempuh Nubhan ketika awal-awal mengusahakan produk berkenaan.
“Masalahnya adalah dari segi penyediaan makanan. Ia berlarutan daripada November sampai Disember tahun lepas di mana tempahan masuk terlalu banyak dan berlaku kecuaian apabila makanan seperti acar dan sambal semua kembung. Jadi pengedar return dan kami terpaksa ganti yang baru.
Masa tu dalam 15,000 pertama pada November dan 10,000 hingga 15,000 tempahan unit juga untuk bulan Disember. Ada dalam 30,000 ribu unit yang saya anggarkan lebih 10,000 kembung atau rosak. Terpaksa masak semula dan menelan kos yang besar.
Masa tu ramai pengedar yang mula tak puas hati dan ada juga berhenti serta lari sebab keyakinan dan kepercayaan dah hilang. Walau kami dah return bagi produk baru tapi masih kembung lagi.
Bulan Disember tu memang nak cover semua kos tadi sampai makan ratusan ribu ringgit. Disebabkan order terlalu banyak masa tu dan saya pula kurang pengetahuan dalam penyediaan makanan.
Sebenarnya cara packaging yang kurang tepat buatkan bakteria cepat membiak. Bukanlah makanan tu kotor cuma salah cara penyediaan. Bila jadi macam tu saya cuba cari pakar makanan. Bila dapat tahu solution, saya terus meeting dengan team production keesokkan hari dan ubah cara penyediaan ke cara yang betul.
Alhamdulillah semenjak dari itu sampai hari ni tiada lagi makanan yang rosak atau kembung. Itulah cabaran terbesar saya lalui. Bayangkan dari bulan Disember sampai pertengahan Januari memang saya tidur pun sekejap je dan berulang alik ke kampung untuk check production, stock, tengok penyediaan yang betul,” tegas Nubhan sambil memberitahu sudah mempunyai 5,200 pengedar Mak Jenny yang berdaftar.